1 Januari 2023, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 (USM ACF 2022) telah berlangsung pada malam 30 Disember 2022 bertempat di Padang Kawad, USM, George Town, Pulau Pinang dan majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang. Penganjuran USM ACF 2022 oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua Universiti Sains Malaysia (SKKT USM) mendapat sambutan hebat dengan kehadiran seramai 3000 orang penonton yang terdiri daripada pelajar USM dan warga kerja USM.

Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merakamkan gambar kenangan bersama-sama semua pemenang dalam Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022.

Dalam ucapan Majlis Perasmian USM ACF 2022, Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan bahawa keunikan budaya yang terdapat di Malaysia merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat berharga kerana dianggap sebagai suatu daya tarikan pelancongan.

USM ACF 2022 yang bertemakan “Retro Memoir” telah memperkenalkan nilai teras “Uphold the Colours of Culture” bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi muda menghayati keunikan budaya masyarakat majmuk berbilang kaum di Malaysia, selain mewarisi keunikan budaya setiap kaum di Malaysia. Pelibatan semua pelajar USM dalam USM ACF 2022 juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar USM meningkatkan nilai jati diri sebagai generasi kepemimpinan negara kelak.

Persembahan kebudayaan Cina dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Cina USM dalam Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022.

Penganjuran USM ACF 2022 merupakan landasan terbaik kepada semua pelajar USM untuk memupuk semangat toleransi dan mengeratkan perpaduan. Hasilnya, USM ACF 2022 telah menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan menarik dan persembahan tarian tradisional oleh Kumpulan Kesenian Adikarma, USM Pulau Pinang.

Penganjuran Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 merupakan landasan terbaik kepada semua pelajar USM untuk memupuk semangat toleransi dan mengeratkan perpaduan.

Tetamu kehormat yang hadir dalam USM ACF 2022 termasuklah Puan Ramnah Ramli, Pengarah Dewan Budaya USM mewakili Naib Canselor USM; Tan Ewe Hoe, Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM; Sydney Lim Xin Ni, Yang Di-Pertua Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua USM (SKKT USM); Ng Jun Ming, Pengarah Projek Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 serta para pegawai utama USM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.