Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNorlis Ismail merupakan pensyarah pengiklanan yang bertugas di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), Kampar, Perak. Beliau yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang seni menyatakan bahawa sejak kecil lagi, dirinya sememangnya tertarik dan terpikat dengan sesuatu yang bersifat visual. Justeru, setelah tamat sekolah menengah, Norlis Ismail melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang seni bagi memenuhi cita-citanya sebagai seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni visual.
Norlis Ismail mula jatuh cinta kepada dunia pengiklanan sewaktu sedang menyambung pelajaran dalam jurusan fotografi di UiTM. Hal ini berlaku kerana beliau sering tertarik dengan imej foto yang menjadi subjek utama dalam pengiklanan tidak kira sama ada iklan bercetak mahupun iklan yang tersiar di paparan kaca televisyen mahupun Internet. Pada pandangan beliau, imej yang ditonjolkan sangat kreatif, memukau mata yang memandang serta menarik minat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Rentetan itu, Norlis Ismail mula mempelajari selok belok fotografi pengiklanan dan mula memahami seni di sebalik pembikinan sesuatu imej yang berkaitan dengan iklan. Menurut Norlis Ismail, sesuatu imej yang berjaya perlu melalui pelbagai proses suntingan dan penapisan serta bukan sekadar menekan butang kamera sahaja.
Hakikatnya proses fotografi perlu bermula dengan sesi perbincangan tentang konsep pengiklanan tersebut merangkumi lakaran awal, sesi kritik dan kemudian barulah bermula dengan sesi pengembaraan. Aspek pencahayaan memainkan peranan yang amat penting kerana gambar yang cantik dapat dihasilkan dengan penggunaan cahaya yang betul di samping sudut pandang kamera yang kreatif. Kesan khas seperti gabungan warna serta bayang-bayang akan membangkitkan mood sesuatu pengiklanan, apatah lagi jika iklan tersebut berkaitan dengan peragaan busana.
Bercerita tentang tip dalam fotografi periklanan pula, Norlis Ismail menyatakan bahawa minimalis adalah istilah yang paling sesuai untuk menggambarkan dunia fotografi pengiklanan. Hal ini kerana gambar yang ringkas tetapi kreatif merupakan kunci utama kepada kejayaan sesuatu gambar yang dihasilkan dan proses penghasilannya merupakan satu daripada cabaran utama yang perlu ditempuhi oleh setiap pencinta seni fotografi.
Beralih tentang pengalaman mengajar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara pula, Norlis Ismail berkata, situasi tersebut sangat sukar untuk ditempuhi kerana pertama kali berlaku dan memberi tekanan yang tinggi kepada dirinya dan para pelajar. Situasi tersebut bukan sahaja ditempuhi oleh dirinya seorang sahaja, bahkan turut ditempuhi oleh semua golongan pendidik sama ada di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi.
Menurut Norlis Ismail, hal tersebut berlaku kerana semua metodologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu ditukar daripada sesi mengajar secara fizikal kepada sesi mengajar secara dalam talian. Justeru, banyak perkara dan proses yang perlu diubah suai agar sesi PdP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Selain itu, kelemahan capaian Internet serta kekurangan peranti elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan komputer juga merupakan antara cabaran besar yang tidak boleh ditangani secara berseorangan sepanjang pelaksanaan sesi PdP sewaktu pandemik COVID-19 berlaku.
Pemahaman para pelajar tentang topik yang diajar juga agak sukar untuk dinilai kerana pelajar tidak mengikuti sesi PdP secara bersemuka. Masalah ini ditambah dengan sikap para pelajar yang sering menutup kamera supaya tidak dapat dilihat dan dipantau. Natijahnya, proses PdP semakin bertambah sukar.
Kerenah pelajar juga pelbagai ragam dan berbeza-beza antara satu sama lain. Golongan pelajar yang aktif dan sering bertanya, mereka akan mengajukan pelbagai soalan, dan bagi golongan pelajar yang pendiam pula, mereka akan terus mendimkan diri tanpa sebarang respons jika tidak diajukan sebarang soalan. Hal ini menjadikan golongan pendidik seperti pensyarah atau guru berasa tertekan dan terbeban kerana tidak mengetahui reaksi dan tahap kefahaman pelajar. Jika mengajar secara bersemuka di dalam kelas, maka situasi dan kekangan ini lebih senang untuk diatasi.
Norlis Ismail juga berpendapat bahawa kaedah PdP secara bersemuka merupakan kaedah yang paling terbaik dari sudut pendidikan. Manakala kaedah PdP secara dalam talian pula hanya sesuai dilaksanakan sewaktu berlaku masalah seperti penularan wabak atau pandemik yang mengekang dan membataskan proses PdP secara bersemuka.
Tidak adil untuk meneruskan kaedah PdP secara dalam talian kerana akan merencatkan dan mengganggu proses pendidikan, bahkan semua pihak berasa tidak selesa jika kaedah PdP secara dalam talian diteruskan pada masa depan meliputi golongan pensyarah, ibu bapa dan pelajar.
Banyak masalah berkaitan PdP secara dalam talian tidak dapat diselesaikan oleh pihak pendidik terutamanya masalah yang membabitkan keputusan peperiksaan pelajar kerana kesukaran menilai prestasi pelajar secara dalam talian. Bahkan terdapat beberapa kes yang berkaitan dengan pelajar yang meninggal dunia akibat tidak tahan dengan beban tekanan dan beban tugasan yang diberikan.
Tuntasnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, Norlis Ismail tetap positif menghadapi pelbagai ujian kerana sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik para pelajar. Selain itu, penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara membuka mata para pendidik agar sentiasa meningkatkan dan mengembangkan kemahiran penguasaan ilmu dalam bidang teknologi kerana ilmu tersebut merupakan satu kaedah dan teknik yang bakal mengubah kaedah pengajaran konvensional.