2 Disember 2022, 19:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor melancarkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung yang menjadi identiti negeri Selangor kepada barisan exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para penjawat awam di Selangor semalam. Menteri Besar Selangor, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Amirudin Shari hadir menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor.

Menteri Besar Selangor, YB Dato’ Seri Amirudin Shari sedang berucap dalam Majlis Pelancaran Batik Selangor.

YB Dato’ Seri Amirudin menyarankan agar Batik Selangor dipakai dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan pada peringkat parlimen. Walau bagaimanapun, DUN Selangor masih lagi tidak mempunyai peraturan tersebut.

“Pemilihan motif bunga tanjung sebagai identiti negeri Selangor kerana bunga tersebut mempunyai karakter yang unik, bersifat menyeluruh, berkecuali dan tidak berkait dengan mana-mana parti politik bagi membolehkan semua pihak menggunakan corak tersebut,” kata YB Dato’ Seri Amirudin ketika berucap merasmikan majlis pelancaran.

Beliau juga percaya bahawa motif ini akan digemari dan digunakan pada sambutan-sambutan atau pakaian rasmi dan semi kasual yang ada dalam kehidupan seharian. Tambah beliau lagi, pihaknya juga perlu melaksanakan promosi dan pembudayaan pemakaian Batik Selangor kerana hal tersebut bukan sekadar aspek kesenian, bahkan pembudayaan tersebut perlu diamalkan, dipraktikkan, dipakai dan digunakan sebagai karakter dan watak untuk negeri Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, YB Borhan Aman Shah sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, YB Borhan Aman Shah pula berkata, pemakaian batik wajar diperluas sama ada secara formal atau tidak formal.

“Usaha mengangkat seni batik bertujuan untuk memartabatkan batik tempatan, membangunkan industri tekstil berasaskan seni kreatif negara serta mengekalkan dan mempromosi identiti warisan negara,” ujar YB Borhan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri Selangor menerusi agensi yang bertanggungjawab, iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah melaksanakan inisiatif membangunkan reka bentuk Batik Selangor, khusus bagi kegunaan barisan exco, ADUN dan juga para penjawat awam negeri Selangor.

Baju batik Selangor menampilkan corak bunga tanjung berkelopak sembilan yang bakal dijadikan identiti rasmi negeri Selangor dihasilkan oleh PADAT dan Kraftangan Malaysia. Olahan motif yang ada pada Batik Selangor mempunyai maksud yang tersendiri, iaitu sembilan kelopak bunga tanjung melambangkan sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor dan pecahan tiga garisan pada setiap kelopak pula membawa maksud perpaduan masyarakat.

Baju batik yang berwarna hitam adalah khusus untuk ADUN Negeri Selangor.

Dalam majlis tersebut turut diadakan sesi peragaan Batik Selangor oleh Kumpulan Kesenian PADAT yang menampilkan 10 rekaan baju batik bermotif bunga tanjung. Majlis perasmian Batik Selangor yang berlangsung pada petang semalam boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook PADAT di https://www.facebook.com/PADATSelangor/videos/518602773639827.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.