Oleh Jamil Hashim
31 Mei 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melihat susuk tubuhnya yang sederhana dengan penampilan wajah yang kelihatan sentiasa tersenyum, sama ada ketika tampil di layar perak, pentas atau khalayak umum, masyarakat pasti mengenali beliau yang dikenali sebagai Wahid Sate. Beliau merupakan  seorang bintang legenda komedi zaman kegemilangan filem Melayu sejak era 1950-an dan 1960-an. Wahid Sate cukup sinonim dengan personalitinya yang mencuit hati gara-gara tampil sebagai penjual sate dalam filem Pontianak  pada tahun 1957 yang menampilkan Maria Menado sebagai bintang utamanya.

Melalui filem itu, pengarahnya, B.N. Rao, memilih Wahid untuk melakonkan watak sebagai penjual sate yang sentiasa bergerak mencari pelanggan. Ketika menjual sate di kampung pada waktu malam itu, Wahid terserempak dengan pontianak penghisap darah.  Aksi Wahid yang sangat takut dalam menghadapi detik-detik cemas itu menarik perhatian penonton.

Filem Pontianak yang menyeramkan ini benar-benar menarik perhatian masyarakat dengan  menerima kehadiran jumlah penonton di luar jangkaan ketika ditayangkan di panggung Cathay selama tiga bulan. Filem ini turut bersaing sengit mengatasi filem Hollywood Samson and Delilah. Watak sebagai penjual sate dalam filem itu turut mudah diingati oleh masyarakat, khususnya peminat filem Melayu, yang sekali gus menjadi pengenalan kepada nama dan personalitinya.

‘Aksi lucunya sebagai penjual sate dalam filem itu memang menarik perhatian sehinggakan ada penonton dalam kalangan masyarakat Tionghua yang berkesempatan menonton filem itu juga menyapa dirinya hanya sebagai ‘Sate!’ apabila terserempak dengan beliau di luar.’ –Muhammad Hashim, penyelidik lagu dan filem Melayu.

Bukan itu sahaja, Loke Wan Tho yang menubuhkan syarikat Filem Cathay Keris bersama rakannya, Ho Ah Loke, yang tertarik dengan aksi dan lakonannya turut menggelar beliau sebagai Wahid Sate. Identiti pengenalan kepada Wahid ini juga digunakan oleh rakan-rakan anak wayang yang lain di Studio Jalan Ampas, Singapura.  Sejak itu dan setelah berlakon banyak filem, nama Wahid Sate sudah  menjadi ikon dalam dunia perfileman tanah air dengan nama beliau turut terpampang di kain rentang iklan dan poster wayang.

Wahid Sate (kiri) terkenal dengan watak komedi yang mencuit hati.

Nama sebenar beliau ialah Wahid bin Haji Ahmad dan dilahirkan di Inderagiri, Riau, Indonesia pada 1 Januari 1930. Ketika berusia lima tahun, Wahid berhijrah ke Singapura mengikut bapanya dan berpeluang belajar di Sekolah Melayu Geylang.  Ketika usia belianya, Wahid mula bekerja sebagai kelasi kapal menjelajah ke beberapa tempat di dunia. Setelah itu, beliau bekerja sementara di Studio Cathay Keris sebagai tukang cat untuk menghias bangunan, set dan peralatan yang digunakan untuk penggambaran filem.

Pada ketika itulah Wahid berkesempatan melihat kerja penggambaran filem yang dilakukan, di samping mengenali beberapa anak wayang yang menimbulkan minat dalam diri beliau untuk turut sama berlakon, bermula sebagai watak tambahan, pelakon pembantu, dan kemudiannya watak utama.

Dalam tempoh lima dekad penglibatannya sebagai pelakon, Wahid membintangi lebih 30 buah filem terbitan Cathay Keris. Antaranya termasuklah sebagai pelakon pembantu dalam filem Serangan Orang Minyak dan Che Mamat Parang Tajam (1958) dan Rasa Sayang Eh (1959). Aksi komedi sebagai watak utama dalam filem Pak Pandir Moden  dan Che Mamat Parang Tumpul (1960) terus menarik perhatian penonton, diikuti dengan Sri Mersing (1961), Celorong Celoreng dan Badang (1962), Pontianak Gua Musang  (1964), Tiga Botak (1965) dan banyak lagi. Wahid turut berlakon dalam filem Naga Tasik Cini, Jula Juli Bintang Tiga, Masuk Angin keluar Asap, Serangan Orang Minyak, Dua kali Lima, Cucu Datuk Merah, Mat Tenggek serta Tuan Besar (1980) arahan Malek Selamat.

Pelakon veteran ini pernah beraksi di bawah beberapa orang pengarah filem, antaranya termasuklah K.M. Basker, B.N. Rao. L. Krishnan, M. Amin dan Hussin Haniff. Beliau pernah digandingkan dengan beberapa pelakon utama di samping pelakon komedi yang lain, antaranya termasuklah Puteh Lawak, Aman Belon, Mat Nisfu, Mat Sentul, Dolah Sarawak, Aini Jasmin, Udo Omar dan Ismail Boss.

Ketika mencecah usia lanjut pada era tahun 2000, seniman legenda filem Melayu ini masih mendapat undangan untuk berlakon. Sebagai contohnya, dalam filem seram  Pontianak Harum Sundal Malam (2004) arahan Suhaimi Baba, Wahid diberi peranan sebagai pembesar istana. Dalam Senario XX (2005) arahan Aziz M. Osman pula, beliau berlakon sebagai tok ketua.

Selain filem Pontianak, watak komedi Wahid juga tetap diingati oleh penonton melalui lakonannya dalam filem Badang (1962) arahan S. Roomai Noor. Badang  sebagai pemuda biasa kampung yang kurus mencari kayu di hutan secara tiba-tiba berubah menjadi manusia gagah dan hebat. Sekadar menyentuh dan menolak dengan tangannya, Badang dapat menumbangkan pokok-pokok besar, di samping berupaya  memikul benda berat seperti batu yang besar dan sebuah kapal jong yang tersadai dalam semak. Kekuatan luar biasa itu diperolehnya setelah memakan muntah hantu yang berjaya ditangkapnya dan diugut tidak akan dilepaskan kerana terlalu marah  setelah memakan ikan dalam lukahnya yang dipasang di sungai.

Penampilan watak komedi yang menghidupkan jalan cerita dan menarik perhatian penonton juga turut mengharumkan namanya dalam dunia seni lakon. Penerbit Filem Cathay Keris yang yakin dengan keupayaan beliau turut mencalonkan nama Wahid ke Festival Filem Asia di Manila pada 1963. Sebagai hasilnya, Wahid   terpilih menerima anugerah pertama Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di pesta itu. Wahid juga muncul sebagai Pelawak Terbaik dalam Festival Filem Asia di Taiwan pada tahun 1966 dan Anugerah Perdana Emas oleh Mediacorp dalam Pesta Perdana 2007 di Singapura.

Selain berlakon komedi, seniman veteran ini juga boleh menyanyi sambil beraksi lucu dalam filem, seperti lagu Sate dan Potong Kayu ciptaan Zubir Said, Yoledi dan Dua kali Lima bersama-sama Mat Sentul dan Cik Mamat Parang Tumpul sambil bersiul menunggang skuter bersiar-siar dalam bandar. Wahid yang boleh bermain alat muzik juga pernah mencipta lagu untuk M. Ishak dan Ahmad Jais. Antaranya termasuklah lagu Sumpah Setia untuk nyanyian Ahmad Jais & The Antartics pada tahun 1967.

Ketika tampil di pentas menemui peminat, Wahid turut menyanyikan lagu-lagu dalam filem lakonannya yang beberapa daripadanya turut dirakamkan dalam piring hitam. Selain menyanyi lagu sendiri, Wahid turut menyelitkan gaya penyanyi lain, seperti pelakon komedi Hollywood, Jerry Lewis, sehingga dirinya digelar Jerry Lewis Malaya.

Kini, ketokohan seniman komedi legenda dalam filem-filem Melayu itu hanya tinggal nama bersama-sama kenangan manis bagi ahli keluarga, rakan dan para peminat setelah beliau menghembuskan nafas terakhir menemui Ilahi di kediaman keluarganya di Singapura pada 22 Mei 2023 yang lalu pada usia 93 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan di Masjid Pusara Aman di Singapura. Allahyarham meninggalkan enam orang anak dan 20 orang cucu hasil perkahwinannya bersama-sama Allahyarhamah Azimah Mohd Taib. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh dan ditempatkan dalam kalangan orang yang mulia.

Pemergian personaliti berbakat ini dengan sifat beliau yang sangat merendah diri dan sentiasa tersenyum merupakan suatu kehilangan kepada dunia seni tanah air yang turut dirasai oleh seluruh rakyat. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyifatkan Wahid sebagai pelakon veteran berbakat dengan gaya lakonan tersendiri. FINAS berhasrat untuk menghadiahkan trofi Anugerah Seniman Sepanjang Zaman kepada Allahyarham ketika Festival Filem Malaysia (FFM) yang dijangkakan berlangsung tahun depan.

Menurut Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, penganugerahan itu telah dirancang sebelum ini oleh pihaknya bagi mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham Wahid kepada dunia perfileman tanah air. Beliau yang sejak kecil mengagumi Wahid berkesempatan bertemu dengan Allahyarham yang pada ketika itu masih sihat bersama-sama beberapa orang pelakon veteran lain ketika berlangsungnya FFM di Melaka pada tahun lepas.

“Allahyarham berkesempatan menasihati saya agar terus memacu FINAS  ke arah yang lebih cemerlang bagi menyerlahkan industri perfileman tanah air, serta turut sentiasa memberikan perhatian kepada para seniman, seniwati dan semua  pelakon serta penggiat dalam industri ini.   Insya-Allah kata-katanya itu menjadi perangsang kepada saya dalam mengemudikan perbadanan ini,” kata Dr. Md. Nasir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.