Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Valiram yang diadakan di Kuala Lumpur.
Dalam majlis tersebut, baginda berdua bertitah mengucapkan “Selamat Bergembira” dalam suasana muhibah bersama-sama seluruh ahli keluarga dan rakan taulan kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang menyambut Hari Deepavali pada tahun ini.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seisi keluarga turut bertitah agar seluruh rakyat sentiasa mempertahankan kedaulatan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama menjadi tradisi yang diwarisi di bumi bertuah Malaysia ini.
Di samping itu, anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail turut menyampaikan ucapan yang sama.
Selain itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama keluarga baginda turut berkenan berangkat menyaksikan beberapa sesi pemeteraian perjanjian persefahaman yang melibatkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Surya Biotech Engineering Sdn. Bhd. dan Lawi Engineering (M) Sdn. Bhd. bersempena The Innovate Tech Show and Global Drone Conference & Exhibition 2022 yang diadakan di Main Stage, Hall B, MATRADE Exhibiton and Convention Centre, Kuala Lumpur.
Dalam sesi pemeteraian perjanjian persefahaman tersebut, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP mewakili pihak UniMAP, manakala Surya Biotech Engineering Sdn. Bhd. diwakili oleh Mohd Adam Haziq Faris selaku ketua pegawai eksekutif dan Rathakrishnan Arumugam pula mewakili Lawi Engineering (M) Sdn. Bhd. selaku pengarah syarikat.