Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Program Generasiku Bestari telah diadakan di ruang legar Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada 3 September 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Mydin Mall, Kelantan fm, Kumpulan Sri Dewi dan Pratahfiz PASTI al-Hadiy bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 2022. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Razali bin Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP.
Dalam majlis tersebut, Tuan Haji Razali mengucapkan penghargaan dan syabas kepada penulis yang telah berjaya menghasilkan buku cerita rakyat Kelantan yang turut sama dilancarkan dalam program tersebut.
“Saya berharap tuan puan akan terus menyumbang dan menghasilkan karya kerana DBP sentiasa terbuka untuk menerbitkan buku demi kepentingan ilmu. Tanpa buku, anak-anak kita tidak dapat membaca buku-buku yang bermutu, maknanya anak-anak kita tidak dapat lagi ilmu dan terpisah dengan ilmu,” jelas Tuan Haji Razali. Dalam penghasilan karya, Tuan Haji Razali menggalakkan para penulis menghasilkan karya yang berunsurkan kearifan tempatan dan menonjolkan aspek sains dan teknologi kerana masyarakat dahulu juga ialah masyarakat pemikir yang menitikberatkan sains dan teknologi. Perkara ini perlu diserlahkan kepada anak-anak agar mereka mengetahui bahawa sains dan teknologi penting dalam kehidupan mereka.
Tambah Tuan Haji Razali, selain dalam bentuk bercetak, DBP menerbitkan buku digital yang boleh diakses melalui portal JendelaDBP (jendeladbp.my) untuk disebarluaskan ke peringkat antarabangsa bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Pada tahun ini portal tersebut telah diakses oleh lebih 700 000 pelayar.
Menurut Tuan Haji Razali, dalam menyebarluaskan buku-buku yang diterbitkan, DBP juga memberikan ruang kepada penulis yang berminat untuk memasarkan buku mereka melalui program Pengarang Niaga. Program tersebut dikendalikan oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP. Buku-buku yang laris akan dicetak ulang. Melalui program tersebut, buku-buku yang diterbitkan diharapkan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dalam usaha memupuk budaya membaca dan menyemarakkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).
Objektif utama DMK adalah untuk membentuk masyarakat berilmu yang bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca. Oleh itu, dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Program Generasiku Bestari ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, pintar bahasa, bijak Jawi, pertandingan bercerita siri cerita rakyat Kelantan, sembang santai “Kayanya Bahasa Kita”, deklamasi sajak dan bicara buku. Menerusi pelbagai aktiviti kebahasaan ini, semua lapisan masyarakat dilibatkan dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa serta kakitangan kerajaan dengan harapan program tersebut berhasil untuk mencapai objektif DMK.
Melihat peri pentingnya amalan membaca dalam kalangan masyarakat, Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Muhd Azam bin Juhari melalui ucapannya dalam majlis tersebut berkata:
“Bersempena dengan Program Generasiku Bestari, saya mengajak semua warga Kelantan dan hadirin sekalian agar bersama-sama meneguhkan iltizam untuk menjadikan amalan membaca sebagai agenda penting dalam kehidupan dan pembelajaran sepanjang hayat. Marilah kita julang dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan harian kita.”
Bagi menyemai dan menerapkan amalan membaca, generasi alfa kelahiran era 2000 harus didedahkan dengan aktiviti seperti Program Generasiku Bestari ini. Generasi era ini mudah didekati dan lebih cenderung dengan aktiviti yang bersifat tidak formal, namun dapat merealisasikan proses pembelajaran sepanjang hayat. Proses pembelajaran yang berterusan ini membolehkan setiap individu menguasai ilmu untuk menghadapi cabaran kehidupan. Penguasaan ilmu adalah melalui budaya membaca. Amalan membaca seharusnya dipupuk dan dibugarkan kepada semua lapisan masyarakat sebagai penerus generasi berilmu. Insan yang menguasai pelbagai ilmu pastinya akan dipandang tinggi oleh masyarakat dan mampu menguasai dunia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Samsul Baharin bin Isa, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, Puan Mariati Josepha binti Mustafa, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, dan Encik Hamdan bin Abd Kadir, Penolong Pengarah Bahasa, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.