23 Disember 2022, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tong Talun adalah nama asal bagi daerah Semporna yang bererti hujung hutan dalam istilah suku kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab menamakan Tong Talun ialah Panglima Udang, Panglima Sallenghani dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Hal ini disebabkan pada masa itu, daerah Semporna diliputi atau diselubungi oleh hutan belantara pada awal penemuannya.

Kemudian Tong Talun telah ditukar nama sebagai Semporna yang membawa pengertian tempat yang aman atau damai hinggalah sekarang. Pada masa dahulu, daerah Semporna berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Sulu. Jajahan takluknya meliputi sebahagian Filipina (sebelah selatan) dan Borneo Utara. Pada tahun 1876, kawasan yang dikenali dengan nama Borneo Utara telah diperintah oleh syarikat dari British, iaitu North Borneo Chartered Company (NBCC) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan British. Sejak itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah untuk selama-lamanya dan berkekalan kepada NBCC sebagai wilayah kuasa urus tadbir mereka.

Umum mengetahui bahawa daerah Semporna merupakan antara daerah yang terkenal dengan industri pelancongan di negeri Sabah. Satu daripada tarikan yang terdapat dalam daerah tersebut merupakan pesta air atau lebih dikenali sebagai pesta Regatta Lepa dalam kalangan masyarakatnya.

Pesta Regatta Lepa merupakan salah satu pesta tradisional bagi suku kaum Bajau di Semporna, Sabah. Pesta Regatta Lepa umpama perayaan tahunan bagi masyarakat Bajau di daerah Semporna sejak tahun 1994. Perkataan “Lepa” bermaksud bot atau perahu yang digunakan oleh suku kaum Bajau dalam kehidupan seharian.

Oleh hal yang demikian, Regatta Lepa ialah festival perahu tahunan yang diadakan pada setiap tahun dalam bulan April yang bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan adat, kesenian dan kebudayaan suku kaum Bajau di daerah Semporna. Lazimnya, “Sambulayang” yang merupakan bendera atau panji akan dipasang di sepanjang jalan raya dan perahu bagi menandakan ketibaan sambutan festival Regatta Lepa.

Secara umumnya, perayaan ini akan berlangsung selama tiga hari dan terbahagi kepada dua acara, iaitu acara darat dan acara laut. Acara darat kebiasaannya melibatkan acara pemilihan ratu lepa, karnival, pelbagai reruai jualan serta pameran seni dan budaya, manakala acara laut pula melibatkan perarakan perahu lepa yang penuh dengan pelbagai hiasan.

Perahu lepa yang dihiasi dengan Sambulayang.

Acara perarakan perahu lepa diadakan bagi memilih lepa yang dihias paling cantik. Pemenang akan berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, bot laju, alat ganti bot, trofi dan sijil. Kebiasaannya, pemenang dipilih berdasarkan hiasan “sambulayang”, persembahan tarian igal-igal yang diiringi dengan alunan muzik tradisional seperti gong, kulintangan dan tambul yang merupakan alat muzik tradisional turun-temurun kaum Bajau.

Alunan muzik dalam perahu lepa.

Acara pertandingan pemilihan ratu lepa pula kebiasaannya dilakukan sebelum pesta tersebut bermula dan hanya 10 orang calon yang layak akan mengikuti pertandingan tersebut. Calon mestilah berasal daripada suku kaum Bajau dan mempunyai kelengkapan baju tradisional masyarakat Bajau, iaitu baju igal-igal yang terdiri daripada baju Ala Bimbang.

Pemilihan calon Ratu Regatta Lepa 2022.

Di samping itu, calon akan dinilai berdasarkan keaslian “keigalan”, iaitu lenggok badan penari yang lemah-gemalai serta perlu mengetahui pelbagai titik tarian igal-igal seperti titik tarirai, titik limbayan, titik tabawan dan sebagainya. Selain itu, calon juga mestilah mempunyai personaliti yang menarik dan tahap komunikasi yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana calon yang dipilih akan menjadi model promosi dan pemasaran bagi memperkenalkan keunikan masyarakat Bajau di daerah Semporna. Tambahan lagi, calon yang terpilih akan mengikuti pelbagai latihan secara berterusan sebelum malam kemuncak lepa.

Raptai sebelum malam kemuncak Regatta Lepa 2022.

Bagi aspek pakaian pula, calon wajib mengetahui nama setiap pakaian dan perhiasan dalam pakaian tersebut. Pakaian tradisional masyarakat Bajau kebiasaannya dilengkapi dengan gandi (mahkota), janggai atau salung (sarung kuku), kambot (tali pinggang) dan sebagainya. Pakaian tradisional bagi perempuan kebiasaannya diperbuat daripada kain baldu yang dihiasi dengan manik dan dibentuk dengan pelbagai corak dan hiasan yang lain.

Terdapat empat warna asli yang selalu digunakan untuk membuat pakaian tradisional masyarakat Bajau seperti warna emas, hitam, hijau dan biru. Jelaslah bahawa festival ini membolehkan para pelancong dari luar mahupun dalam negara dapat melihat keunikan dan perincian baju tradisional masyarakat Bajau.

Pemenang Busana Berbaik Regatta Lepa 2022.

Selain daripada festival Regatta Lepa, pakaian tradisional masyarakat Bajau turut digunakan dalam majlis perkahwinan dan majlis keramaian. Hal ini dikatakan demikian kerana raja sehari akan menggayakan pakaian ini di samping mempersembahkan tarian igal-igal sebagai sembah tamu kepada para tetamu yang hadir ke majlis tersebut.

Yang uniknya, raja sehari akan “disabot” atau tetamu akan menyelitkan duit pada jari pengantin. Aktiviti “sabot” merupakan satu kewajipan bagi masyarakat Bajau. Individu yang datang dan mempersembahkan tarian igal-igal juga akan menerima sabot tidak kira daripada pihak keluarga pengantin mahupun tetamu yang hadir memeriahkan majlis tersebut sebagai tanda terima kasih.

Acara sabot dalam majlis perkahwinan.

Namun begitu, pemakaian gandi tidak wujud sama sekali pada awalnya. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat Bajau pada zaman dahulu hanya memakai lilitan sarung di atas kepala. Majoriti cara berpakaian masyarakat Bajau pada zaman ini telah diubah suai dan dimodenkan mengikut peredaran zaman. Oleh hal yang demikian, calon yang mengikuti festival tersebut juga akan dinilai berdasarkan keaslian baju igal-igal. Hal ini bagi memastikan keaslian baju tradisi masyarakat Bajau masih dapat dikekalkan sekali gus dapat dipamerkan pada generasi yang akan datang.

Kesimpulannya, masyarakat Bajau di Semporna kaya dengan pelbagai perayaan, adat dan budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum. Keunikan yang terdapat pada pesta Regatta Lepa juga mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya memelihara adat dan tradisi sesebuah kaum agar tidak hilang ditelan arus zaman.

Semua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan selagi tidak bercanggah dengan kepercayaan agama untuk tatapan generasi yang akan datang. Hal ini bagi memastikan mereka dapat mengetahui dan mempelajari budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Tuntasnya, peranan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan agar segala usaha yang dilakukan dapat membuahkan hasil yang bermanfaat dan berguna untuk pembangunan diri, masyarakat dan keluarga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.