29 September 2022, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kekayaan bijih timah yang terdapat di Taiping pada sekitar abad ke-19 menyebabkan bandar itu mengalami pembangunan pesat pada suatu masa dahulu. Landskap ekonomi di bandar tersebut berubah apabila pelbagai jenis perniagaan dan perdagangan ditubuhkan dan dibuka secara besar-besaran bagi menampung permintaan orang ramai dan keperluan semasa. Pembangunan intelektual turut berkembang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi di bandar tersebut.

Antara yang menjadi lambang kemajuan intelektual di bandar Taiping pada masa dahulu adalah kewujudan penerbitan berkala seperti akhbar dan buku-buku sama ada dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Akhbar mingguan Seri Perak menjadi akhbar berbahasa Melayu yang pertama diterbitkan dan dicetak di Taiping, bahkan dianggap sebagai yang pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Akhbar tersebut diterbitkan buat pertama kali pada bulan Jun 1893 oleh Saiyid Abul Hasan Burhan, seorang India Muslim yang berasal dari Madras, India.

Berdasarkan penulisan Ahmat Adam dalam Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas (1992) yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada halaman 68 dan 69, Saiyid Abul Hasan berhijrah ke Taiping pada sekitar tahun 1870-an sewaktu berusia awal 20-an untuk berkhidmat sebagai tenaga pengajar kepada para pegawai Inggeris dengan mengajar mereka bahasa Hindi.

Surat khabar menjadi medium utama penyebaran berita dan ilmu kepada masyarakat pada masa dahulu.

Saiyid Abul Hasan turut menerbitkan dan mencetak akhbar tersebut kerana beliau juga memiliki syarikat percetakan yang dikenali dengan nama Taiping Press. Bagi memastikan akhbar tersebut dapat dikeluarkan secara konsisten pada setiap minggu, beliau telah melantik Muhammad Omar bin Abu Bakar sebagai pengarang akhbar tersebut. Walau bagaimanapun, Muhammad Omar meletak jawatan pada penghujung tahun 1894 kerana mengalami masalah kesihatan. Ketiadaan pengarang yang berwibawa menyebabkan Saiyid Abul Hasan mengambil keputusan untuk memberhentikan penerbitan akhbar Seri Perak. Pada awal Mac 1895, Seri Perak secara rasmi ditamatkan operasinya.

Namun begitu, minat Saiyid Abul Hasan untuk kembali menerbitkan akhbar Melayu tidak pernah padam. Beliau menerbitkan sebuah lagi akhbar yang dinamakannya sebagai Jajahan Melayu. Akhbar ini diterbitkan pada 4 November 1896. Beliau berjaya menghubungi Muhammad Omar dan mengajaknya untuk bekerja semula dengannya sebagai pengarang. Selain Muhammad Omar, akhbar ini turut mendapat khidmat Mohamed Goolam Kader bin Mohamad Ali sebagai pengarang. Akhbar ini juga menerima nasib yang sama seperti Seri Perak apabila ditamatkan operasinya pada 28 Oktober 1897.

Satu-satunya akhbar Melayu yang masih diterbitkan di Taiping selepas itu adalah Warta Kerajaan Perak yang diterbitkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan dicetak di Government Printing Office yang terletak di Taiping. Berbanding Jajahan Melayu yang diterbitkan sebanyak sekali pada setiap minggu, Warta Kerajaan Perak pula diterbitkan hanya sekali dalam sebulan. Isu pertama diterbitkan pada bulan Januari 1897. Isi kandungannya pula berkenaan perjawatan, penyata bulanan, pewartaan undang-undang dan maklumat terkini tentang pentadbiran kerajaan negeri. Warta Kerajaan Perak versi Jawi ditamatkan operasinya pada bulan April 1905, manakala versi Rumi pula ditamatkan pada awal tahun 1910.

 

Warta Perak adalah akhbar Melayu pertama menggunakan tulisan Jawi yang diterbitkan di Ipoh, Perak.

Al-Maktabah Wa Al-Matba’ah Al-Zainiyah (selepas ini disebut sebagai Al-Zainiyah Taiping) boleh dianggap sebagai syarikat penerbitan dan percetakan Melayu yang terbesar di Taiping. Syarikat ini yang dimiliki oleh Haji Muhammad Zain bin Haji Isa mempunyai hubungan yang erat dengan para tokoh dan bangsawan Melayu di utara Tanah Melayu termasuklah pihak Istana Negeri Perak. Al-Zainiyah Taiping mempunyai dua pusat operasi, iaitu di Pulau Pinang dengan alamat No. 98, Pitt Street, Penang dan di Taiping, Perak dengan alamat No. 185, Main Road, Taiping.

Pusat operasi di Pulau Pinang lebih awal dibuka berbanding pusat operasi di Taiping. Pembukaan pusat operasi di Taiping mempunyai kaitan dengan usaha untuk memenuhi permintaan penerbitan daripada Istana Negeri Perak, institusi pendidikan dan para ulama yang berada di negeri Perak.

Antara bahan bercetak terawal yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping adalah Hikayat Menteri Yuhi yang dikarang oleh Putih bin Syeikh Umar Basha dan diterbitkan pada tahun 1928. Pada tahun yang sama, buku kategori bidang sains dan teknologi yang berjudul Kitab Kesihatan Diri karangan Abidin bin Ali diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping.

Bahan bercetak seterusnya yang diterbitkan pada tahun yang sama adalah kitab Bidayah Al-Talibin ila Ma’rifah Rabb Al-Alamin yang ditulis oleh ulama besar Tanah Melayu, iaitu Tuan Guru Husain bin Muhammad Nasir bin Muhammad Taib bin Mas’ud yang lebih dikenali sebagai Tuan Husain Kedah. Kitab tersebut mengandungi perbahasan yang berkaitan dengan akidah dan falsafah.

Kitab-kitab lain yang ditulis oleh Tuan Husain Kedah yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping termasuklah Hikayat Al-Fattah Fi Bayan Ahkam Al-Nikah dan Usul Al-Tauhid Fi Ma’rifati Turuq Al-Iman Li Al-Rabb Al-Majid. Kitab pertama diterbitkan pada tahun 1929, manakala kitab kedua diterbitkan pada tahun 1933. Kitab pertama dikategorikan sebagai kitab undang-undang (hukum-hakam), manakala kitab kedua berada dalam kategori kitab akidah dan falsafah. Berbanding kitab pertama, kitab kedua sehingga kini masih lagi diterbitkan dan telah dirumikan oleh penerbit-penerbit baharu.

Pada tahun 1929 juga, Al-Zainiyah Taiping menerbitkan karya pengarang terkenal Harun Aminurrashid yang berjudul Pesaka Sari. Buku dengan ketebalan 68 halaman ini ditulis bersama-sama Yusuf Adil dan berada dalam kategori seni dan kebudayaan. Karya seterusnya yang diterbitkan adalah kitab Kesopanan Hidup yang disusun oleh Asbiran Yaakub dan Ahmad Lutfi serta berada dalam kategori akidah dan falsafah. Nama Asbiran Yaakub semakin menyerlah kerana beliau merupakan penterjemah awal Hadith 40 karya Imam Nawawi kepada bahasa Melayu, manakala Ahmad Lutfi adalah pengarang muda yang sedang meningkat naik pada masa itu.

Pada tahun yang sama, Al-Zainiyah Taiping turut menerbitkan karya pengarang dari Melaka, iaitu Abdul Hamid bin Ahmad yang berjudul Perjodohan Yang Setia. Abdul Hamid adalah pengarang Qamus al-Hamidi yang menghimpunkan perkataan-perkataan Arab yang dipinjam dalam bahasa Melayu. Kamus tersebut diterbitkan oleh Pejabat Karang-Mengarang, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada tahun 1941.

Qamus al-Hamidi yang menghimpunkan perkataan-perkataan Arab yang dipinjam dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 1933, Al-Zainiyah Taiping menerbitkan buku yang berkaitan dengan hobi dan teknik yang merupakan genre yang jarang dibicarakan oleh masyarakat pada masa itu. Buku yang berjudul Rahsia Permainan Silap Mata karangan Ahmad bin Abdullah diterbitkan oleh syarikat tersebut dengan tujuan untuk meninjau keadaan pasaran buku pada masa itu.

Ahmad bin Abdullah adalah seorang pengarang serba unik kerana boleh menulis dalam pelbagai bidang. Oleh hal yang demikian, beliau mendapat kepercayaan Al-Zainiyah Taiping untuk menghasilkan beberapa lagi karya yang diterbitkan oleh syarikat itu. Antaranya termasuklah Sahabat Baru yang merupakan karya unik berbentuk puisi dan Memilih Jodoh, sebuah karya dalam bidang sosiologi. Kedua-dua karya tersebut diterbitkan pada tahun 1938 dan tahun 1939.

Satu-satunya karya penulis wanita yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping adalah Inilah Yang Dinamakan Taman Pengajaran yang dikarang oleh Fatimah Wahab. Karya tersebut diterbitkan pada tahun 1934 dan diletakkan dalam bidang akidah dan falsafah sebagaimana yang dinyatakan dalam salinannya yang boleh ditemui di Universiti Malaya.

Antara karya-karya ulama besar Perak yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping termasuklah Tanwir Al-Sibyan Fi Tajwid Al-Quran yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Muhammad Saman bin Yusuf Al-Rawa (diterbitkan pada tahun 1934), Masail Sibyan (diterbitkan pada tahun 1937) yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Muhammad Yunus bin Haji Aqib, dan Al-Qiblah Fi Nusyusyi Ulama Al-Syafi’iyyah Fi Ma Yata’allaqu Bi Istiqbal Al-Qiblati Al-Syar’iyyah Manqulah Min Ummuhat Kutub Al-Mazhab (diterbitkan pada tahun 1951) karangan Shaykh Tahir Jalaluddin.

Al-Zainiyah Taiping turut menerbitkan terjemahan kitab Ta’lim Al-Muta’alim karya Imam Al-Zarnuji yang diusahakan oleh ulama besar Melaka, Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Kasim yang diterbitkan pada tahun 1937.

Al-Zainiyah Taiping bekerjasama dengan Madrasah Al-Tarbiah Al-Islamiah, Changkat Jering bagi menerbitkan buku bertajuk Asal Tarikh yang dikarang oleh guru berpengalaman, Muhammad bin Dato Muda Linggi dan buku berjudul Bahtera Keselamatan yang tergolong dalam kategori akidah dan falsafah. Buku Asal Tarikh mengandungi maklumat tentang asal bulan-bulan Arab dan Inggeris. Kedua-dua buku tersebut diterbitkan pada tahun 1947 dengan sebahagian hasil jualan buku-buku tersebut disalurkan kepada pembangunan madrasah.

Sebuah lagi buku yang diterbitkan pada tahun 1947 untuk tujuan pembangunan madrasah tersebut adalah Tafsir Surah Al-Asr yang dikarang oleh Yusuf Ahmad Lubis, seorang ulama yang berasal dari Mandailing, Indonesia dan dikatakan adalah pengasas madrasah tersebut.

Pengalaman dan kemampuan Al-Zainiyah Taiping menerbitkan bahan-bahan bacaan bermutu mendapat perhatian pihak Istana Negeri Perak. Oleh sebab itu, pihak istana memilih Al-Zainiyah Taiping untuk menerbitkan dan mencetak bahan-bahan penerbitan berdasarkan titah daripada pihak istana. Antaranya termasuklah Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Di Dalam Negeri Perak Darul Ridwan Daripada Zaman Purbakala yang diterbitkan pada tahun 1935 dan Undang-Undang Iskandar Scholarship Kerajaan Perak bagi Murid-Murid Sekolah Arab dan Quran Negeri Perak Darul Ridwan yang diterbitkan pada tahun 1939.

Kerancakan industri penerbitan dan percetakan di Taiping secara perlahan-lahan merosot setelah pentadbiran negeri Perak yang pada asalnya berpusat di Taiping berpindah ke Ipoh pada tahun 1937. Selepas berakhirnya Perang Dunia ke-2, seluruh aktiviti dan urusan yang melibatkan pentadbiran negeri berpindah ke Ipoh sepenuhnya. Secara tidak langsung, tumpuan perdagangan dan perniagaan tidak lagi terarah kepada Taiping, sebaliknya menghala ke Ipoh.

Begitu juga dengan kematian ramai para tokoh ulama yang menyebabkan Al-Zainiyah Taiping tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menerbitkan apa-apa sahaja jenis buku yang diharapkan dapat memberi pulangan bagi menampung kos operasi. Sebagai contoh, Al-Zainiyah Taiping pernah menerbitkan buku masakan yang berjudul Serbanika Idaman: Lebeh Dari 100 Masakan yang disusun oleh Halimah Haji Harun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.