4 April 2023, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu Berhad (KOSISWA UMT) bersama-sama Ahli Lembaga KOSISWA UMT meraikan majlis sambutan berbuka puasa bersama dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Tema Iftar On the Deck istimewa dibawakan oleh UMT untuk pengunjung yang ingin mencuba sesuatu kelainan dalam menikmati suasana berbuka puasa. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan yang indah sambil menghirup udara segar di sekitar muara Sungai Terengganu.

Kuala Terengganu merupakan Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang mendapat status bandar raya. Program anjuran kerjasama i-Create dan CRAFs UMT ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengenali bagaimana saluran (vessel) penyelidikan UMT berfungsi sebagai satu wadah penggalakan pelancongan pendidikan (edu-tourism).

Dr. Mohd Shaari Abdul Rahman, Pengerusi KOSISWA UMT (tengah) bersama-sama staf di hadapan kapal RV Discovery.

Sewaktu berada di dalam kapal RV Discovery yang menjadi kebanggaan warga UMT, pengunjung sudah pasti akan dapat melihat keindahan Jambatan Angkat yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu pada 14 September 2022 bersempena sambutan ulang tahun ke-60 keputeraan baginda. Jambatan ikonik itu telah memberi impak yang besar dalam pembangunan negeri dan menjadi salah satu produk baharu sektor pelancongan di negeri ini.

Dr. Mohd Shaari Abdul Rahman, Pengerusi KOSISWA UMT berkata, majlis iftar diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara KOSISWA UMT dengan pengurusan HEPA UMT. Impaknya, KOSISWA UMT telah berjaya melahirkan ramai usahawan pelajar dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), HEPA UMT.

“Sokongan dan kerjasama pihak KOSISWA UMT dan HEPA UMT dalam membantu menjayakan agenda pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi bertujuan untuk mendidik serta membuka peluang kepada para pelajar untuk melaksanakan aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor. Selain itu, pihak universiti juga telah menyediakan platform infrastruktur dan prasarana seperti kiosk, ruang niaga dan pelbagai peluang latihan termasuklah secara dalam talian”, ujar Dr. Mohd Shaari.

Iftar On the Deck dan Moreh On the Deck merupakan antara promosi istimewa yang hanya ditawarkan pada bulan Ramadan. Para pengunjung sudah pasti akan berasa teruja melihat suasana kerlipan lampu pada waktu malam dengan keindahan pemandangan sambil menikmati hidangan di atas kapal RV Discovery.

Majlis iftar turut diserikan dengan kehadiran Haji Zukiferee Ibrahim, Pendaftar UMT termasuklah para pengunjung luar yang turut sama memeriahkan majlis iftar dan moreh yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan serta pelbagai hidangan yang menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.