25 November 2022, 14:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Temasya Cinta Ilmu (TETAMU) bersempena Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) tahun 2022 telah berlangsung dengan jayanya semalam. Program TETAMU ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama pihak Menara Kuala Lumpur (MKL).

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Nazli Saad (ketiga dari kiri) bersama-sama para pemenang pertandingan.

Program ini berlangsung pada 24 November 2022 (Khamis), pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang di Amphitheatre, Menara Kuala Lumpur. Pertandingan Baca Berita ini telah menarik minat pelbagai golongan masyarakat yang terdiri daripada kakitangan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (GLC) dan orang awam.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk membentuk sebuah masyarakat berilmu yang bertaraf dunia dengan menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup mereka. Program ini juga bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2023 menerusi kempen Malaysia Membaca dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).

Barisan tetamu kehormat yang hadir.

Program TETAMU ini melibatkan dua aktiviti utama, iaitu Pertandingan Baca Berita dan Gema Cinta Ilmu. Pertandingan baca berita disertai oleh 14 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pertandingan ini diadili oleh dua orang panel hakim, iaitu Encik Norhisham Razali dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan Puan Norazimah Abu Bakar dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Yasothaa Velusamy dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai Johan Pertandingan Baca Berita.

Dalam pertandingan ini, Yasothaa Velusamy dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai johan. Naib johan pula dirangkul oleh Lisa Licson dari Tzu Chi International School, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Wan Mariah Wan Badrulhisam dari Kuala Lumpur. Tiga orang peserta yang berjaya mendapat hadiah sagu hati ialah Nurul Zawani Hj. Zaidi, Fauziah Ismail dan Nur Hazirah Mohammad.

Semua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil dan juga hadiah iringan tajaan DBP dan Menara Kuala Lumpur. Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Persembahan dikir barat oleh kumpulan Akademi Arjuna Sukma memeriahkan majlis.

Program Gema Cinta Ilmu merupakan program kesenian dan kebudayaan yang melibatkan persembahan dikir barat, sketsa, lagu puisi, nyanyian dan deklamasi sajak. Dikir barat dipersembahkan oleh kumpulan Akademi Arjuna Sukma, persembahan sketsa “Abah dan Anak” daripada Kumpulan Telang dan nyanyian lagu etnik kreatif Budi Bahasa Budaya Kita didendangkan oleh Ummu Nadiah. Badrul Hisham pula menyampaikan lagu puisinya yang bertajuk Kekasih serta Saliza Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana turut mendeklamasikan sajak nukilannya yang bertajuk Kitab Ini.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Nazli Saad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid serta Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP, Hajah Wardati Md Sheriff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.