23 Disember 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – “Kanak-kanak ialah penerus legasi. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan kanak-kanak, mereka akan menjadi orang dewasa yang tidak terdedah pada seni budaya mereka sendiri dan akan cenderung pada budaya lain seperti ‘gadget’ dan sebagainya. Seni budaya kita terpinggir kerana kita tidak memberikan jiwa seni sejak dari peringkat akar umbi. Akar umbi ini pula tidak terhad pada golongan orang Melayu sahaja, bahkan golongan Cina, India, Iban dan lain-lain.”

Begitulah yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Rosnan Nordin apabila ditanya tentang sebab kanak-kanak menjadi tunjang bagi Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 yang sedang berlangsung kini di Kompleks JKKN Melaka.

Timbalan Ketua Pengarah, Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Rosnan Nordin.

Kem kesenian pada kali ini memberikan fokus kepada empat cabang seni, iaitu tari, muzik, teater dan permainan tradisional gasing. Sepanjang kem berlangsung, para peserta menjalani pelbagai jenis kelas latihan. Antaranya termasuklah kelas latihan tarian rakyat; kelas muzik gamelan dan cak lempong; kelas teater dan liga gasing. Para peserta juga diberikan motivasi dan panduan yang berkaitan dengan bidang seni melalui sesi perkongsian bersama-sama beberapa selebriti pendidik seperti Cikgu Zack Kirana dan Cikgu Norliza Md. Yamin.

Kem tersebut mengumpulkan 233 orang kanak-kanak dan remaja yang berusia daripada 10 tahun hingga 17 tahun melalui Kelab Tunas Budaya dan Giat Budaya dari seluruh Malaysia. Kem Kesenian Kanak-kanak 2022 yang dianjurkan oleh JKKN buat julung-julung kali ini telah membuka tirainya pada 19 Disember 2022 dan akan berakhir pada 24 Disember 2022.

Harapan kami ialah agar para peserta dapat menggunakan ilmu yang diterima sepanjang kem ini untuk dijadikan sebagai panduan pembentukan diri dan sahsiah kerana seni budaya ini penuh dengan nilai-nilainya tersendiri. Diharapkan mereka boleh menjadi kesinambungan kepada warisan negara kita.

Para peserta Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 membuat latihan raptai yang berlangsung di Auditorium Panggung Sari JKKN Melaka.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya JKKN, Encik Mohammad Husri Morni berkata para peserta menunjukkan keterujaan dan memberikan maklum balas yang sangat positif sepanjang kem berlangsung.

“Para peserta kelihatan begitu bersemangat sekali. Sebenarnya, terdapat peserta daripada negeri Kelantan dan Terengganu yang terkandas akibat banjir di sana. Walau bagaimanapun, berbekalkan harapan dan tekad, mereka berjaya menyertai kem ini pada hari kedua selepas banjir reda di kawasan mereka,” ujar beliau.

Penolong Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya JKKN, Encik Mohammad Husri Morni.

Menurut beliau lagi, para peserta yang terpilih bagi kem ini merupakan pelajar yang cemerlang dan sememangnya telah mempunyai kemahiran asas. Mereka sering melibatkan diri dalam program kesenian pada peringkat sekolah. Latihan yang diterima daripada tenaga pengajar yang hebat adalah untuk mengembangkan pengetahuan di samping memantapkan kemahiran asas mereka.

Qabella Hurul Aini Muhammad Fakharuddin atau lebih mesra dipanggil Bella, 14 tahun, peserta kem bagi bidang tarian menyatakan kegirangannya kerana dapat menyertai Kem Kesenian Kanak-kanak 2022 ini. Tambahnya, kem tersebut memberikan peluang kepadanya untuk mempelajari perkara baharu dan lebih terperinci terutamanya dalam tarian istana. Manakala, tiga orang lagi peserta, iaitu Muhammad Saifullah Azahari Mohamad Ridzuan (gasing), Muhammad Alif Mukhriz Rosli (bidang muzik) dan Ratna Ashikin Atajudin (bidang teater), masing-masing menyatakan kegembiraan mereka kerana dapat berkenalan dengan rakan baharu dan berharap untuk menyertai kem seperti ini lagi pada masa akan datang.

Atas dari kiri, Muhammad Alif Mukhriz Rosli (bidang muzik) dan Qabella Hurul Aini Muhammad Fakharuddin; bawah dari kiri, Ratna Ashikin Atajudin (bidang teater) dan Muhammad Saifullah Azahari Mohamad Ridzuan (gasing) antara peserta Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022.

Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 akan menemui kemuncaknya pada malam ini dengan Konsert Apresiasi yang akan menampilkan persembahan khas daripada para peserta. Para peserta akan memperlihat kemahiran dan teknik yang telah mereka pelajari sepanjang kem ini berlangsung. Konsert Apresiasi ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.