Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKehidupan di Malaysia diwarnai dengan pencanaian pelbagai budaya. Kita sebagai ahli “Keluarga Malaysia” akur, menghormati dan menikmati keindahan budaya silang di samping pengamalan budaya keturunan sendiri. Misalnya, Malaysia sering dilengkapkan dengan keriangan memasang pelita terutamanya di pekarangan rumah menjelang Ramadan atau menanti ketibaan Syawal. Ada pula waktu kita gembira melihat gegantung “Tanglung” berwarna merah manis menghiasi kota pada waktu malam sempena sambutan Tahun Baru Cina atau kagum melihat hiasan tradisi seni lantai “Kolam” di hadapan rumah tetangga atau pasar raya terutama ketika menanti sambutan Deepavali. Tradisi seni lantai “kolam” sama seperti seni lain yang mengisi ruang budaya dan mendukung pelbagai maksud tersurat dan tersirat.
Tradisi seni lantai “kolam” ini berasal dari India. “Kolam” dipraktikkan sebagai satu daripada amalan seni harian golongan wanita keturunan India di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, seni ini dikenali dengan pelbagai nama mengikut dialek negeri, bahan, warna serta corak reka bentuk yang dihasilkan. Misalnya, “rangōli” di Maharashtra, “muggu” di Andhra Pradesh, “sathaya” di Gujarat, “madna” atau “mandana” di Rajasthan, “alpana” atau “alpona” di Bengal dan Assam, “aripana” di Bihar, “chita” atau “jinnuti” di Orissa, “pookalam” di Kerala, “chowkpurna” atau “sona rakhna” di Uttar Pradesh, “kolam” di Tamil Nadu dan sebagainya.
Di Malaysia pula, tradisi seni lantai yang dihasilkan dengan tepung beras putih bercorak gabungan puluhan titik dan garisan dinamakan sebagai “kolam”. Manakala seni lantai yang dihasilkan dengan beras berwarna pula dinamakan sebagai “rangoli”. Seni lantai “kolam” dihasilkan dengan menepati beberapa langkah dan peraturan penghasilan yang bermula dengan penyediaan tepung beras. Beras direndam untuk beberapa jam dan kemudian dicuci. Seterusnya beras yang telah dibersihkan akan dilesung atau dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan dihamparkan di atas permukaan rata di bawah cahaya matahari terik sehingga kering. Sebagai langkah seterusnya, lantai dibersihkan untuk melukis “kolam”.
Masyarakat lama dan penduduk keturunan India di kawasan pedalaman serta perladangan di Malaysia membersihkan halaman rumah menggunakan air yang dicampur dengan najis segar lembu. Permukaan lantai tanah tersebut akan bertukar menjadi warna hijau gelap yang membolehkan reka bentuk “kolam” bergarisan putih nampak dengan jelas dan kemas.
Setelah permukaan lantai kering, pelukis “kolam” akan membuat perancangan saiz, jenis dan pengkadaran posisi dengan penandaan puluhan titik. Seterusnya, tepung beras digenggam dan dilepaskan antara ibu jari dan jari telunjuk untuk menitik atau melukis garisan. Alunan garisan ini dilukis dengan mencantumkan satu titik dengan titik yang lain ataupun dilukis pada ruang kosong antara titik-titik yang telah sedia ditanda. Akhirnya, lukisan “kolam” yang cantik akan terhasil.
Penghasilan seni “kolam” mempunyai pelbagai nilai, niat, maksud tersurat serta tersirat. Misalnya, lukisan ini menjadi media penyampai maklumat sambutan keraian atau kedukaan apabila halaman yang dihiasi dengan seni lantai “kolam” menandakan sambutan keramaian dalam keluarga tersebut. Manakala ketiadaan “kolam” pula melambangkan kejadian insiden yang menyedihkan dalam keluarga tersebut.
“Kolam” yang dihasilkan dengan tepung beras menjadi sumber makanan semut, serangga, burung dan sebagainya. Berdasarkan tradisi, melukis “kolam” pada waktu subuh menggalakkan kaum wanita memulakan aktiviti harian dengan menderma kepada ribuan makhluk alam semesta. Seni “kolam” dipercayai membuka ruang untuk mencintai alam serta semua ciptaan Yang Maha Esa. Justeru, amalan seni lantai “kolam” memberi ketenangan pemikiran yang secara tidak langsung membawa keuntungan dan kebaikan dalam sesebuah rumah tangga.
Dari segi maksud tersirat, titik-titik yang statik pada “kolam” diumpamakan sebagai kaum lelaki, manakala alunan garisan yang lembut diibaratkan sebagai kaum wanita. Dalam lukisan “kolam”, semua titik akan disambungkan atau dilindungi dalam lingkungan jalinan garisan. Tiada titik yang dibiarkan bersendirian di luar lingkungan atau dakapan garisan tanpa disambung. Konotasi ini menitikberatkan tanggungjawab serta peri pentingnya kaum wanita dalam sesebuah keluarga terutama keluarga yang besar. “Kolam” yang coraknya tertutup dengan titiknya terlindung dalam lingkungan garisan di halaman rumah dipercayai berupaya menghalang kuasa jahat daripada memasuki rumah.
Di samping itu, aktiviti melukis “kolam” menjadi senaman yang baik dalam kalangan kaum wanita kerana aktiviti ini memerlukan gerakan dan kedudukan posisi anggota badan yang pelbagai. Misalnya, duduk bersila, berlutut, membongkok, meregangkan badan serta menggerakkan tangan dari kiri ke kanan, depan ke belakang atau sebaliknya. Pergerakan sedemikian pada waktu subuh menyumbang kepada kecergasan tubuh badan. Hasil penyelidikan Lakshmipathy (2016) serta Akila & Nandagopal (2015) menunjukkan bahawa melukis “kolam” berupaya melegakan tekanan diri, meningkatkan pemikiran kreatif dan kemampuan penyelesaian masalah serta meningkatkan tenaga positif.
Seni lantai “kolam” juga merangkumi aktiviti etnomatematik yang melibatkan prinsip matematik dan nilai budaya. Misalnya, lukisan seni “kolam” kaya dengan bentuk geometrik serta organik yang mampu meningkatkan kemahiran pengajian matematik pelukisnya. Hal ini berlaku apabila wanita yang gemar melukis “kolam” berpeluang memperkasakan kemahiran mengira, mengenal pasti bentuk, mengukur, mereka bentuk dan meningkatkan pemikiran kreatif. Di samping itu, Nagata (2015) membuktikan kemampuan pembangunan kognitif dengan menggunakan corak seni “kolam” dalam permainan teka-teki. Maka secara tidak langsung, amalan melukis “kolam” bukan sahaja membantu badan menjadi cergas, malah turut mendidik otak berkembang menjadi cerdas.
Walaupun amalan tradisi seni “kolam” mempunyai pelbagai kebaikan tetapi warisan seni ini semakin dilupakan lantaran kemajuan teknologi dan perubahan besar dalam corak serta gaya hidup masyarakat kini. Selain itu, kesempitan ruang tempat tinggal, kesibukan kerja, kegagalan menarik minat generasi pewaris dan sebagainya menjadi penyebab utama amalan budaya ini semakin terhakis. Justeru, bolehlah disimpulkan bahawa cabaran besar sedang menanti untuk setiap warisan budaya yang diendahkan tanpa pewarisan yang terancang.