Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada zaman dahulu, manusia memerhatikan urutan peristiwa yang tabii seperti perubahan musim dan kitaran hidup haiwan. Ketertiban peristiwa ini diteliti agar membentuk rumus yang digunakan pula untuk menelah sesuatu perkara dengan lebih rasional. Telahan bagi menentukan kawasan untuk menyemai benih, waktu untuk menangkap ikan dan menghasilkan ubat-ubatan adalah contoh praktikal penggunaan ilmu sains dalam kehidupan seharian.
Selain itu, sifat semula jadi bahan turut diteliti dan dikaji secara eksperimen untuk dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti kehidupan pada masa tersebut. Contohnya, tanah liat yang boleh dibentuk untuk menghasilkan alatan memasak kerana sifatnya yang mudah dibentuk apabila bercampur dengan air dan tahan haba yang tinggi apabila mengeras.
Pengetahuan tentang sifat bahan juga dimanfaatkan untuk tujuan estetika seperti warna, tekstur dan corak dalam binaan bangunan, tekstil serta hiasan. Maka itu, tidak hairanlah para saintis pada masa dahulu mampu menguasai pelbagai cabang ilmu sehingga berjaya menjadi pelukis, pembina arca, pereka bentuk bangunan, petani, agamawan dan sebagainya pada masa yang sama.
Rentetan itu, perkembangan sains bemula menerusi persoalan dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah seharian dan membuat keputusan bagi menentukan penyelesaian yang terbaik. Pengetahuan-pengetahuan yang dikumpulkan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya didebatkan, dibincangkan dan ditambah baik sehingga menjadi lebih dinamik dan kompleks.
Oleh hal yang demikian, secara umumnya sains didefinisikan sebagai “ilmu pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji atau dibuktikan kebenarannya; cabang ilmu pengetahuan yang berdasarkan kebenaran atau kenyataan semata-mata (fizik, kimia, biologi) menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Inti patinya, sains merupakan proses pemerolehan ilmu yang begitu mengujakan berkenaan aturan alam. Proses pemerolehan ilmu ini berlaku dalam tempoh masa yang agak lama, seiring dengan pembinaan dan pertembungan ketamadunan.
Sains menjadi amat menarik dan kaya dengan usaha penterjemahan dan penubuhan institusi penyelidikan awal yang mengumpulkan para saintis di bawah bumbung yang sama. Pada masa yang sama, pendidikan sains mula dilaksanakan oleh institusi persekolahan yang formal dan kini sains dilabel sebagai disiplin yang spesifik. Sains dikelompokkan berdasarkan tiga bidang asas yang dilabelkan sebagai kimia, fizik dan sains. Spesifikasi mengikut disiplin juga menjadikan mata pelajaran sains menepati piawaian yang disusun mengikut usia, bab dan kurikulum yang bertujuan untuk mengurangkan jurang ilmu khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh hal yang demikian, kini wujud persepsi umum bahawa sains tidak menarik, penuh dengan jargon yang dianggap sukar, teori untuk dihafal serta pemerhatian berjadual dan penyiasatan praktikal dalam ruang yang superfisial. Semua ini ditambah dengan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan berbanding dengan tujuan awal perkembangan ilmu sains, iaitu pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah.
Maka itu, agak mencabar untuk menjawab soalan pelajar tentang “mengapakah saya perlu mempelajari maklumat teori dan eksperimen ini serta untuk apa saya akan menggunakannya?”
Justeru, pemerolehan ilmu atau sains sewajarnya menyuntik motivasi pelajar agar dapat mengaitkan pembelajaran dalam bilik darjah dengan kehidupan melalui pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah. Walaupun usaha tersebut memerlukan rombakan untuk mengubah orientasi “belajar untuk lulus peperiksaan”, namun kini teknik-teknik pendidikan sains secara kreatif semakin mendapat perhatian.
Satu daripada teknik yang kreatif adalah teknik bercerita (storytelling) untuk merapatkan jurang antara teori dan realiti dengan memfokuskan kepada tujuan ilmu sains tersebut dipelajari. Jenis cerita yang paling lazim yang digunakan di dalam bilik darjah adalah kes. Cerita jenis kes merujuk kepada rujukan konteks dan masalah sesuatu peristiwa. Kemudian pelajar diajak untuk menyelesaikan masalah itu dengan menggunakan pengetahuan teori mereka.
Pada dasarnya, teknik ini meletakkan pelajar dalam peranan sebagai penulis cerita dan membolehkan mereka mencari pengakhiran, sambil belajar secara aktif tentang topik tertentu. Implikasinya, kes yang berorientasikan peristiwa yang berkaitan dengan teori boleh dihasilkan untuk sumbang saran idea, perbincangan dan menjurus kepada penyelesaian masalah berkaitan peristiwa yang spesifik serta boleh diinspirasikan dengan kisah saintis tertentu.
Contohnya, kisah Abbas Ibnu Firnas yang mencuba pelbagai teknik untuk “terbang”. Inspirasi kisah ini boleh menggalakkan para pelajar untuk menguji bahan-bahan untuk terbang, memahami konsep aerodinamik serta menguji prototaip dalam lapangan. Bahkan, naratif ketekalan dan pemikiran saintifik yang dipegang oleh para saintis juga membentuk nilai dalam kalangan murid.
Golongan guru juga boleh memanfaatkan pelbagai peristiwa bersejarah untuk sesi bercerita. Contohnya, sejarah tapak relau besi dunia di Sungai Batu, Kedah yang boleh dibentuk asas cerita untuk memahami peleburan besi. Selain kisah-kisah yang benar-benar berlaku, cerita jenis imaginatif juga boleh digunakan. Guru boleh menggalakkan pelajar membina naratif cerita mereka sendiri atau mengolah cerita yang sedia ada dengan memasukkan elemen imaginasi seperti inspirasi kisah jenaka Pak Kaduk untuk membentuk naratif yang berbeza. Kesannya, mungkin baju kertas Pak Kaduk boleh dilihat sebagai inovasi pakaian yang mesra alam.
Namun cabaran utama untuk memilih dan menggunakan cerita sebagai pedagogi sains adalah perbezaan antara naratif cerita dengan pengetahuan sains. Sains pada asasnya berdasarkan fakta, manakala cerita pula berdasarkan fiksyen. Sehubungan dengan itu, sebagai seorang pakar kandungan, guru amat mementingkan penggunaan istilah yang tepat dan proses yang betul bagi memperincikan maklumat sains sehingga gusar tentang kemungkinan banyak butiran dan konsep hilang dalam pengolahan cerita.
Justeru, para guru perlu bijak menyeimbangkan antara fakta dengan fiksyen dan penggunaan istilah yang tepat serta aktiviti susulan yang bersesuaian agar kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan sebaik-baiknya. Oleh hal yang demikian, guru perlu diberikan ruang autonomi untuk mencuba teknik bercerita sebagai asas pedagogi sains yang pelbagai agar tumpuan pembelajaran sains membuka ruang untuk pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah yang lebih kreatif.