9 November 2022, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Penggiat seni tanah air, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berusia51 tahun merupakan antara 6611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-34 di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) kelmarin.

Graduan Doktor Pengurusan ini melakukan kajian yang bertajuk Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu.

“Saya suka belajar pelbagai bidang ilmu yang berbeza dan saya amat meminati bidang pendidikan kerana usaha ini lebih kepada khazanah diri demi menjadi seorang yang berilmu. Apabila mendapat tawaran berkhidmat sebagai pengarah sambilan di sebuah universiti, saya banyak memberikan ceramah dan seterusnya saya terpanggil untuk melanjutkan pelajaran,” ujar Dr. Ahmad Idham.

Dr. Ahmad Idham pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-34.

“Pada pandangan saya, apabila kita berminat dan suka untuk berbuat sesuatu, walaupun jadual hidup kita sibuk dengan pelbagai urusan, namun diri kita sendiri yang berkuasa untuk menentukannya. Dengan sokongan keluarga, sahabat dan para pelajar UUM, kini impian saya telah menjadi nyata,” tambah Dr. Ahmad Idham.

Selain bidang pendidikan dan industri seni, Dr. Ahmad Idham turut aktif dalam pelbagai kerja amal. Antaranya seperti memiliki pusat vokasional dan sekolah pendidikan khas untuk golongan kanak-kanak istimewa yang menghidap penyakit autisme, disleksia dan sindrom down demi pemerkasaan bidang pendidikan khas.

Menurut Dr. Ahmad Idham, beliau sering berkunjung ke rumah kanak-kanak istimewa dan ada antara mereka yang didiagnos dengan penyakit autism hyper. Golongan kanak-kanak ini disarankan untuk ditempatkan di bahagian psikiatri dan agak mengejutkan kerana mereka bukannya orang kurang siuman.

“Golongan kanak-kanak istimewa ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang mungkin tidak ada pada manusia biasa seperti kita. Cuma mereka mempunyai kelemahan tertentu dan berpeluang untuk dipulihkan dengan bantuan pakar terapi dan modul pendidikan khas yang betul,” kongsi Dr. Ahmad Idham.

“Segala penambahbaikan sedang giat diusahakan demi memastikan anak-anak istimewa ini tidak ketinggalan sama ada dari sudut pendidikan mahupun kemahiran hidup,” kata Dr. Ahmad Idham lagi.

Dr. Ahmad Idham sedang menyantuni masyarakat.

Minatnya yang mendalam untuk mendekati masyarakat mendorongnya turun padang untuk menyantuni golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan. “Sebenarnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Justeru, semoga sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan,” jelas Dr. Ahmad Idham.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Dr. Ahmad Idham termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Umar Mishary Insani Johor (UMI) dan Penasihat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta mendapat anugerah Ikon Nasional MyBrain15 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, pelbagai anugerah telah berjaya dirangkul oleh Dr. Ahmad Idham merangkumi Asia Awards 2018 pada Korea Chunsa Film Festival (2018), Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat), Pengarah Harapan 2002 menerusi filem Mr. Cinderella dan Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 (2002) menerusi Tarantula 1 dan Tarantula 2.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.