Oleh Mubarak Ismail
30 Disember 2022, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli berkunjung ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Sri Gelam, Johor Bahru, Johor pada petang 28 Disember 2022 yang lalu.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama keluarga baginda.

Turut hadir bersama-sama ialah puteri dan putera baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Ketibaan baginda sekeluarga disambut oleh Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman dan isterinya, Datin Hajah Azalila Mohd Aris.

Selain meluangkan masa melawat Galeri Seni Johor yang sedang mengadakan pameran dengan tema “Detik-Tok Sekolah Seni Malaysia Johor”, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seisi keluarga turut berkenan menyertai dan memeriahkan aktiviti “Tie and Dye”.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama keluarga baginda melawat satu daripada reruai yang terdapat di dalam Galeri Seni Johor.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan mengunjungi Galeri Tenun Johor di samping menyaksikan persembahan Mini Showcase of Traditional Performances.

Pihak tuan rumah turut mempersembahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang ke-55 pada hari Jumaat bersamaan dengan 30 Disember 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.