26 September 2022, 21:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi era kini memberikan kesan kepada budaya masyarakat moden yang terampil dalam menterjemahkan hidangan pengkaryaan yang lebih terbuka dan bersifat elektronik serta menerusi pawagam-pawagam yang menyediakan layar canggih dengan sesetengahnya ada mengaplikasikan teknologi MX4D dan 4DX yang dilengkapi dengan ciri-ciri khas seperti kesan bunyi, bauan, angin, air, pergerakan tempat duduk serta kesan gegaran lain yang seiring kesan bunyi visual, asap dan lain-lain atau lebih mesra penonton dengan pawagam 6D. Demikian antara pengalaman menarik yang sedang pesat diterokai oleh pasaran berkaitan dunia visual yang berkembang dan bergerak dengan amat pantas.

Menyedari hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberikan tumpuan serta sasaran secara dinamik bagi mempertingkatkan karya-karya kreatif yang bermutu tinggi daripada penerbit-penerbit buku tempatan untuk diadaptasi kepada layar perak. Justeru, hal ini dapat mengaktifkan lagi industri televisyen dan filem negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga seiring dengan hasrat K-KOMM untuk menggiatkan lagi industri adaptasi negara dengan badan ini sebagai pusat yang menyediakan bahan-bahan yang boleh diketengahkan sebagai sumber di samping bertindak sebagai perunding dan perancang kandungan adaptasi berdasarkan penerbitan genre kreatif seperti novel, cerpen, puisi atau biografi yang diterbitkan di bawah badan ini.

Sesekali karya Lily Haslina Nasir.

Rentetan itu, perkongsian bertajuk DBP dan Pengkaryaan Adaptasi disampaikan oleh Rusdi Abd. Rahman, Perancang Bahasa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, menerusi slot Cakna Bahasa terbitan BERNAMA Radio.

Dalam perkongsiannya, Rusdi memaklumkan bahawa DBP mempunyai sejumlah karya hebat yang mengangkat tema-tema berkaitan perlambangan jati diri bangsa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis-penulis dalam kalangan tokoh sastera terbilang seperti sasterawan negara dan penulis-penulis yang berjaya lahir daripada program-program pengembangan dan sayembara kesusasteraan DBP.

Menariknya DBP sejak dahulu menjadi tumpuan para karyawan televisyen dan filem bagi merujuk karya-karya unggul terbitan DBP untuk diadaptasi sebagai karya drama televisyen, drama pentas, telefilem, filem pendek dan filem. Kesemua genre kreatif media baharu ini mempunyai potensi yang besar dan karya-karya terbaik yang boleh dihasilkan dalam pengkaryaan ini sedia untuk dibaca dan diterjemahkan dalam adaptasi ini.

Berdasarkan penelitian Rusdi juga, usaha pengkaryaan adaptasi ini boleh dimanfaatkan oleh sebahagian besar masyarakat kerana jumlah khalayak yang menonton kaca televisyen dan layar adalah lebih luas walaupun karya konvensional buku masih mendapat sambutan. Pakej visual, sinematografi serta audio yang berkesan menjadikan khalayak berasa adaptasi karya lebih menyeronokkan dan mesej karya dapat disampaikan dengan cara yang lebih kreatif.

Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad.

Merujuk pada penelitian Dr. Abang Patdeli bin Abang Muhi (2022) yang menjelaskan bahawa sarana dan wahana teknologi maklumat era kini turut dioptimumkan oleh karyawan dalam menghasilkan karya, mempromosikan dan menjual karya sastera serta turut menyebarluaskan karya sastera. Oleh hal yang demikian, DBP turut berada dalam formasi industri kreatif ini. Walaupun dilihat sebagai badan penting yang boleh menjana industri ini, DBP masih mencari rentak yang tepat dan arah yang jitu bagi meletakkan DBP sebagai gedung kandungan industri kreatif utama negara.

Sehubungan dengan itu, DBP terus kekal fokus dalam mengekalkan mutu penghasilan dan penerbitan karya kreatifnya di samping DBP amat sinonim dan terkenal sebagai badan penerbit yang mengkhususkan karya-karya bertemakan jati diri bangsa. Kesannya, sudah tentu daripada pengkaryaan adaptasi yang dikawal mutunya oleh DBP, aspek kualiti bahasa juga diberikan perhatian.

Antara karya adaptasi daripada DBP yang cukup dikenang sehingga kini termasuklah filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad dan filem arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong. Filem adaptasi terbitan Kay Sarimah Sdn. Bhd. ini berjaya memenangi pelbagai anugerah dalam acara anugerah filem tempatan serta turut mendapat pengiktirafan dan anugerah pada peringkat antarabangsa seperti memenangi Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-28 pada tahun 1983.

Novel Ayahanda diadaptasi menjadi drama.
Drama Ayahanda mendapat sebanyak 24 juta tontonan.

Sehingga kini, antara karya-karya DBP yang telah diadaptasi termasuklah novel Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang berjaya mendapat 24 juta tontonan di saluran TV3, Sesekali daripada genre puisi karya Lily Nasir dan Korban Kasih karya Fatimah Saidin. Kerjasama lain berkaitan adaptasi ini adalah Jabat Erat-erat karya Amin Masyhur adaptasi daripada genre cerpen dan Capa Rengat Gulai Rawo daripada cerpen Burhanuddin Kahar.

Mengakhiri perkongsiannya, Rusdi turut memberikan contoh bulan sambutan hari kebangsaan, ruang untuk meneroka karya-karya bersifat kebangsaan serta menyerlahkan patriotisme dan nasionalisme boleh diangkat mewarnai arena adaptasi tempatan. Kesemua karya yang mengangkat tema ini sudah sedia ada di DBP dan pihak DBP mengalu-alukan semua pihak yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat berkaitan karya sastera atau penerbitan yang berpotensi untuk diadaptasi dengan menghubungi DBP.

Antara karya terbitan DBP yang diadaptasi kepada drama.

Sebagai badan penerbit yang mementingkan kualiti khususnya demi mendaulatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam menerbitkan karya-karya, DBP akan terus menyokong dan sentiasa bersedia untuk meneroka kerjasama yang lebih besar dan berimpak tinggi dalam merealisasikan dimensi pengkaryaan buku ke layar dan seterusnya menyemarakkan industri kreatif negara.

Penulisan kreatif kini sememangnya amat dinamik. Manakala para karyawan sudah tentu akan sentiasa mencabar diri menghasilkan karya-karya unggul untuk masa hadapan dengan mencurahkan segala pengalaman sejarah, budaya, warisan serta tradisi yang kita miliki agar daripada khazanah sastera ini kita akan dapat menemukan permata bangsa yang amat bernilai tinggi dan kekal sepanjang zaman untuk ditonton, dirujuk dan dihayati oleh anak bangsa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.