31 Julai 2023, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Pementasan Teater Bangsawan Merong Mahawangsa Dendam Berdarah oleh pelajar Kolej Vokasional Gombak (KVG) menerusi GVoC Production dari 28 Julai 2023 hingga 30 Julai 2023 di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak berjaya menyerlahkan bakat para pelajar dan warga pensyarah KV Gombak dalam seni teater selari dengan usaha mengangkat warisan bangsa.

Teater Bangsawan Merong Mahawangsa Dendam Berdarah arahan Encik Nohman Isa (penggiat seni teater) disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berusaha (YBrs.) Encik Zulkernai Fauzi, Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Encik Zulkernai Fauzi, Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET, KPM semasa menyempurnakan perasmian pementasan Teater Bangsawan Merong Mahawangsa Dendam Berdarah.

Turut hadir menyaksikan teater tersebut ialah YBrs. Puan Hafidzah  Omar (Ketua Penolong Pengarah Kanan Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), KPM ); Ts. Supian Mahmood, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri;  Puan Hajah Norhayati Abdul Rahman, Pengarah KV Gombak; YBhg. Dato’ Azaddin Abdul Aziz, Presiden Majlis Yang Dipertua dan Muafakat Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru Vokasional Kebangsaan merangkap Yang Dipertua KV Gombak; YBhg. Dato’ Hajah Nurzarina Sepran, Pengarah Urusan Pesona Awal (M) Sdn. Bhd.; YBrs. Dr. Noor Mala Othman, Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Kurikulum, KPM; dan YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa tiga artis undangan, iaitu pelakon popular Muhammad Shameer Shauqeen (Merqeen), iaitu alumni Program Insurans KV Gombak dan Mohamad Haziq Nazimuddin (Haziq) serta penyanyi, Ezlynn.

Barisan pelakon teater dan tetamu yang hadir bergambar bersama-sama pelakon popular Merqeen dan Haziq.
Barisan pelakon teater dan tetamu yang hadir bergambar bersama-sama pelakon penyanyi popular Ezlynn.

Menerusi teater berkenaan, para pelajar yang memegang watak Merong, Embok, Puteri Liu Lin, Laksamana Liu Yun, Pak Kesom, Taja dan beberapa watak lain berjaya menampilkan kehebatan masing-masing semasa beraksi di pentas dengan penggunaan prop yang berjaya menghidupkan jalan cerita.

Teater ini menggarap kisah dua pasangan kekasih, iaitu Merong Mahawangsa dan juga Embok, seorang gadis kampung di tanah Langkasuka yang penuh dengan pergolakan. Pergolakan timbul apabila Embok dilarikan oleh tentera Taji dalam satu pertempuran yang tidak disangka-sangka. Kehilangan Embok diratapi oleh ayah angkatnya, Pak Kesom dan dari situ terbongkar segala kisah di sebalik kejadian yang menimpa. Menerusi peristiwa itu, Merong dan Laksamana Liu Yun bergabung tenaga untuk menewaskan kuasa Taji kerana Taji dan Garudanya turut melarikan adik Laksamana Liu Yun, iaitu Puteri Liu Lin.

Babak-babak penting dalam Teater Bangsawan Merong Mahawangsa Dendam Berdarah.

Teater yang dipentaskan selama tiga malam tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malahan, 20 kolej vokasional di seluruh Malaysia turut sama hadir bagi menyaksikan persembahan teater berkenaan di KV Gombak. Selain itu, ibu bapa dan masyarakat sekitar turut memeriahkan pementasan teater tersebut sehinggakan semua tiket habis terjual.

Teater KV Gombak merupakan program kebitaraan yang dipentaskan pada setiap tahun bermula dari tahun 2019 hingga kini dan bertujuan untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar KV Gombak, kakitangan KV Gombak dan rakyat Malaysia; meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai kemahiran berbahasa dan seterusnya mendedahkan sejarah yang menceritakan susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas Kedah.

Menurut Pengarah KV Gombak, Puan Hajah Norhayati Abdul Rahman:

Saya berharap agar pembabitan para pelajar dalam GvoC Production menepati aspek karamah insaniah, iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam diri mereka selari dengan konsep ABC KPM, Anak yang Baik lagi Cerdik. Aktiviti pementasan ini juga merupakan salah satu usaha berterusan ke arah membangunkan perkembangan potensi pelajar yan seimbang dari segi jasmani, rohani, sosial dan intelek (JERSI) seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Terdahulu, KV Gombak mementaskan teater Penjuru Empat Karma (pada tahun 2019) yang menjadi titik permulaan kepada kegemilangan teater di KV Gombak. Pada tahun yang sama, KV Gombak menggiatkan usaha mementaskan teater bangsawan Puteri Saadong. Kemudiannya, KV Gombak turut mementaskan teater Anak Nazar 7 Keramat (dipentaskan di Auditorium Tun Sri Lanang DBP).

Memandangkan teater menjadi hala tuju KV Gombak, maka penubuhan GVoC Production diwujudkan untuk membangunkan kemahiran warga kolej yang terlibat dalam teater. Susulan daripada penubuhan GVoC Production, teater yang dipentaskan selepas itu ialah teater bangsawan sebabak  Takhta Berdarah (dipentaskan di Auditorium Tun Sri Lanang DBP) dan teater komedi Alahai Menantu dipentaskan di Dewan Besar KV Gombak.

Kesungguhan warga KV Gombak menggiatkan seni teater merupakan pemangkin kepada pembangunan pendidikan dalam memastikan aspek kemenjadian murid dapat direalisasikan. Jelas Pengarah KV Gombak:

Selain pelajar, pensyarah dan kakitangan KPM dapat meningkatkan profesionalisme dengan menimba pengalaman dan pengetahuan apabila menjadi tenaga produksi persembahan pentas.

Turut mengiringi pementasan teater Teater Bangsawan Merong Mahawangsa yang dijayakan selama tiga malam itu ialah Band Aantoo yang diterajui oleh Adzrin Adzhar dan dianggotai oleh Ayoi, Syuk, Apen dan Megat Ezzany (alumni Program Perakaunan) serta dimeriahkan dengan nyanyian Hani Suraya (alumni KV Gombak Program Pemasaran). Teater Merong Mahawangsa “Dendam Berdarah” turut diserikan dengan persembahan selingan, iaitu persembahan seni silat (oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kuala Lumpur), persembahan tarian (oleh GVoC Tari, Johan Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Piala Pengarah BPLTV pada Mac 2023) dan pertunjukan tudung rasmi Kolej Vokasional (oleh pelajar KV Gombak).

Persembahan nyanyian oleh Ezlynn.
Persembahan seni silat oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kuala Lumpur.
Para pelajar yang menggayakan tudung rasmi Kolej Vokasional keluaran KV Gombak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.