Oleh Abd Razak Osman
9 September 2023, 20:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seberang Perai – Sebanyak 70 orang peserta, termasuklah pelajar tingkatan enam di beberapa buah sekolah menengah di Seberang Perai telah menyertai Bengkel Penulisan Lirik Lagu Boria 2023.

Bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang, Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh (tengah) menyerahkan sijil kepada peserta.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh ketika berucap dalam majlis penutupan bengkel berkata bahawa objektif utama bengkel ini adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda, khususnya dalam penciptaan lirik lagu boria yang berkualiti, unik dan menarik.

Tegas beliau lagi,

Jika perkara begini tidak diberi perhatian, usaha untuk menghidupkan bidang kesenian seumpama ini akan menjadi masalah pada masa akan datang.

Selain itu, beliau mengatakan bahawa apabila pelajar sekolah mempunyai ilmu berkaitan dengan boria, secara tidak langsung mereka akan berusaha untuk memperbaiki kesenian dan kebudayaan itu dengan sebaik-baiknya.

Peserta Bengkel Penulisan Lirik Lagu Boria 2023 yang diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang, Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Beberapa individu yang sering terlibat secara langsung dan tahu akan selok-belok bidang boria di negeri Pulau Pinang diundang memberikan ceramah dalam bengkel tersebut.

Antaranya termasuklah Ketua Dua 2PNP, Azizan Ismail melalui perkongsian yang bertajuk “Tentang Bahasa dan Penulisan Kreatif”. Selain itu, bekas pensyarah di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, Aziz Ishak pula mengupas perihal “Teknik dan Sejarah Boria serta Tokoh Boria Pulau Pinang” manakala Sharifah Atikah Syed Alias pula menyentuh hal berkaitan dengan aspek persembahan boria.

Semua peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut menerima sijil daripada Encik Armin Azhari Saleh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.