Oleh Avatar photo Rosmani Omar
24 September 2022, 22:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YB Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia mewakili YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka berangkat ke Muzium Negara pada petang tadi bagi merasmikan Festival Gegau Melaka@Muzium Melaka Tahun 2022. Festival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Muzium Malaysia dan Tourism Melaka.

Turut hadir dalam festival tersebut ialah YBrs. Encik Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir Timbalan Pengarah Muzium Negara; YBrs. Tuan Badarudin Mohd Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka; YBrs. Encik Saari Basiron, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka; YBrs. Encik Nurman Mohd Baroldin, Pengurus Besar Institut Warisan Melaka; dan YBrs. Encik Mohd Isa Nordin, Timbalan Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka.

YB Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.

Melalui festival tersebut, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis mengucapkan terima kasih kepada Muzium Negara kerana memberikan ruang kepada pelbagai pihak yang terlibat bagi memastikan festival tersebut berlangsung dengan jayanya. Kios yang disediakan di Muzium Negara juga membolehkan para peniaga mempamerkan dan menjual produk tempatan dan pada masa yang sama dapat menjana pendapatan usahawan dan peniaga tempatan. Menurut beliau, festival tersebut penting bagi menggamit kembali warisan dan seni budaya masyarakat Melayu, khususnya Jawa, Bugis, Minang dan pelbagai etnik di Melaka termasuklah masyarakat campuran seperti baba dan nyonya. Melihat kepentingan warisan seni dan budaya, ujar beliau:

Kadang-kadang kita masih alpa dan leka tentang apa itu nilai budaya Melayu. Oleh itu, kami mengadakan program sebegini supaya kita mendapat pendedahan tentangnya supaya warisan bangsa ini tidak pudar sama sekali. Ada pepatah mengatakan bahawa ‘bahasa menunjukkan bangsa’ tetapi kita lupa akan faktor budaya itu yang menentukan bangsa.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak masyarakat agar memeriahkan festival yang diadakan untuk mengenali, memahami dan mencintai seni warisan bangsa.

Festival Gegau Melaka@Muzium Melaka Tahun 2022 ini diadakan pada 23 hingga 25 September 2022 di Perkarangan Muzium Negara dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Festival tersebut diadakan bertujuan untuk menyampaikan seni budaya masyarakat Melayu khususnya di Melaka di samping memberikan peluang kepada para pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Muzium Negara untuk merasai sendiri kepelbagaian bentuk warisan dan seni budaya yang terdapat di negeri Melaka.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam festival tersebut.

Antara acara yang diadakan sempena festival tersebut ialah:

  • Pameran jualan dan kraf tangan
  • Reruai pelancongan Melaka
  • Demonstrasi masakan tradisional
  • Persembahan kebudayaan dan muzik
  • Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak
  • Pertandingan tarian etnik di Malaysia (kategori kanak-kanak dan terbuka)
  • YB Datuk Muhammad Jailani melawat reruai di perkarangan Muzium Negara.

Menerusi festival tersebut, para pengunjung dapat merasai dan menikmati kuih dan makanan yang dimasak di tapak festival tersebut seperti dodol, lemang, asam pedas Melaka dan kuih bakar Melaka.

Melalui ucapan beliau, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis turut mempromosikan produk Melaka seperti makanan yang menarik pengunjung ke sana dan tempat menarik di Melaka yang sesuai dikunjungi oleh para pelancong baik pelancong tempatan mahupun luar negara. Antara tempat menarik di Melaka ialah Zoo Melaka & Night Safari, Menara Taming Sari, Dataran Keris, Muzium Kapal Selam, Melaka River Cruise, Taman Tema Air A’Famosa Resort, Pusat Konservasi Penyu dan Pantai Pengkalan Balak.

Dalam majlis tersebut, YB Datuk Muhammad Jailani turut menyampaikan hadiah kepada peara pemenang yang terlibat dalam petandingan tarian.

Para pemenang pertandingan tarian bergambar bersama-sama YB Datuk Muhammad Jailani.
Encik Halim Haji Samsuddin ketika menerima kunjungan YB Datuk Muhammad Jailani di reruai jualan produk makanan tradisional.

Festival tersebut amat bermakna kepada para peniaga tempatan untuk menjana pendapatan setelah terkesan dengan pandemik COVID-19. Menurut Encik Halim Haji Samsuddin, 43 tahun dari Syarikat Fauziah Karim  (M) Sdn. Bhd. yang terlibat dalam jualan makanan tradisional seperti dodol dan pes asam pedas di festival tersebut, penganjuran festival seumpama itu dapat membantu syarikat kecil untuk ‘bernafas’ semula. Harapan beliau, sektor pelancongan dapat diaktifkan semula dan pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan.

Encik Mohamad Asri Rostam dari Melaka Knife Maker, Bukit Baru Melaka yang mempamerkan dan menjual produk senjata tradisional dalam festival tersebut juga berharap agar festival seperti itu akan terus diadakan untuk membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan. Hal ini demikian kerana menurut beliau, sektor ekonomi selepas pandemik COVID-19 kelihatan masih perlahan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.