Oleh Mubarak Ismail
23 November 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Kunjungan hormat Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN) ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung pada 23 November 2022 (Rabu) pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Aras 30, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Barisan pengurusan tertinggi DBP bersama-sama para wakil delegasi PERANAKAN.

Delegasi PERANAKAN seramai lapan orang diketuai oleh Datuk Ronald Gan Yang Hoe selaku Presiden PERANAKAN. Manakala DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP yang turut mempengerusikan sesi perbincangan kerjasama dalam kunjungan hormat ini.

Menurut Presiden PERANAKAN, Datuk Ronald Gan Yang Hoe dalam ucapannya, tujuan utama PERANAKAN melakukan kunjungan hormat kepada DBP adalah untuk mewujudkan dan mengukuhkan hubungan kerjasama antara institusi utama yang berperanan menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan, iaitu DBP dengan masyarakat Baba dan Nyonya.

Datuk Ronald Gan Yang Hoe, Presiden PERANAKAN sedang menyampaikan ucapan.

“Di samping itu, PERANAKAN juga berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan DBP berkaitan kegiatan bahasa dan sastera bagi menonjolkan perpaduan antara kaum serta keunikan budaya, sejarah, warisan dan tradisi masyarakat peranakan Baba dan Nyonya,” ujar Datuk Ronald Gan Yang Hoe.

Tambah beliau lagi, PERANAKAN juga berharap agar DBP dapat membantu masyarakat Cina peranakan menghidupkan dan menyemarakkan lagi bahasa Baba dan Nyonya yang hampir sama dengan bahasa kebangsaan di seluruh negara dan pada peringkat antarabangsa.

Datuk Ronald Gan Yang Hoe turut berkata, kini PERANAKAN dalam perancangan untuk menganjurkan pelbagai program, pertandingan dan persembahan untuk memperkenalkan dan mempromosi keunikan serta kemeriahan budaya dan bahasa masyarakat Baba dan Nyonya kepada umum. Program ini dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2023.

“Selain itu, PERANAKAN juga akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Baba dan Nyonya Edisi ke-34 di Melaka pada tahun depan dengan tema “Between Man and Ocean”. Konvensyen ini akan melibatkan masyarakat Baba dan Nyonya dari seluruh dunia seperti dari negara Singapura, Indonesia, Thailand, Australia dan lain-lain,” kongsi Datuk Ronald Gan Yang Hoe.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran sedang mempengerusikan perbincangan kerjasama dengan PERANAKAN.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran pula berkata, DBP menyambut baik hasrat PERANAKAN mahu bekerjasama dengan DBP untuk mengangkat, menonjolkan dan mempamerkan keunikan budaya serta bahasa masyarakat Baba dan Nyonya.

“Demi memperkasakan warisan, budaya, bahasa, sejarah dan tradisi masyarakat Baba dan Nyonya supaya tidak lenyap ditelan arus kemodenan zaman, DBP bercadang supaya dianjurkan satu program selama satu hari yang sarat dengan pelbagai program yang bermanfaat untuk menonjolkan keunikan identiti masyarakat Baba dan Nyonya merangkumi forum, demonstrasi masakan Baba dan Nyonya, persembahan teater, pertandingan koir Baba dan Nyonya berkonsepkan lagu rakyat, pertandingan pantun, sajak dan lain-lain lagi,” kata Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Tambah beliau lagi, DBP bersetuju untuk bekerjasama dengan PERANAKAN demi mengangkat dan memartabatkan keunikan masyarakat Baba dan Nyonya seiring dengan kemeriahan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Justeru, DBP sentiasa mengalu-alukan sebarang penambahbaikan dan kerjasama daripada semua pihak supaya program kerjasama antara DBP dengan PERANAKAN dapat direalisasikan menjadi kenyataan serta memberi impak dan manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Turut hadir memeriahkan kunjungan hormat ini ialah Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP; Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP; Dr. Azizul Haji Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP; Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP serta Encik Muhammad Lutfi Zahid, Editor majalah Dewan Budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.