27 Disember 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkahwinan bermaksud hubungan yang terikat antara seorang lelaki (suami) dengan seorang perempuan (isteri) yang diiktiraf oleh pihak berkuasa (sivil) atau diikat oleh kepercayaan agama bagi pasangan tersebut. Kita mengetahui bahawa setiap lapisan masyarakat mengamalkan upacara perkahwinan dalam kehidupan mereka berdasarkan kepercayaan anutan agama masing-masing.

Dalam kepercayaan agama Hindu, perkahwinan secara tradisi merupakan satu kedudukan monogami (suami berkahwin satu isteri). Upacara penting dalam perkahwinan kaum India adalah apabila pengantin lelaki mengikat thali pada leher pengantin perempuan. Upacara tersebut menandakan kedua-dua mereka telah berkahwin secara sah serta melayakkan mereka untuk digelar sebagai pasangan suami-isteri.

Pada zaman Sangam (tempoh sejarah purba Tamil Nadu, Kerala dan bahagian Sri Lanka yang pada masa itu dikenali sebagai Tamilagam yang merangkumi abad ke-6 Sebelum Masihi hingga abad ke-3 Masihi), thali dirujuk sebagai “Puthunaan”. Thali juga dipanggil sebagai taali, mangala sutra atau mangalyam oleh masyarakat India yang berbilang etnik.

Secara tradisi, thali merupakan seutas tali yang disalut dengan kunyit yang diikat pada leher pengantin perempuan oleh pengantin lelaki dalam upacara perkahwinan. Warna kuning daripada kunyit yang disapukan pada thali tersebut melambangkan tanda kesucian.

Thali yang diperbuat daripada emas.

Thali memainkan peranan sebagai simbol identiti bagi seorang wanita. Dalam kalangan masyarakat India, satu daripada cara untuk memastikan seorang wanita itu sudah bersuami atau masih bujang adalah dengan melihat dahi, leher atau kakinya. Tanda seorang wanita itu sudah berkahwin jika dia memakai thali, minji (cincin kaki yang disarungkan pada jari kaki (jari kedua pada kedua-dua kaki) dan meletakkan bindi merah pada dahi.

Meneliti asal usul nama thali, pada zaman dahulu, pengantin lelaki pernah mengikat benda yang sama yang diperbuat daripada daun palma yang dikenali sebagai “Taalam Panai” (Panai bermaksud daun palma) pada leher pengantin perempuan. Oleh sebab thali yang diperbuat daripada daun palma mudah putus dan rosak, maka thali logam digunakan untuk menggantikan taalam panai kerana lebih tahan.

Seterusnya, potraali, iaitu thali yang diperbuat daripada emas turut dihasilkan. Identiti sebenar thali bukan terletak sepenuhnya pada penghasilannya daripada emas, sebaliknya pada kunyit hidup yang diikat dengan tali juga merupakan thali.

Pada masa kini, kebanyakan wanita berbangsa India cenderung menggunakan rantai emas untuk menggantikan identiti thali. Loket yang dipakai pada thali juga berbeza mengikut keturunan masyarakat India, Malayali, dan Telugu. Di samping itu, thali juga berbeza berdasarkan kepercayaan agama. Golongan yang beragama Hindu menggunakan thali yang berbeza dengan golongan yang beragama Kristian.

Thali diikat pada leher pengantin perempuan oleh pengantin lelaki dalam upacara perkahwinan.

Selain itu, terdapat juga thali yang diukir berdasarkan generasi secara turun-temurun. Berdasarkan adat dan tradisi penganut Hindu, kebiasaannya anak lelaki akan meminta tukang emas untuk menyediakan thali yang serupa seperti yang digunakan oleh ibunya untuk dipakai oleh bakal isterinya.

Thali akan ditempah dalam tempoh tiga atau lima hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan hanya wanita yang telah berkahwin sahaja boleh pergi ke kedai emas untuk mengambil thali yang telah siap dihasilkan serta membawanya pulang ke rumah pengantin lelaki. Thali tersebut akan diberkati oleh Tuhan sebelum dibawa ke lokasi majlis perkahwinan berlangsung.

Menurut kitab Shastra, pengantin lelaki akan mengikat thali pada leher pengantin perempuan sebagai tanda agar semua orang mengetahui bahawa anak lelaki pasangan tertentu dan anak perempuan pasangan tertentu akan berkahwin pada hari dan masa tertentu di hadapan khalayak dengan persetujuan dan restu orang tertentu. Dalam tradisi perkahwinan agama Hindu, sari perkahwinan pengantin perempuan akan diberikan oleh pihak pengantin lelaki semasa majlis tersebut berlangsung.

Pada sesi subamukurtha pada hari perkahwinan, pengantin perempuan dengan memakai sari koorai (sari sutera tradisional Kanchipuram yang berwarna merah dengan hiasan benang emas dan manik yang cantik) akan duduk di sebelah kanan pengantin lelaki. Selepas selesai semua adat sebelum perkahwinan, pengantin lelaki akan bangun menuju ke sebelah kanan pengantin perempuan dan akan berdiri menghadap utara dengan memegang thali yang direstui oleh orang tua.

Seterusnya, mantera māṅkalyam tantunānē namajīvaṉa hētunā kaṇṭē pattāmi supukē cañjivacaratacam akan dibaca oleh sami dengan lantunan kettimelam serta taburan bunga sebagai tanda restu oleh para hadirin. Kemudian pengantin lelaki akan berpusing dan berdiri ke arah barat serta mengikat thali pada leher pengantin perempuan.

Antara reka bentuk dan corak thali.

Selagi suaminya masih hidup, maka isteri itu hendaklah sentiasa memakai thali. Oleh sebab itu, thali dianggap sebagai satu daripada ikon budaya masyarakat India. Thali juga mempunyai signifikannya yang tersendiri. Thali yang dipakai dan terletak pada dada akan bersentuhan dengan jantung secara tidak bersemuka. Keadaan tersebut secara tidak langsung berfungsi seperti akupunktur dalam perubatan Cina.

Sehubungan dengan itu, thali bukan sahaja menjadi identiti bagi seorang wanita yang sudah berkahwin dalam masyarakat India, bahkan thali juga menjadi lambang kekuatan bagi wanita tersebut. Ikon budaya seperti thali tidak muncul tanpa sebab. Oleh hal yang demikian, budaya memakai thali perlu dilestarikan agar diketahui oleh generasi baharu dan tidak lenyap ditelan arus perubahan zaman yang semakin moden.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.