16 November 2022, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Kini Sarawak telah memiliki bangunan arkibnya sendiri setelah bangunan Arkib Negara Malaysia di Sarawak siap sepenuhnya pada 1 April yang lalu. Majlis perasmian Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak ini yang merupakan arkib negara kelima telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika membaca teks ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis perasmian.

Menurut Dato’ Sri Abdul Karim, arkib merupakan institusi yang perlu dipertahankan kerana menjadi tempat penyimpanan pelbagai khazanah warisan dokumentasi negara kita. Keruntuhannya akan menyebabkan kita kehilangan segala bahan yang merupakan bukti ketamadunan bangsa.

“Bahan arkib yang sahih amat penting kerana merupakan sumber utama yang diterima di mahkamah antarabangsa dalam pembuktian kes yang mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan negara meliputi laut, darat dan udara. Contohnya, kes tuntutan Pulau Ligitan dan Sipadan pada tahun 2022 yang berpihak kepada negara kita menerusi penemuan rekod di institusi arkib yang menunjukkan aktiviti dan kawalan Malaysia terhadap pulau-pulau tersebut,” kata Dato’ Sri Abdul Karim yang menyampaikan teks ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua penjawat awam negeri dan persekutuan supaya komited menjaga dan memelihara rekod yang diwujudkan serta hendaklah menyerahkan rekod awam yang bernilai kekal kepada Pustaka Negeri Sarawak bagi rekod kerajaan negeri dan kepada Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak bagi rekod kerajaan persekutuan.

Beliau turut menyatakan bahawa zaman ledakan data dan maklumat yang menuntut kreativiti dan perkembangan pesat dunia teknologi pada masa kini turut memberi kesan langsung kepada institusi arkib.

“Pendigitalan bahan arkib dengan tujuan pemeliharaan dan penyelidikan akan membuka ruang kepada institusi arkib untuk menarik lebih ramai penyelidik dan pengguna bahan arkib dari dalam dan luar negara,” jelas Dato’ Sri Abdul Karim.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Menteri MOTAC, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri merasmikan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak.

Tambah beliau lagi, dalam usaha menggembleng pelan tindakan (blueprint) digital, kerajaan negeri Sarawak memberi tumpuan kepada peningkatan ekosistem bersepadu untuk memupuk masyarakat digital yang inklusif, mengembangkan ekonomi digital serta menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan sektor teknologi pintar.

Justeru, sewajarnya inisitif ini perlu disambut baik oleh penyedia perkhidmatan rujukan data dan maklumat termasuklah institusi arkib sebagai tempat simpanan maklumat rasmi di Sarawak.

Turut hadir memeriahkan majlis perasmian tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Hipni.

Majlis perasmian ini turut disiarkan secara dalam talian dan rakamannya boleh ditonton di https://www.facebook.com/myarkibnegara/videos/3269675843284973.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.