Oleh Raduan Norudin
18 Ogos 2022, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada usia 73 tahun, Osman Saaidin atau lebih dikenali sebagai Osdin masih aktif melukis. Beliau masih giat mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan pelukis terutama Angkatan Pelukis Kedah (APK) ke merata-rata tempat.

Kini beliau banyak menghabiskan masanya melukis di Bukit Bendera, Pulau Pinang bersama-sama beberapa orang pelukis yang lain. Bukit Bendera adalah destinasi tumpuan pelancongan dan hasil seni lukisan oleh para pelukis tempatan menjadi bahan pameran dan tarikan kepada para pelancong domestik dan luar negara. Usia hanyalah semata-mata nombor dan tidak mampu menghalang sama sekali lelaki yang hebat ini untuk berkarya. Semakin berusia, hasil karyanya semakin matang.

Tajuk: Pakaian Tradisional di Alam Siber. Media: Cat air atas kertas. Saiz: A2. Tahun: 2018.

Baru-baru ini, penulis bertemu dengan Osdin yang sedang melukis di Selama, Perak dalam program “Jerayawara Perak Art Trail Jelajah Selama”. Osdin melukis pemandangan Lata Rambung, iaitu sebuah tempat berkelah yang cantik dan masih belum diteroka oleh orang ramai kecuali penduduk sekitar Selama.

Jiwa seninya yang sentiasa muda menjadikan dirinya semakin kuat untuk berkarya. Bekas pesara bomba ini menceburi bidang seni lukis hanya berbekalkan dengan bakat asas sahaja, iaitu berkebolehan melukis.

Osdin tidak belajar melukis secara formal dalam seni lukis, tetapi pergaulannya yang mesra dan luas bersama dengan para rakan pelukis yang lain terutama dalam persatuan APK menjadikan beliau mudah menimba ilmu seni lukis.

Tajuk: Indah Sekadar Kupu-kupu. Media: Cat air atas kertas. Saiz: A2. Tahun: 2022.

Sewaktu zaman mudanya, Osdin pernah memenangi pertandingan Master Penang Muscle Beach 1986 yang merupakan sebuah acara sukan bina badan. Selain itu, beliau juga merupakan seorang insan yang tekun, fokus dan komited terhadap setiap penghasilan lukisan dan bidang yang diteroka sehingga mencapai dan melebihi tahap kualiti yang ditetapkan. Begitu juga dalam bidang seni, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kekurangan karya yang dihasilkan serta menambah baik kemahiran dan pencapaian dalam bidang seni.

Sehingga kini, Osdin masih aktif melukis dan menyertai pelbagai aktiviti seni yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

Tajuk: Ayam Peru. Media: Cat air atas kertas. Saiz: A3. Tahun: 2022.

Berikut merupakan antara pencapaian Osdin dalam bidang seni lukis.

  1. Pameran Kumpulan di Balai Seni Lukis Pulau Pinang (1983)
  2. Melukis Malaysia Dalam Masa Malaya (1987)
  3. Memenangi Pertandingan Melukis SAKSI BSLN (2003)
  4. Pelukis Tetap Padang Kota Cornwallis (2004)
  5. Sagu hati Pertandingan Melukis Melaka (2009)
  6. Ekspedisi Sungai Pahang GAPs (2010)
  7. Pameran Catan Tahunan Angkatan Pelukis Kedah (2011)
  8. Pameran Catan 1MCAT Pulau Pinang
  9. Pameran Jemputan Art Malaysia – Bot Lautan dalam Kuala Kedah (2012)
  10. Pameran Catan Pelukis Kedah (2012)
  11. Karnival Pelancaran Kempen Melawat Malaysia, Bukit Jalil (2013).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.