Oleh Rosmani Omar
2 Oktober 2022, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa “Seni kraf tangan Melayu sentiasa mementingkan keseimbangan antara nilai estetika dengan etika dalam setiap hasilan pertukangannya.” Titah baginda, kesenian di alam Melayu amat mempertimbangkan aspek estetika dengan etika, iaitu antara keindahan dengan kebaikan. Sesuatu seni itu tidak hanya menumpukan keindahan semata-mata, sebaliknya sarat dengan kehalusan dan ketinggian falsafah Islam.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat meluangkan masa melawat pameran seni kraf tangan bersempena dengan program Penang Exchange 2022 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) yang diadakan di Think City Penang Gat Lebuh China pada petang semalam.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mendengar penerangan tentang hasil kraf tangan oleh pempamer.

Raja Muda Perlis, Perlis
DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil  semasa berangkat melawat pameran.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra disambut oleh Presiden MCC, YM Nik Faiz Nik M. Amin dan ahli majlisnya, Encik Azharudin Ramli.

Baginda seisi keluarga meluangkan masa lebih dua jam melawat sebahagian besar daripada 66 buah gerai pameran dan jualan seni kraf tangan dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian pada kali ini.

Penang Exchange 2022 ialah program selama tiga hari yang berlangsung bermula 30 September sehingga 2 Oktober yang turut melibatkan pelbagai program menarik seperti kraf tangan, pameran dan persembahan kesenian bermatlamatkan untuk mempromosikan artisan tempatan melalui platfom pelancongan dan kebudayaan yang dilaksanakan di Think City Penang Gat Lebuh China dan juga Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia serta Penang Peranakan Mansion, Georgetown.

Pada akhir program, Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa baginda mengambil inspirasi daripada kunjungan tersebut dan berharap agar lebih banyak hasil kerja artisan dari Perlis berjaya diketengahkan di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa selepas ini.

Baginda turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak yang turut serta dalam pameran tersebut bagi melihat prospek jalinan kerjasama strategik dengan pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) pada masa hadapan.

Persembahan yang diadakan sempena pameran tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.