Oleh Nik Azman Nm
14 September 2022, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Laman Warisan Kampung Laut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini merupakan destinasi pelancongan warisan terbaharu di Kelantan yang berpotensi tinggi dan menjanjikan masa depan yang cerah.

Daya penarik yang terpenting di situ adalah Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu yang tertua di Asia Tenggara dengan berusia lebih daripada 300 tahun.

Sejarah Masjid Kampung Laut banyak berkait rapat dengan penyebaran agama Islam dan dakwah di rantau ini pada abad ke-18 selain menjadi simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Kelantan.

Keunikan Masjid Kampung Laut terletak pada keseluruhan binaan yang dibuat daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku, selain kehalusan ukirannya yang menjadi tarikan utama pelancong.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut.

Kerajaan Persekutuan menyokong penuh usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kesannya pasti dapat memelihara dan melonjakkan taraf profil warisan sejarah dan budaya negeri Kelantan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melalui Projek Pembangunan Semula Kampung Laut berjaya memindahkan Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara ke tapak asalnya di Kampung Laut.

Masjid ini mempunyai nilai sejarah yang cukup tinggi selain berkaitan dengan penyebaran Islam dan dakwah, sekali gus kewujudannya membuktikan ketamadunan Melayu Islam dalam seni bina dan tradisi Melayu.

Menurut cerita lisan, para mubaligh Islam belayar di sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebarkan agama Islam. Pada tahun 1930-an, sekumpulan mubaligh Islam melalui Pantai Timur Semenanjung Malaysia sewaktu dalam perjalanan menuju ke Pattani. Walau bagaimanapun, perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan.

Para mubaligh Islam dalam perahu itu bersumpah bahawa jika mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dan serta merta doa mereka dikabulkan dan para mubaligh Islam tersebut mendarat di Kampung Laut.

Ada pendapat yang mengatakan masjid tersebut dibina oleh Wali Songo sewaktu dalam perjalanan dari Pulau Jawa ke Champa. Ada pula yang mendakwa masjid tersebut dibina oleh pendakwah Islam yang tiba dari kerajaan Demak yang memerintah Jawa pada masa itu.

Reka bentuknya menyamai Masjid Agung Demak di Jawa Tengah, Masjid Kono di Champa, Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussein di Thailand.

Masjid Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Masjid yang asal bukan seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Sebaliknya masjid tersebut merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia dengan keluasan 400 kaki persegi pada keseluruhannya.

Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi pusat agama Islam yang penting dan diperbesarkan merangkumi bilik sembahyang tambahan, serambi dan menara dengan 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan itu.

Binaan tambahan itu menggunakan teknik “Tebuk Pasak” yang amat unik, dibina daripada kayu dan tidak menggunakan walau sebatang paku sekali pun. Atap daun rumbia pula diganti dengan atap genting.

Akibat kawasan tapak asal masjid di tebing sungai sering dilanda banjir termasuklah banjir besar pada tahun 1926 dan tahun 1966, maka Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat.

Pada tahun 1968, masjid itu dipindahkan dan dibuka kembali di kawasan yang baharu, iaitu di Nilam Puri kira-kira 20 kilometer dari tapak asal dan dibina dengan bantuan para tukang kraf tangan Melayu Kelantan.

Setelah lebih 50 tahun, akhirnya hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Kampung Laut ke tapak asalnya menjadi kenyataan ibarat “sirih pulang ke gagang”.

Menurut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat baru-baru ini, beliau berharap Masjid Kampung Laut mendapat pengiktirafan sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh UNSECO.

Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Masjid Kampung Laut, Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding.

Laman Warisan Seni Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Laman Warisan Kampung Laut kini menjadi satu destinasi wajib singgah oleh para pengunjung di Kelantan khususnya di Kota Bharu.

Negeri Kelantan kaya dengan hasil kesenian dan kraf tangan yang diwarisi sejak turun temurun. Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara dan mempromosikan warisan seni budaya rakyat Kelantan.

Laman ini juga memberi peluang kepada karyawan-karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil seni seperti batik, wau dan barangan kraf tangan kepada para pengunjung di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu dalam kalangan generasi muda.

Serunding Kampung Laut juga terkenal di seluruh Malaysia dan merupakan juadah yang mesti dibeli oleh para pelancong apabila berkunjung ke Kelantan.

Dengan adanya Laman Warisan Serunding, para pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks yang lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil-hasil pengusaha. Selain serunding, dodol, gelembung buaya, keropok, kerepek dan agar-agar kering turut dijual.

Seiring dengan kepentingan sektor pelancongan pada era kini, maka kewujudan Laman Warisan Kampung Laut harus diberi perhatian serius oleh semua pihak. Pembangunan semula tapak warisan ini diyakini akan memberi manfaat yang cukup besar untuk pembangunan sosioekonomi rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.