9 November 2022, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Melihat hasil lukisan khat berlatarkan elemen abstrak, tiada siapa pun menjangka pelukisnya merupakan seorang siswazah Pusat Pengajian Teknologi Industri dalam bidang Teknologi Bio Sumber, Kertas dan Penglitup (coatings), Universiti Sains Malaysia (USM). Yazri Izwan Yahya yang merupakan seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) tidak menjangka rezeki menjadi bidan terjun sebagai pelukis doodle yang melukis latar belakang papan iklan untuk kempen produk gula, menjadi permulaan beliau terlibat secara serius dan aktif dalam menghasilkan lukisan khat dan abstrak. Pengalaman melihat sendiri lukisan yang dihasilkan terpampang pada beberapa papan iklan di seluruh Malaysia menyebabkan Yazri tidak menoleh ke belakang lagi.

Yazri bersama karya lukisan khatnya yang berlatarkan unsur abstrak.

“Lukisan doodle basikal dan belon untuk set penggambaran bersama-sama duta produk gula tersebut, iaitu penyanyi Marsha, membuatkan saya bertambah yakin dengan kebolehan dalam bidang seni tampak ini. Sejak itu, saya semakin yakin untuk menerokai lebih banyak teknik dan menjual lukisan khat yang berlatarkan abstrak.

Pada peringkat awal, pelbagai insiden seperti tersalah pilih medium warna, peralatan melukis yang terhad dan pelanggan yang kurang berpuas hati dengan hasil lukisan yang ditempah menyebabkan saya berasa sedikit berputus asa. Namun apabila mendapat maklum balas positif, semangat saya kembali berkobar-kobar untuk melukis dengan lebih serius,” ujar Yazri yang mula melukis secara serius sejak tahun 2021 sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara dan seluruh dunia.

Keunikan lukisan khat karya Yazri terletak pada kehalusan tulisan khat dan latar lukisan abstrak yang unik.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, Yazri melukis untuk mengisi masa lapangnya selepas waktu bekerja dan setiap karya lukisannya dimuat naik dalam pelantar media sosial.

Pada awalnya, Yazri melukis hanya sekadar mengisi masa senggang sahaja. Namun apabila beliau berkongsi hasil karyanya dalam media sosial, ramai rakan dan kenalannya memberi komen yang memberangsangkan. Kebanyakan mereka bertanya jika Yazri mengambil tempahan lukisan sama ada berdasarkan cita rasa pelanggan atau berdasarkan kebebasan dan keperluan diri beliau.

“Ada lukisan khat saya yang ditempah untuk dijadikan hiasan rumah dan hadiah bagi pelbagai program, acara dan tujuan tertentu. Kebiasaannya, orang Islam yang menitikberatkan setiap hiasan dan dekorasi rumah atau pejabat lebih selesa untuk menggantung pelbagai lukisan berkonsep tulisan khat.

Antara karya lukisan khat yang bermutu tinggi dihasilkan oleh Yazri.

Seperti yang kita maklum, umat Islam dilarang untuk menggantung gambar lukisan makhluk yang hidup seperti manusia dan haiwan. Justeru, nilai estetika lukisan tulisan khat adalah pilihan terbaik untuk mencantikkan dan menghiasi rumah dan pejabat,” terang Yazri yang telah berjaya menjual sebanyak 79 unit lukisan khat dalam tempoh dua tahun beliau berkecimpung secara serius dalam lukisan khat abstrak.

Perlu Mahir Lukisan Tulisan Khat

Selain mahir melukis lukisan abstrak, Yazri menggabungkan kemahiran dan teknik lukisan abstrak menjadi latar kepada tulisan yang ditempah oleh para pelanggan.

Lukisan tulisan khat mempunyai banyak jenis dan kategori. Antaranya termasuklah Nasakh, Thuluth, Diwani, Diwani Jali, Farsi, Nasta’liq, Maghribi, Mushafi, Fatimi dan Riq’ah. Semuanya mempunyai keunikan dan kesenian yang tersendiri.

Sewaktu bersekolah agama di Johor Bahru, Yazri pernah mewakili Sekolah Agama Taman Sri Tebrau dalam Pertandingan Tulisan Khat Peringkat Kecil (darjah 1 hingga 3) sempena Perujian Membaca Al-Quran, Berzanji, Tafsir Ayat dan Tulisan Khat Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor.

“Pertandingan khat peringkat kecil itu adalah kategori Khat Nasakh. Pertama kali menyertai pertandingan seperti ini, saya berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori sekolah-sekolah agama di Zon Pelawat Timur. Pada tahun berikutnya, saya menyertai lagi pertandingan khat bagi kategori yang sama (peringkat kecil) dan berjaya menjadi johan yang melayakkan saya mewakili Zon Pelawat Timur ke peringkat Daerah Johor Bahru. Pada pertandingan tersebut, saya berjaya menjadi Johan Daerah Johor Bahru,” jelas Yazri yang berasal dari Johor Bahru.

Yazri berjaya membuktikan bakat dan minat seni yang diasah mampu menghasilkan lukisan khat yang mampu menjana pendapatan tambahan.

Perancangan Masa Hadapan

“Perancangan masa hadapan saya adalah mahu mempelajari lebih banyak teknik penulisan khat dengan betul kerana masih banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari. Saya gemar meneroka pelbagai teknik dan kaedah lukisan dan tulisan khat agar karya saya sentiasa kekal relevan sepanjang zaman.

Selain itu, saya juga sedang meneroka peluang untuk menjual hasil lukisan khat yang dicetak atas kanvas bersama dengan bingkai eksklusif kerana pasarannya lebih luas,” jelas Yazri yang menjual karya lukisan khatnya dengan harga bermula RM250 sehingga RM1200 (bergantung pada saiz, jenis ayat dan corak).

Kepada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan khas lukisan khat abstrak, anda boleh melayari pelantar media sosial Yazri, Instagram (@yiy_melukis) dan pelantar TikTok (@yiy12181).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.