Oleh Nik Azman Nm
31 Januari 2023, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan seni budaya dan warisan tempatan yang masih mekar dan kekal sepanjang zaman. Perkembangan arus zaman tidak banyak memberi kesan kepada kedudukan seni budaya dan warisan tempatan yang masih bertahan dengan identiti tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman (tengah) bersama-sama para pelajar di pusat kebudayaan Gelanggang Seni.

Sesuai dengan matlamat untuk mengekalkan dan memartabatkan seni budaya tempatan agar terus utuh sepanjang zaman, sebuah pusat latihan yang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC Kelantan) ditubuhkan.

Objektif penubuhan pusat latihan ini adalah untuk mengekalkan dan menjaga seni budaya dan warisan di samping melahirkan pelapis-pelapis baharu yang berwawasan serta penggiat seni tradisional yang berkelulusan akademik.

Selaras dengan hasrat tersebut, TIC Kelantan melaksanakan inisiatif mewujudkan satu akademi bagi memberi pendedahan dan melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam industri pelancongan.

Pusat latihan tersebut terletak di pusat kebudayaan Gelanggang Seni, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan yang telah dibaik pulih dan dinaik taraf supaya sesuai dijadikan sebagai tempat Akademi Seni Budaya dan Warisan beroperasi.

Pusat latihan ini bakal dikendalikan oleh seorang pengurus dan beberapa tenaga pengajar yang akan dilantik berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing yang berkaitan dengan seni budaya dan warisan.

Penubuhan akademi ini juga diharap dapat melahirkan generasi penggiat seni baharu yang lebih berkualiti, berwawasan dan berpendidikan bagi menggalakkan penjanaan pendapatan kepada rakyat, penggiat seni dan negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman, pusat ini mula ditubuhkan pada 2 November 2022 dan berpusat di Gelenggang Seni serta dikawal selia oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).

Tambah beliau, pada peringkat awal, akademi ini mempunyai seramai 30 orang pelajar dengan lima orang tenaga pengajar dan seorang penyelia.

“Kelas latihan secara intensif selama enam bulan akan diberikan kepada para pelajar yang menyertai akademi ini mengikut modul pembelajaran yang ditetapkan bagi melatih dan mencungkil bakat mereka supaya mahir dalam persembahan terutama di hadapan khalayak ramai.

Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan membiayai sepenuhnya segala kos sepanjang program akademi ini berlangsung dengan pelajar dan tenaga pengajar diberikan elaun dan makan minum secara percuma,” ujar Mejar (B) Dato’ Md. Anizam.

Mejar (B) Dato’ Md. Anizam turut berkata, silibus akademi ini merangkumi pelbagai jenis persembahan. Antaranya termasuklah bergendang klasik, bergendang moden, muzik silat, muzik wayang kulit dan pelbagai jenis permainan tradisional.

Di samping itu, beliau turut berharap agar penubuhan akademi ini dapat melahirkan pelapis-pelapis kreatif, profesional, berkualiti serta berkebolehan tinggi dalam mempersembahkan seni budaya dan warisan negeri.

“Pihak kerajaan negeri Kelantan berharap agar satu kumpulan persembahan kebudayaan negeri dapat ditubuhkan menerusi akademi ini kelak yang boleh membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan pada peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan serta program-program pelancongan yang bertaraf antarabangsa.

Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman (tengah) bersama-sama tenaga pengajar di pusat kebudayaan Gelanggang Seni.

Kami berharap dengan kewujudan pusat seperti ini mampu membawa masyarakat kita melangkah setapak lagi dalam mengembangkan bidang kajian dan penyelidikan tentang seni budaya dan warisan di negeri ini,” kata Mejar (B) Dato’ Md. Anizam.

Kerjasama daripada semua pihak khususnya agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), sektor swasta, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan para penggiat seni budaya amat dialu-alukan demi mencapai hasrat tersebut.

Sudah tiba masanya pihak swasta khususnya agensi pelancongan dan hotel mengambil sikap proaktif dengan memberi sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan setiap program yang berkaitan dengan seni budaya dan warisan tempatan.

Jika semua pihak mengambil sikap proaktif dan bertanggungjawab, tidak mustahil dalam waktu yang singkat, kita mampu memartabatkan seni budaya tempatan melepasi sempadan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.