Oleh Mubarak Ismail
24 Ogos 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) atas terbitan buku baginda yang berjudul Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Muhamad Zohadie Bardaie dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM pada hari ini. Berdasarkan kenyataan UPM, Anugerah Buku Negara diwujudkan bagi mengiktiraf kecemerlangan kualiti sesuatu buku dan penerbitan.

Menurut titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State yang diterbitkan oleh Oxford University Press memaparkan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia berdasarkan analisis komprehensif pelbagai data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun yang bermula daripada Perjanjian Pangkor yang termeterai pada tahun 1874.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sedang bertitah.

“Penyelidikan, kajian dan analisis yang dilakukan mengambil masa hampir 20 tahun dan melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data-data yang tersimpan di pelbagai tempat dan dalam bentuk rekod yang tidak seragam. Hal ini disusuli dengan proses memilih, menapis, menyelaraskan dan menyeragamkan maklumat serta data yang dikumpulkan,” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Berdasarkan titah DYMM baginda, melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mengasaskan kemerdekaan negara, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan. Lalu dibina tenaga dan kekuatan, menyusun gerakan dan tuntutan sehingga berjaya tertubuhnya sebuah negara merdeka Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, yakni sebuah negara yang aman lagi tenteram serta makmur lagi sejahtera.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bertitah bahawa Malaysia akan dilimpahi kecemerlangan jika setiap rakyat saling mengamalkan perkara yang makruf, memerangi kemungkaran serta berpendirian bahawa Malaysia akan lebih gemilang jika setiap rakyat diberi peluang yang saksama untuk menikmati faedah daripada pembangunan negara.

Jelas titah DYMM baginda, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, semua pihak wajar bermuhasabah diri masing-masing supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah SWT serta tidak alpa dengan kejayaan yang dinikmati selama ini.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja.

Semua pihak perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kejayaan Malaysia selama ini adalah hasil daripada usaha setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, yang menganut pelbagai agama, pelbagai latar belakang budaya dan bertutur dalam pelbagai jenis bahasa. Kepelbagaian ini hendaklah dilihat sebagai aset yang wajib diharmonikan untuk membina khazanah kekayaan negara dengan mengamalkan budaya keterangkuman atau inclusiveness sehingga terbina dan terbentuk warga yang kukuh bersatu padu dalam kepelbagaian (unity in diversity)

Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State merupakan kajian paling komprehensif mengenai transformasi ekonomi dan sosial Malaysia sepanjang 150 tahun yang lalu serta menjelaskan bahawa Malaysia masih menghadapi cabaran besar dan kompleks.

“Buku DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini berdasarkan data fakta, dokumen arkib serta penyelidikan negara dan antarabangsa yang komprehensif secara terperinci di samping perjalanan sejarah Malaysia yang menarik, bermula daripada pemeteraian Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 dan zaman pendudukan British sehingga kini,” ujar Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Jelas beliau lagi, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencungkil akar sebenar pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia, modal insan, kesejahteraan rakyat, serta struktur ekonomi melalui isi buku tersebut. Selain itu, buku tersebut turut meliputi kaedah-kaedah British menubuhkan institusi untuk pengembangan perdagangan bijih timah dan getah yang menguntungkan serta menggalakkan kemasukan buruh luar untuk menyokong cita-cita ekonomi mereka.

Rentetan tercetusnya Perang Dunia II dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu memaksa British untuk memikirkan semula strategi mereka untuk Tanah Melayu yang sering mengalami peristiwa bergolak sehingga pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Buku ini diakhiri dengan penilaian dan pandangan yang jauh ke hadapan terhadap cabaran-cabaran negara serta penetapan visi DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk masa depan Malaysia yang inklusif dan mampan,” kata Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar mengakhiri bicara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Naib Canselor UPM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Muhamad Zain Musa dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, Dr. Halis Azhan Mohd Hanafiah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.