27 November 2022, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Kemeriahan Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2022 jelas kelihatan apabila lebih 30 pembekal buku menawarkan diskaun hebat berserta dengan pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan bermula pada Selasa, 22 November 2022 dan berakhir pada 26 November 2022.

Suasana Pesta Buku Darul Naim 2022.

Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) selaku penganjur utama Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2022 Peringkat Negeri Kelantan telah berganding bahu bersama-sama beberapa agensi kerajaan dan swasta seperti Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Syarikat Muda Osman dan penerbit lain dalam usaha menyemai semangat membaca dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai program yang menarik.

Program yang berlangsung di aras bawah Giant Superstore, Tunjong ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Bicara Usahawan, Pertandingan Mewarna, Persembahan Dikir Barat, Pertandingan Membaca Al-Quran dan Tadabbur, aktiviti bersama-sama maskot serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan kepada para pengunjung. Selain itu, diskaun jualan buku juga turut ditawarkan oleh pembekal buku yang diundang untuk bersama-sama dalam Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim ini.

DBPWT juga tidak ketinggalan dalam menyambut usaha baik PPAK ini dengan mengadakan jualan buku dan majalah dengan pemberian diskaun sehingga 25% melalui Ujana Buku DBP. Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di reruai DBPWT seperti Kuiz Bahasa, Suai Padan Perkataan Rumi dan Jawi, Bacaan Mengikut Intonasi yang Betul, dan Pandai Eja.

Majlis perasmian penutupan Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob. Beliau dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya menerapkan amalan membaca terutamanya dalam kalangan generasi muda. Selain itu, beliau turut menggalakkan masyarakat tidak kira tua atau muda agar sentiasa menjadi insan yang berilmu melalui amalan membaca. Jelas beliau lagi,

Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob semasa menyampaikan ucapan perasmian penutupan Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim.

Kita hendaklah menjadikan amalan membaca sebagai amalan harian kerana dapat membentuk insan yang berilmu serta dapat mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras pembentukan masyarakat yang cemerlang. Anggota masyarakat terutamanya ibu bapa perlu berperanan sebagai suri teladan dengan menunjukkan sikap suka membaca supaya dapat dijadikan contoh kepada generasi muda.

Beliau juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bersempena dengan pertandingan “Keluargaku Keluarga Membaca” yang telah disertai oleh 571 keluarga dari seluruh negeri Kelantan. Sebanyak enam anugerah telah dipertandingkan sejak bulan Mac yang lalu.

 

Persembahan bahasa berirama oleh murid bersempena dengan majlis tersebut.

Pihak DBPWT turut menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.