Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Pelancaran dan Resensi Buku Karya Fai Zakaria, Kala Kesunyian Membingitkan telah berlangsung pada 10 September 2022 (Sabtu) pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara. Majlis tersebut turut diserikan dengan resensi buku yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Dr. Shamsudin Othman, Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Encik Faizal Sidik selaku Kurator Bebas. Moderator yang menjayakan resensi buku itu ialah Puan Raiha Bahaudin.
Pengarah Penerbitan DBP, Haji Razali Che Mat yang hadir dalam majlis tersebut berkata, seorang penulis dan pelukis akan berasa gembira dan bangga apabila setiap karya yang dihasilkan berjaya diterbitkan. Rentetan itu, penulis dan pelukis akan berasa puas apabila karya dan buku mereka dilancarkan dan dibaca oleh masyarakat.
Tambah Haji Razali Che Mat lagi, DBP akan mengundang Fai Zakaria ke Studio DBP dan TV DBP untuk berkongsi dan mengulas dengan lebih lanjut tentang isi buku beliau yang bertajuk Kala Kesunyian Membingitkan berserta kehadiran pengkritik karya dan buku untuk berkongsi pandangan dan kritikan kerana apabila berlakunya satu pertembungan pandangan, maka akan terhasil satu keuntungan. Oleh itu, katanya kita perlu berani mara ke hadapan.
Menurut Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, terdapat sinonim dalam karya-karya Fai Zakaria dan beliau juga merupakan seorang guru yang baik dalam menerangkan setiap makna di sebalik karya-karya yang dihasilkannya. Bahkan, setiap hasil lukisan Fai Zakaria mendidik masyarakat tentang kepentingan kejujuran dalam berkarya. Menurut beliau:
“Dalam buku ini, kita dapat melihat gerakan emosi, jiwa, fikiran, kemarahan dan kesunyian menjadi satu komposisi batin yang dilontarkan menjadi kenyataan. Dari segi simbolik kejiwaan, dengan melukis lukisan-lukisan ini, beliau dapat melepaskan diri daripada kesakitan yang sedang dideritainya.”
“Di samping itu, saya mencadangkan supaya sudut penulis diwujudkan dan disemarakkan kembali seperti yang sering disarankan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang untuk memeriahkan sastera, budaya dan sebarang perkara yang mempunyai hubungan dengan kejiwaan serta kecintaan masyarakat kita. Pelukis dan sasterawan adalah milik kita bersama,” ujar Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.
Sementara itu, Dr. Shamsudin Othman berkongsi tentang hubungan penulis dengan pelukis yang tidak berada dalam dunia yang berbeza. Seorang pelukis hidup dengan garis dan kata, seorang penyair dan penulis hidup dengan kata-kata, manakala seorang seniman yang bagus pula mengadunkan garis dan kata-kata menjadi satu.
Tambah beliau lagi, penulis dan pelukis boleh menjadi sebati kerana keterikatan dengan konsep “sentuhan terhadap keindahan”. Penyerapan roh konsep yang luar biasa ini membolehkan golongan penulis memindahkan konsep “sentuhan terhadap keindahan” dalam bentuk kata-kata. Bagi golongan pelukis pula, mereka boleh memindahkan konsep “sentuhan terhadap keindahan” dalam bentuk ton warna.
“Lukisan juga menterjemahkan emosi dan perasaan yang dirasai oleh pelukis kepada bentuk kata-kata. Saya melihat hasil karya Fai Zakaria dalam buku ini berada dalam tiga alam, iaitu alam imaginasi, alam linguistik dan alam realiti seni halus. Bagi alam imaginasi, idea awalnya berada dalam satu ruang lingkup contengan. Alam linguistik pula menterjemahkan imaginasi yang sangat indah dalam bentuk kata-kata dengan genre puisi. Apabila Fai Zakaria berjaya memindahkan alam imaginasi kepada alam linguistik, iaitu kata-kata dan kemudian dijelmakan dalam bentuk alam realiti seni halus, kesannya menghasilkan satu karya seni yang sangat indah, unik dan menarik jika diteliti dengan lebih mendalam,” ujar Dr. Shamsudin Othman.
Encik Faizal Sidik pula menjelaskan bahawa setiap pelukis mencari diri mereka dalam lukisan melalui imej-imej yang dihasilkan. Imej yang dihasilkan menjadi lambang identiti diri pelukis tersebut. Manakala karya-karya yang dihasilkan oleh Fai Zakaria adalah bersifat surealisme dan kontemporari.
Faizal Sidik turut berkata, karya-karya yang dihasilkan oleh penulis dan pelukis perlu didokumentasikan supaya dapat ditatap oleh masyarakat khususnya generasi masa depan negara. Karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis merupakan satu perkongsian pengalaman hidup pelukis tersebut sepanjang menghasilkan karya-karyanya.
“Oleh sebab buku-buku berkaitan karya-karya lukisan amat kurang berada di pasaran, maka kebanyakan pelajar aliran seni banyak merujuk buku-buku berkaitan lukisan daripada sumber luar negara. Penghasilan buku karya Fai Zakaria ini merupakan satu usaha yang berkesan untuk menambah khazanah dalam bidang seni negara,” kata Faizal Sidik.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik M Azhari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur dan Puan Norhanifah Mohamad, editor yang menangani buku tersebut. Pameran dan jualan buku Kala Kesunyian Membingitkan dan buku terbitan DBP yang lain turut diadakan oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP untuk memeriahkan majlis.