Oleh Rasida Abu Bakar
14 Mac 2023, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali berkunjung ke Pasar Besar Melaka, penulis akan singgah di gerai kuih yang menjual pelbagai jenis kuih sama ada kuih tradisional atau kuih moden. Kuih cang menjadi pilihan utama penulis untuk dibeli. Apabila menyebut kuih cang, ada segelintir dalam masyarakat kita yang tidak mengenali kuih tradisional kaum Cina ini.

Kuih cang berasal dari negara China dan berbentuk unik, iaitu segi tiga. Selain itu, kuih cang turut mempunyai sejarah dan falsafah yang menarik. Menurut cerita turun-temurun, kuih cang mengandungi empat sudut yang membawa pengertian mendalam, iaitu mencukupi (zhi zu), mensyukuri (gan en), pemikiran positif (shan jie) dan memaafkan (bao rong).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cang ialah sejenis kuih berupa nasi yang dibungkus dengan daun buluh. Manakala menurut versi lain pula, kuih cang dihasilkan dengan menggunakan beras pulut. Kuih cang turut dikenali sebagai bakcang, sticky rice dumpling, Hokkien bak chang, bak zhang, rouzong, zhongzi, machang dan lain-lain. Dari segi bahasa, perkataan “bak” membawa maksud daging. Kuih tradisi ini disediakan oleh kaum Cina, Nyonya dan Tionghua pada setiap tahun mengikut kalendar lunar Cina. Selain Tahun Baru Cina dan Pesta Kek Bulan, kaum Cina akan turut menyambut perayaan Duan Wu atau lebih dikenali sebagai Pesta Perahu Naga dan Pesta Dumpling pada setiap tahun.

Juadah kuih cang yang sedia untuk dihidangkan.

Menurut kisah turun-temurun, kuih cang dihasilkan bagi mengenang dan memperingati jasa dan sumbangan seorang menteri dalam menghasilkan puisi klasik, iaitu Qu Yuan. Tragedi beliau hilang di dalam sungai telah menggemparkan seluruh masyarakat pada masa itu. Lantas masyarakat menyediakan bakchang dan beramai-ramai berusaha mencari mayat menteri itu dengan mendayung perahu sambil mencampakkan bakchang ke dalam sungai supaya ikan dan haiwan lain tidak memakan jasad menteri itu. Ekoran daripada peristiwa itu, maka wujudlah perayaan besar kaum Cina yang digelar Pesta Perahu Naga atau Hari Bakchang.

Penyediaan kuih cang boleh dikatakan rumit dan menggunakan ramuan tertentu. Proses pertama pembuatan kuih cang ialah melembutkan daun buluh kering dengan cara merebus atau direndam semalaman. Selepas itu, beras pulut direndam dalam tempoh beberapa jam dan dicuci. Proses kedua pula berkaitan inti kuih cang yang terbahagi kepada ramuan yang manis, pedas, berempah dan tanpa inti. Proses membuat inti mengikut cita rasa dan kesesuaian individu. Daun buluh tadi akan dibentuk menjadi seperti kon dan dimasukkan beras pulut yang telah digoreng mengikut sukatan 1/2. Kemudian, dimasukkan pula inti dan ditambah semula dengan beras pulut sehingga penuh. Selepas itu, proses membungkus dan diikat rapi sebelum direbus selama beberapa jam. Proses akhir pula ialah mengangkat dan menggantung kuih cang tersebut.

Di Malaysia, ada masyarakat Melayu yang menjadikan kuih cang sebagai antara juadah dan hidangan kepada tetamu atau kaum keluarga. Kini, kuih cang halal boleh dibuat sendiri atau dibeli. Ada juga kuih cang yang tidak mempunyai inti dan dikenali sebagai “kee chang”. Kuih cang kosong enak dimakan bersama dengan gula pasir atau gula merah yang telah dicairkan. Pada awal era 80-an, tetamu yang datang merewang di kampung penulis di Melaka akan dijamu dengan kuih cang sebelum majlis kenduri kahwin berlangsung. Kuih cang akan dipotong nipis dan dihidangkan dengan air teh.

Pengalaman yang menarik ketika mahu makan kuih cang ialah perlu memotong tali bungkusan kuih cang yang diikat ketat. Mereka yang pertama kali mencuba makan kuih cang kosong mungkin akan berasa tidak enak kerana rasanya yang tawar, sedikit pahit dan melekit. Manakala kuih cang versi manis dan pedas pula mengandungi isi buah berangan, gula, kekacang, cendawan, telur masin, rendang, sambal udang kering dan sebagainya yang lebih berperisa serta enak ketika dinikmati.

Kuih cang versi Baba dan Nyonya pula menggunakan bunga telang di samping menonjolkan warna kebiru-biruan yang menarik. Selain itu, kuih cang versi Baba dan Nyonya juga berbau wangi dan berasa sedikit manis kerana menggunakan hirisan tembikai Cina, daun pandan dan ayam berempah.

Kuih cang yang sudah siap untuk dijual.

Antara keistimewaan kuih cang ialah boleh disimpan lama hingga beberapa hari mengikut kaedah penyimpanannya. Jika kuih cang disejukbekukan, maka kualiti kuih cang tersebut boleh bertahan hingga lebih daripada sebulan dan hanya perlu dipanaskan semula apabila mahu dimakan atau dihidangkan kepada para tetamu.

Selain mempunyai banyak versi dan bersifat global, kini kuih cang halal mudah diperoleh sama ada dibeli secara dalam talian atau di kedai makanan. Di Pasar Besar Melaka, sebiji kuih cang kosong dijual dengan harga RM0.70 sen dan sangat laris dijual. Kuih cang bukan sahaja merupakan tradisi dan budaya orang Cina, namun kuih cang turut menjadi sebahagian daripada memori indah penulis pada masa lalu. Kuih cang menyatukan bangsa, keluarga dan masyarakat dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.