Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada usia 20-an dan 30-an, mungkin terdapat tekanan yang besar untuk memenuhi jangkaan masyarakat, keluarga, rakan-rakan, orang-orang di sekeliling serta untuk diri kita sendiri. Ramai orang menoleh ke belakang dan berasa kecewa kerana mereka tidak mengambil peluang untuk mengembara dengan lebih banyak lagi.
Orang lain mungkin membayangkan bahawa mereka akan berada lebih jauh dalam kerjaya atau hubungan peribadi mereka. Pada hakikatnya, hidup ini sukar dan kita mungkin menghadapi kemunduran sama ada besar atau kecil yang boleh menghancurkan impian kita serta meninggalkan kita dengan serpihan harapan yang kita anggap tidak bernilai.
Perasaan dan pengalaman menempuhi kegagalan boleh menjejaskan tahap mental secara berpanjangan namun tidak boleh menjadi penghalang untuk anda menelusuri jejak jalan kehidupan anda. Terdapat banyak ajaran, amalan dan falsafah yang boleh membantu anda menangani kekecewaan, menerima ketidaksempurnaan dan kekal optimistik.
Antara satu daripada amalan dan falsafah sedemikian adalah seni reka bentuk Jepun kintsugi yang bermaksud bergabung dengan emas. Kintsugi telah menarik banyak perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai teknik seni, pandangan dunia, metafora serta kaedah untuk manusia menjalani alam kehidupan.
Selain itu, banyak seni reka bentuk Jepun telah dipengaruhi oleh falsafah Zen dan Mahayana yang memperjuangkan konsep penerimaan dan perenungan ketidaksempurnaan, perubahan yang berterusan dan ketidakkekalan semua perkara.
Kintsugi juga merupakan seni reka bentuk Jepun untuk membaiki tembikar yang pecah. Jika sesuatu mangkuk itu pecah, maka serpihan yang pecah itu akan dilekatkan semula dengan menggunakan getah pokok seperti gam dan retakan dihiasi dengan emas. Tiada percubaan untuk menyembunyikan kerosakan, sebaliknya akan diserlahkan demi menonjolkan nilai kesenian.
Amalan ini menonjolkan idea bahawa kecantikan boleh didapati dalam sesuatu ketidaksempurnaan. Manakala kerosakan pula adalah satu peluang untuk menerapkan bentuk pemikiran dan menjadi contoh kegagalan untuk membantu menambah baik taraf kehidupan.
Teknik Membaiki Pasu Pecah
Kintsugi agak meluas tersebar di Jepun pada sekitar akhir abad ke-16 dan awal abad ke-17. Asal usul estetika ini bermula sejak ratusan tahun lalu sehingga ke zaman Muromachi (sekitar tahun 1336 hingga tahun 1573). Syogun (pemerintah) ketiga pada era itu, iaitu Ashikaga Yoshimitsu (memerintah dari tahun 1358 hingga tahun 1408) dikatakan telah memecahkan mangkuk teh kegemarannya. Mangkuk teh tersebut sangat unik dan tidak boleh diganti.
Rentetan itu, Ashikaga Yoshimitsu tidak membuang mangkuk teh tersebut, sebaliknya beliau menghantarnya ke China untuk diganti baharu atau dibaik pulih. Mangkuk teh tersebut dibaiki dengan kepingannya dipegang pada tempatnya dengan pengikat (staple) logam.
Pembaikan atau pengikat asas merupakan teknik membaik pulih barangan berharga yang pecah di China dan juga di sebahagian besar negara Eropah pada zaman itu. Walau bagaimanapun, Syogun menganggapnya tidak berfungsi dengan baik dan tidak cantik.
Sebaliknya, demi menyelesaikan masalah barangan kraf tangan kaca yang mudah pecah, Syogun mengupah tenaga pekerja yang pakar dan mahir dalam membaik pulih barangan berharga yang pecah serta menghasilkan sesuatu yang indah dan penuh dengan nilai estetika daripada barangan kaca yang pecah dan rosak di samping menyembunyikan kerosakannya.
Mencari Keindahan dalam Ketidaksempurnaan
Kintsugi membuat atau menjadikan sesuatu yang baharu daripada periuk atau bekas mangkuk yang pecah dengan diubah suai untuk menonjolkan nilai kecantikan dan keindahan yang berbeza. Ketidaksempurnaan dan retakan keemasan adalah dua nilai estetika yang menjadikan objek baharu yang dihasilkan itu unik.
Seni kintsugi berkait rapat dengan falsafah wabi-sabi Jepun, iaitu “pandangan dunia yang berpusat pada penerimaan kefanaan, ketidaksempurnaan dan keindahan yang terdapat dalam kesederhanaan”. Wabi-sabi juga merupakan penghargaan terhadap kedua-dua objek semula jadi dan kuasa alam semula jadi yang mengingatkan manusia bahawa tiada apa-apa yang kekal buat selama-lamanya di dunia ini.
Falsafah wabi-sabi juga merupakan sebahagian daripada seni estetika merenung dan melihat sesuatu perkara yang menjadi semakin cantik seiring dengan berlalunya masa. Sebagai sebahagian daripada reka bentuk kraf tangan dan kesenian, kintsugi telah berkembang melebihi jangkaan sebagai sebuah falsafah dan gaya hidup. Hal ini kerana teknik kintsugi bukan sekadar membaik pulih objek sahaja, bahkan telah berubah penampilan idealogi, pemikiran dan identiti asalnya.
Pada zaman pengeluaran besar-besaran dan pematuhan, falsafah kintsugi mendidik manusia supaya belajar menerima, mengiktiraf dan meraikan perkara yang tidak sempurna. Di samping itu, falsafah kintsugi juga turut menonjolkan dan menyerlahkan sesuatu kekurangan dan ketidaksempurnaan menjadi sesuatu yang hebat, unik dan istimewa. Contohnya, serpihan hati yang hancur akibat rasa kecewa kerana putus cinta boleh diubah menjadi sesuatu yang baharu, positif dan unik menerusi penghayatan falsafah kintsugi.
Perkara baharu itu mungkin tidak sempurna atau tidak seperti yang anda bayangkan, namun tetap indah dan menarik. Berbanding cuba menyembunyikan kelemahan, teknik kintsugi menyerlahkan dan menarik perhatian manusia. Falsafah kintsugi sebagai pendekatan kepada kehidupan boleh membantu memberi semangat dan motivasi kepada manusia apabila menghadapi kegagalan.
Kita juga boleh cuba mempraktikkan pendekatan kintsugi dalam seni mereka bentuk, mencipta dan menghasilkan kraf tangan. Jika hasilnya berjaya dan memberangsangkan, kita boleh mengamalkannya sebagai sebahagian daripada cara dan gaya hidup. Walaupun hasilnya mungkin tidak kelihatan cantik secara langsung, namun berdasarkan ajaran falsafah wabi-sabi, seiring dengan berlalunya masa, kita mungkin dapat menghargai keindahan sebuah ketidaksempurnaan itu.
Barangan kaca yang dihasilkan seperti mangkuk mungkin kelihatan mudah pecah dan bertaburan kepingan-kepingannya, tetapi hal ini juga adalah satu peluang untuk mencantumkannya kembali bersama dengan jahitan emas. Justeru akan menghasilkan mangkuk dengan hasil estetika kesenian yang baharu, unik, kuat dan menarik.