Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSerdang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya merangkul Anugerah Buku Negara, kategori Anugerah Perdana: Penulis Buku Ilmiah Diraja melalui buku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan tulisan Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain dalam Majlis Anugerah Buku Negara yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022.
Kemenangan ini secara tidak langsung mengangkat DBP sebagai antara penerbit yang prolifik dalam industri penerbitan negara, di samping dapat meningkatkan motivasi kepada para penulis dan para editor untuk bekerjasama menghasilkan pelbagai karya buku yang berkualiti.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, usaha Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bersama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam memperkasakan usaha memajukan industri buku untuk mengukuhkan aktiviti dan program bagi mencapai carta UNESCO merupakan satu langkah yang dinamik dan efisien.
“Program seperti ini umpama tulang belakang yang memberi dokongan dan semangat untuk melestarikan sistem pendidikan negara. Saya menyokong penuh usaha murni YPBN dan UPM yang menjadikan ekspo dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah memajukan ilmu pengetahuan dan rangkaian industri buku,” ujar Dato’ Seri Mahdzir Khalid.
Dato’ Seri Mahdzir Khalid turut berkata, tema ekspo dan persidangan ini selari dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama Keluarga Malaysia untuk memajukan institusi pendidikan ke arah merealisasikan aspirasi negara. Pembinaan tamadun bangsa bakal terbentuk apabila industri buku, industri kreatif, kelab penulisan dan pengajian tinggi diberikan peranan yang besar menerajui peradaban dan pemikiran masyarakat.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, kerjasama dan kesepakatan sangat perlu bagi memastikan hasrat membudayakan semangat cinta terhadap buku ilmiah terus membara. Pada masa yang sama, penyampaian Anugerah Buku Negara kepada penggiat penulis buku dan kreatif merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.
Buku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan merupakan perbahasan yang mengulas prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang sering dilaung-laungkan oleh banyak pihak. Satu aspek yang tidak kurang pentingnya dalam huraian buku ini ialah fungsi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bersumberkan prinsip kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Daripada prinsip kedaulatan baginda, maka lahirlah prerogatif, yakni kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dihuraikan secara tuntas sekiranya perbincangan dengan berlatarbelakangkan kedaulatan Raja-raja Melayu dilihat dari perspektif watan.
Menurut editor buku tersebut, Norhanifah Mohamed, kekuatan buku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan berpaksi pada kerangka watan yang digunakan dalam membicarakan setiap subjek berkaitan. Legitimasi kerangka watan diajukan untuk menjustifikasikannya sebagai satu kaedah penafsiran berwibawa bagi menghuraikan kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan. Lanjutan itu, amalan pemerintahan dibahaskan untuk membuktikan bahawa syura dalam bentuk Rulers-in-Council adalah berprinsipkan raja berperlembagaan yang diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara, kategori Anugerah Perdana: Tokoh Ilmuan Negara UNESCO. Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Naib Canselor UPM, YH Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Pengerusi Program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr. Ahmad Ibrahim.