23 Disember 2022, 23:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tiba di kemuncaknya apabila sebanyak 233 orang pesertanya dari 14 buah negeri di seluruh Malaysia mengadakan persembahan khas pada Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang yang diadakan di Auditorium Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka. Kem kesenian ini mengumpulkan kanak-kanak serta remaja cemerlang yang berusia daripada 10 tahun hingga 17 tahun dalam bidang tari, teater, muzik dan gasing.

Untuk catatan, kem ini bermula pada 19 Disember 2022 dan akan berakhir pada 24 Disember 2022. Antara objektif kem kesenian ini termasuklah memberikan pendedahan kepada para peserta dalam bidang seni yang diceburi, melahirkan pelapis dalam bidang seni budaya, meneroka peluang kerjaya masa hadapan dan memulihara seni budaya negara.

Selepas menjalani latihan selama beberapa hari, para peserta akhirnya berpeluang menunjukkan kebolehan masing-masing menerusi Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang pada malam ini. Pelbagai jenis persembahan yang ditampilkan seperti tarian gamelan timang burung, joget dan muzik cak lempong. Para peserta juga membuat persembahan deklamasi puisi, teater fizikal dan dekon (deklamasi lakon). Antara kelainan yang ditampilkan pada konsert ini termasuklah demonstrasi permainan gasing yang diberikan nafas baharu dengan konsep “gasing jalanan” (street gasing).

Para peserta membuat persembahan dekon (deklamasi lakon) sajak-sajak terkenal Sasterawan Negara Usman Awang.
Persembahan teater fizikal bertajuk “Kampungku Banjir” yang menyampaikan mesej tentang kejadian banjir yang melanda negara.
Persembahan “gasing jalanan” atau “street gasing”.

Kemeriahan malam kemuncak diserikan lagi dengan kehadiran beberapa orang figura daripada industri muzik tanah air seperti Naim Daniel, Tuah Adzmi dan Nur Dalilah Husna (Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022).

Turut hadir, para tetamu kehormat, iaitu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan pasangannya, Toh Puan Datuk Wira Dr. Hajah Asmah Ab Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Encik Rosnan Nordin mewakili Ketua Pengarah JKKN; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan Melaka, Encik Badaruddin Mohd Kassim mewakil Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Pengarah JKKN Melaka, Cik Ezlina Alias.

Barisan tetamu kehormat yang hadir pada Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil peserta dari setiap negeri oleh Encik Rosnan Nordin diikuti dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik bagi setiap bidang dan kumpulan pemenang Liga Gasing oleh Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Senarai penerima Anugerah Peserta Terbaik Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022

  • Bidang Tari
    Kamsina Rosdian Roslan
    Puteri Nurdayana Batrisyia Nazhan
  • Bidang Teater
    Che Muhammad Mustaqim Che Mustafa
    Nur Darin Haziqah Mohd Helmizalman
  • Bidang Muzik
    Muhammad Aryan Danial Khuzaimi Suhaimi
    Asiyah Bartisya Abd Rahim
  • Bidang Gasing
    Mohamad Haziq Hanafi Hafizuddin
    Liya Atiqah Abd Rashid

Senarai penerima hadiah Liga Gasing Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022

Juara: Kumpulan King Cobra
Naib Juara: Kumpulan Penyu Malam
Tempat Ketiga: Kumpulan Harimau Berantai

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.