Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBulan Disember 2022 yang lepas merupakan ulang tahun pertama sambutan Hari Batik Malaysia setelah mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Sri Ismail Sabri mengisytiharkan hari sambutannya pada 3 Disember setiap tahun pada tahun lepas. Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap segala sokongan dan usaha isteri mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang memulakan gerakan Malaysia Batik-Crafted for the World untuk membawa industri batik Malaysia ke persada antarabangsa.
Sambutan ini yang berlangsung saban tahun bersama-sama dengan penganjuran kempen “Ini Batik Malaysia” dilihat sebagai antara usaha permerkasaan industri kraf batik tempatan di negara kita selain sebagai usaha kerajaan dalam membudayakan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat.
Batik merupakan hasil kraf tangan yang mempamerkan budaya sesuatu bangsa menerusi rekaan motif dan warnanya. Perkataan batik dipercayai berasal daripada perkataan Jawa, iaitu “ba” dan “tik” yang membawa maksud setitis lilin. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan batik sebagai kain bercorak yang dilukis atau dicap dengan lilin dan dicelup.
Manakala menurut Kraftangan Malaysia, batik Malaysia didefinisikan sebagai seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya yang mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia menerusi proses pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak. Batik merupakan antara bidang kraf tangan tradisional yang unik dan istimewa di negara kita selain songket sehingga Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik mengiktiraf batik Malaysia sebagai satu daripada kraf tempatan yang terkenal pada peringkat global.
Kerajaan Malaysia terus berusaha memartabatkan batik sebagai antara produk seni tekstil kraf tangan warisan negara walaupun pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf batik sebagai warisan tidak ketara milik Indonesia pada tahun 2009. Hal ini kerana batik Malaysia berbeza dengan batik Indonesia sama ada dari segi motif dan corak, peralatan pembuatannya serta warnanya.
Sambutan Hari Batik pada setiap 3 Disember selain penganjuran kempen “Ini Batik Malaysia” oleh Kraftangan Malaysia yang telah berlangsung dari bulan Julai tahun lepas merupakan antara usaha proaktif kerajaan dalam usahanya untuk terus memperkenalkan produk batik dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kempen ini penting kerana keunikan batik Malaysia kini semakin terancam berikutan terdapat kecenderungan pengusaha dari negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan pada produk keluaran mereka.
Masyarakat terutamanya generasi muda semakin keliru untuk mengenal pasti batik Malaysia disebabkan lambakan batik dari negara luar seperti Indonesia dan China yang kelihatan seakan-akan sama. Penjualannya secara berleluasa juga boleh mengaburi mata masyarakat dan seterusnya mampu mengancam pemasaran produk batik negara kita.
Menurut Pengurus Besar Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Norizmah Mustafa, pihaknya telah mengesan pengusaha batik dari negara seberang khususnya Indonesia yang menciplak corak flora dan abstrak seperti pua kumbu yang merupakan identiti Malaysia. Batik Indonesia lebih terkenal dengan motif fauna selain menerapkan warna tanah seperti coklat dan hitam tetapi kini batik mereka juga berona ceria dan terang seperti batik tempatan kita. Keadaan ini bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat tetapi juga secara langsung menjejaskan pengusaha batik tempatan.
Kempen “Ini Batik Malaysia” merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia untuk memartabatkan industri kraf batik tempatan selaras dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia dan pemakaian baju batik Malaysia oleh para penjawat awam pada setiap hari Khamis. Kempen ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai batik Malaysia selain menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan rakyat negara kita.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata, kempen tersebut telah berjaya meningkatkan kesedaran, kecintaan serta ilmu pengetahuan mengenai produk kraf Malaysia dalam kalangan masyarakat. Kempen tersebut yang diadakan di bangunan kerajaan seperti Parlimen dan kementerian selain pusat membeli-belah terpilih serta lokasi tumpuan pengunjung dilihat berkesan dan membanggakan kerana telah berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM180 000 di seluruh negara.
Bersempena kempen “Ini Batik Malaysia”, Kraftangan Malaysia turut menganjurkan acara Peragaan Fesyen Batik Malaysia yang diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) pada Ogos 2022. Peragaan tersebut yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) menampilkan 48 koleksi baharu fesyen batik yang mengadaptasi konsep agropelancongan dengan kombinasi teknik konvensional dan alternatif menggunakan bahan semula jadi serta bersifat mesra alam.
Peragaan tersebut mampu memperkenalkan batik Malaysia kepada masyarakat terutamanya kepada para pengunjung MAHA. Di samping itu, Festival Kraf Langkawi 2022 (FKL 2022) yang baru sahaja berakhir pada 27 Disember yang lalu turut mengangkat tema “Ini Batik Malaysia”. Menurut Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Muhamad Razib Saruddin, pemilihan tema tersebut bersempena dengan ulang tahun pertama Hari Batik Malaysia. Setiap negara termasuklah Malaysia mempunyai keindahan produk batik yang tersendiri dan semoga FKL 2022 mampu menambah pengetahuan para pengunjungnya mengenai batik tempatan serta keunikan produk-produk kraf yang lain.
Sepanjang penganjuran kempen “Ini Batik Malaysia”, pihak Kraftangan Malaysia turut aktif berkongsi maklumat berkaitan batik Malaysia menerusi laman media sosialnya. Antaranya termasuklah perkongsian mengenali ciri-ciri batik Malaysia yang motifnya yang lebih besar dan ringkas dengan warna yang lebih cerah dan susunan cantuman motif tidak seragam, perbezaan antara batik Malaysia dan batik luar negara, penganjuran program borak santai berkaitan perjuangan usahawan kraf dan pereka Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan industri kraf batik ke persada dunia bersempena sambutan Hari Malaysia.
Selain itu, Kraftangan Malaysia turut menjalankan tinjauan berkaitan batik Malaysia dalam kalangan masyarakat Malaysia dan hasil tinjauan yang dilakukan mendapati bahawa masyarakat kita menyokong penuh usaha pihak Kraftangan Malaysia dalam memartabat dan memperkasa industri Batik Malaysia menerusi kempen “Ini Batik Malaysia”.
Kempen ini sewajarnya terus disemarakkan agar masyarakat tidak keliru dengan produk batik dari luar negara terutamanya dari negara jiran kita, Indonesia. Hal ini kerana masyarakat terutamanya generasi muda dilihat mempopularkan batik Indonesia dalam pelbagai majlis pada suatu masa dahulu. Tambahan pula, batik Indonesia dihasilkan dengan menggunakan mesin dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding batik tempatan. Oleh hal yang demikian, usaha Kraftangan Malaysia ini amatlah tepat untuk memartabatkan batik Malaysia.
Sokongan dan dokongan kerajaan terutamanya terhadap produk batik tempatan sememangnya amat ditagih. Dalam hal ini, kita boleh mencontohi kerajaan Indonesia apabila para pekerja pejabat di Pejabat Kedutaan Indonesia berpakaian berteraskan batik keluaran mereka, sebaliknya rakyat kita lebih selesa berpakaian mengikut fesyen Barat.
Di samping itu, Indonesia juga dilihat berjaya mendidik rakyatnya agar mencintai produk batik tempatan mereka kerana sangat sukar melihat masyarakatnya berpakaian batik Malaysia dan hal ini amat berbeza dengan budaya masyarakat kita. Kecintaan masyarakat terhadap batik perlu dipupuk agar seni kraf ini terus hidup dan segar dalam kalangan masyarakat kerana batik merupakan nilai warisan seni budaya masyarakat yang diwarisi sejak zaman-berzaman lagi.
Tuntasnya, kempen “Ini Batik Malaysia” yang dilaksanakan oleh pihak Kraftangan Malaysia sememangnya dilihat mampu memartabatkan batik tempatan dalam kalangan masyarakat. Kempen ini yang acap kali diadakan di Parlimen Malaysia merupakan antara pendekatan terbaik kerana pemimpin politik mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kalangan pengikut mereka serta mampu manjadi ikutan dan tarikan.
Contohnya, pemakaian batik Malaysia oleh mantan Perdana Menteri Malaysia dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suatu masa dahulu menjadi sebutan dan tular dalam kalangan masyarakat. Semoga kempen ini akan terus konsisten dilaksanakan dari semasa ke semasa agar masyarakat lebih cakna mengenai batik tempatan dan tidak lagi keliru dengan lambakan produk batik asing yang ada dalam pasaran negara.