Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Balai Seni Negara akan menganjurkan Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023 (BMS23) yang terbuka untuk para seniman muda Malaysia di bawah usia 35 tahun.
Pertandingan seni visual dwitahunan BMS menjadi acara berprestij bagi pengkarya seni kontemporari untuk mengetengahkan idea dan kreativiti sezaman sejak diperkenalkan pada tahun 1974.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara hari ini, BMS23 yang berkonsepkan “Seni di Lokasi” menyediakan ruangan kepada seniman untuk mempamerkan kreativiti dalam konteks sezaman dengan kandungan karya yang mencabar ruang dan masyarakat.
Selaras dengan objektif yang mengetengahkan idea dan kreativiti budaya kontemporari dalam pendekatan baharu, peserta bebas mencadangkan lokasi pilihan mereka di seluruh Malaysia bagi mempamerkan karya.
Pertandingan BMS23 juga membuka ruang cadangan yang lebih mencabar di mana-mana lokasi dengan penyertaan kolektif peserta bersama-sama masyarakat sebagai anjakan kepada peserta untuk meneroka ruang tanpa sempadan dalam penghasilan karya seni kontemporari bersesuaian dengan lokasi yang terpillih.
Pertandingan ini menawarkan hadiah sebanyak RM30 000 bagi pemenang Anugerah Utama dan Anugerah Juri berjumlah RM15 000.
Di samping itu, Anugerah Pilihan Pelawat Online dan Anugerah Pilihan Pelawat On Site akan diberikan kepada tiga pemenang, iaitu tempat pertama berjumlah RM2500, tempat kedua RM1500 dan tempat ketiga RM1000.
Penyertaan BMS223 terbuka kepada pelajar seni dan mahasiswa warganegara Malaysia, boleh disertai secara solo mahupun berkumpulan. Tarikh tutup pendaftaran bagi pertandingan adalah sebelum 31 Julai 2023.
Untuk terma dan syarat, individu yang berminat boleh melayari laman sesawang Balai Seni Negara di laman web www.artgallery.gov.my atau menghubungi urus setia pertandingan melalui talian 03-40267000 atau e-mel kepada [email protected].