Oleh Aisyah A.
26 September 2022, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program TT Klasik Mercedes Perlis diadakan buat julung-julung kalinya di negeri Perlis dengan mempamerkan koleksi lebih daripada 70 buah kereta jenama Mercedes. Selain mendapat sambutan yang luar biasa daripada para peminat kereta jenama dari Jerman itu, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berkenan berangkat melawat program tersebut yang diadakan di perkarangan Restoran Sungai Bakong Dua, Padang Behor, Kangar pada 25 September 2022.

Baginda juga sempat berbual mesra bersama dengan para pengunjung sambil bertukar-tukar cerita mengenai koleksi selain meninjau kereta klasik Mercedes yang berkumpul di negeri Indera Kayangan itu.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Komuniti Mercedes Perlis, Rakan Mercedes Kulim, Northern Mercedes Benz Owners Club, Tuten Northern dan juga W202 Otai Utara. Turut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah ikon klasik Mercedes Malaysia, Azril Bahaman yang juga Pengasas Klasik Mercedes Malaysia.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat pameran koleksi kereta Mercedes.

Bagi memeriahkan program tersebut, beberapa acara lain turut diadakan seperti acara Review Kereta, penyampaian hadiah lima buah kereta pilihan selain jualan dan autograf merchandise produk yang dibawa khas untuk para peminat Mercedes sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu pada program tersebut.

Penganjur turut menganjurkan konvoi ke satu daripada hidden gems negeri Perlis, iaitu Tasik Timah Tasoh. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini seperti berkayak, berbasikal atau menyewa kenderaan seperti menunggang skuter dan menaiki kereta api kanak-kanak yang dikenakan caj bayaran yang minimum. Di samping itu, para pengunjung juga boleh memancing sambil menikmati pemandangan Tasik Timah Tasoh yang indah.

Mercedes merupakan antara jenama kereta yang mempunyai pengaruh dan peminat yang tersendiri.

Program TT Klasik Mercedes Perlis berjaya mengumpulkan pelbagai jenama model kereta yang mempunyai reka bentuk yang unik dan klasik. Mercedes merupakan satu daripada jenama terbesar dan terawal yang diperkenalkan selain BMW dan mula dipandu oleh generasi awal yang kebanyakannya terdiri daripada golongan bangsawan.

Sehingga kini, Mercedes terus mengembangkan pengeluaran keretanya dengan tahap kualiti yang setara dengan kereta terkini. Satu daripada model kereta klasik yang dikenali dan diminati oleh peminat jenama ini adalah Mercedes-Benz 190E (W201) yang dihasilkan pada tahun 1982. Model ini masih lagi kelihatan unik, relevan dan tidak lapuk ditelan zaman kerana pada masa itu, pengeluar kereta Mercedes tidak hanya mementingkan keuntungan sahaja, malah turut fokus pada nilai dan emosi produk mereka dengan membelanjakan lebih RM3.5 billion untuk mengembangkan model ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.