12 Disember 2022, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Acara yang cukup mendapat sambutan daripada penggemar kopi, Pesta Kopi Pulau Pinang telah diadakan selama dua hari, iaitu pada 10 dan 11 Disember 2022 bertempat di Hin Bus Depot, George Town, Pulau Pinang. Acara yang julung-julung kali diadakan di Pulau Mutiara ini merupakan anjuran bersama-sama Tempatan Fest dan Rasta Brew Co. dengan sokongan Hin Bus Depot sebagai lokasi rasmi serta Sekolah Kopi sebagai rakan strategik.

Poster Pesta Kopi Pulau Pinang.

Pesta ini berjaya menarik penyertaan daripada 53 vendor tempatan dan antarabangsa, antaranya seperti Omerta Koffie, Brewlab, dan Le Tor Gold Coffee Farm. Di samping menikmati aroma pahit manis kopi yang memenuhi setiap ruang tapak pesta, para pengunjung turut dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual oleh vendor. Malah pengunjung juga dapat melihat sendiri demonstrasi pelbagai cara penyediaan kopi, cara menyenduk dan memilih biji kopi serta bengkel memanggang biji kopi. Yang menariknya, pengunjung boleh menyediakan sendiri kopi masing-masing mengikut cita rasa masing-masing menggunakan mesin kopi dan bahan-bahan yang disediakan oleh vendor yang menyertai pesta ini.

Vendor seperti Brickin Cafe Bar, Sekolah Kopi, dan Barista Guild Asia telah mengadakan bengkel kopi, manakala demonstrasi penyediaan kopi dilakukan oleh Omerta Coffee. Pertandingan Aeropress pula menawarkan hadiah wang tunai RM1000 kepada seorang pemenang utama. Acara “Kopi dan Irama” yang dipersembahkan oleh DJ Ranchak, Saiko-Rama, Jahvallion dan Aru Peruzza telah menggamatkan tapak pesta dengan persembahan yang menghiburkan para pengunjung selama dua hari pesta berlangsung.

Selain bengkel dan demonstrasi, Pesta Kopi Pulau Pinang juga diselitkan dengan forum dan bual bicara berkaitan dengan kopi. Antara topik dan isu yang dikongsikan dengan para pengunjung ialah kerjaya sebagai barista, mewujudkan sekolah kopi, pembukaan kafe kopi dan rahsia menghasilkan kopi yang sedap menggunakan campuran susu terpilih.

Para pengunjung yang menyertai bengkel penyediaan kopi.

Sebagai hiburan para pengunjung sebaik sahaja berlangsungnya pembukaan rasmi Pesta Kopi Pulau Pinang, persembahan boria yang menjadi ikon budaya Pulau Pinang telah dipersembahkan oleh Boria Omara. Perhimpunan para usahawan kopi selama dua hari dalam Pesta Kopi Pulau Pinang dilihat berjaya menarik minat para penggemar kopi serta menyemarakkan budaya komuniti kopi Malaysia. Turut bersama-sama memeriahkan acara Pesta Kopi Pulau Pinang ialah penyertaan beberapa pengusaha makanan jalanan yang turut menarik perhatian pengunjung.

Pesta Kopi Pulau Pinang terlaksana dengan jayanya melalui sokongan F&N Magnolia sebagai penaja utama dan juga pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Di samping itu, penganjuran pada kali ini juga turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada acara Cuti-Cuti Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.