Oleh Mubarak Ismail
1 September 2022, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Khlong Hae – Raja Muda Perlis, Yang Teramat Mulia (YTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, YTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan promosi masakan Perlis kali keempat di Khlong Hae Halal Buffet Seafood Restaurant, Songkhla.

Usaha tersebut merupakan antara langkah berterusan yang dilakukan oleh Raja Muda Perlis, YTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi “Perlis Food Promotion” yang memperkenalkan “Kurma Daging Perlis” sebagai identiti makanan negeri di Utara Malaysia ini.

Inisiatif tersebut dijayakan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi mempromosikan Perlis kepada masyarakat di Thailand. Kehadiran baginda berdua disambut oleh Chutima Hemmun, pemilik Khlong Hae Halal Buffet Seafood Restaurant.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan promosi masakan Perlis.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Khlong Hae, Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Rizuan Abd Yazid serta bekas Timbalan Ketua Polis Diraja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara), Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.

Seterusnya, pengusaha Shamiza Restoran di Kampung Gial Perlis, Shamiza Mohd Nor membantu membimbing ketua tukang masak di restoran berkenaan untuk menyediakan menu istimewa, iaitu “Kurma Daging Perlis” yang akan menjadi menu tetap restoran berkenaan selepas ini.

Restoran-restoran lain di wilayah Songkhla yang pernah terlibat dalam program promosi masakan Perlis dan dirasmikan oleh baginda berdua sebelum ini adalah Sami Kitchen, Restoran Halal Kai Tod Decha dan Restoran Hamid.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada majlis perasmian.

Program tersebut diadakan di samping aktiviti berbasikal “Kayuhan Cakna Merdeka” bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada 31 Ogos 2022.

Antara lokasi baharu yang menarik untuk dilawati di Perlis adalah Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, Wang Kelian View Point, beberapa lokasi pelancongan di sekitar Sungai Batu Pahat dan Bukit Ayer, kaki bukit Gua Kelam, Tasoh dan Bukit Chabang, Kampung Balik Bukit serta kedai-kedai makan yang menyediakan pelbagai makanan yang lazat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berpesan kepada para pengusaha pelancongan dan pengusaha makanan di Perlis sama ada milik kerajaan atau persendirian supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan berada pada tahap yang paling tinggi, terutama kawasan tandas dan dapur, melayan pelanggan dengan penuh sopan dan berhemah serta mengenakan caj perkhidmatan yang adil agar para pengunjung berminat untuk mengunjungi Perlis lagi pada masa depan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.