Oleh Avatar photo Suyuthi Yusuf
12 September 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Pelancaran buku Budi Pujangga dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di SMK (P) Methodist, Kuantan pada pagi semalam.

Buku Budi Pujangga merupakan sebuah karya yang mengisahkan perjalanan penulisan puisi dan pengalaman berharga yang dirasai oleh guru dan pelajar, khususnya berkaitan dengan warisan negeri Pahang. Selain itu, buku ini juga memanifestasikan sentuhan pemikiran dan kreativiti tulen para guru, pelajar sekolah serta pelajar kolej dari seluruh negeri Pahang.

Buku Budi Pujangga.
Antara karya kreatif berkaitan dengan budaya yang terdapat dalam buku Budi Pujangga.
Antara tulisan menarik tentang pensejarahan negeri Pahang dalam buku Budi Pujangga.

Penubuhan Kelab Pendidikan Muzium Pahang pula adalah sebagai menghargai kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dengan Perbadanan Muzium Pahang dalam mengatur dan melaksanakan aktiviti berkaitan dengan pendidikan muzium bagi melahirkan generasi yang celik budaya dan sejarah.

 

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail semasa membelek-belek buku Budi Pujangga sejurus majlis pelancaran buku tersebut.
Antara barisan penulis buku Budi Pujangga.

Penghasilan buku dan kelab tersebut merupakan hasil kerjasama antara Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Inspirasi penghasilan buku ini diilhamkan oleh Pemangku Raja Pahang, Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain itu, penerbitan buku Budi Pujangga serta penubuhan Kelab Pendidikan Muzium Pahang juga menyokong program Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) seperti yang dihasratkan melalui inisiatif keenam, iaitu Pemugaran Sekolah Berwatak dan insiatif kesepuluh, Pemantapan Hubungan dan Sokongan.

Dalam ucapan pelancaran majlis, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan rakaman penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran tersebut.

Saya percaya dengan terbitnya buku ini, maka kecemerlangan pendidikan tentang hal yang berkaitan dengan budaya, warisan dan sejarah akan diteruskan. Pelancaran buku dan juga Kelab Pendidikan Muzium ini juga merupakan perlambangan hubungan kerjasama yang mantap antara Kerajaan Negeri, Perbadanan Muzium dengan Jabatan Pendidikan.

 

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail semasa memberikan ucapan pelancaran majlis.

Dalam majlis yang sama, beliau mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan bagi pembelian buku Budi Pujangga untuk diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Pendidikan Daerah, dan sekolah.

YBhg. Dato’ Ahmad Farid Abd. Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang.

YBhg. Dato’ Ahmad Farid Abd. Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang merupakan antara individu yang bertungkus-lumus dalam menterjemahkan idea dan kreativiti di sebalik kecemerlangan Muzium Negeri Pahang. Pelancaran majlis tersebut merupakan antara bukti kecemerlangan usaha kerja keras tersebut. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyatakan bahawa:

Pendidikan tentang budaya, warisan dan sejarah sangat penting kepada masyarakat. Perkara-perkara tersebut perlu terus dikaji dan diselidik serta hasilnya perlu sampai kepada masyarakat. Program pendidikan muzium ini membantu sektor pendidikan dan masyarakat, khususnya para pelajar dalam mendapatkan dokumen dan fakta yang tepat selain bertujuan untuk mendemokrasikan pendidikan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YBhg. Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YBhg. Lee Chin Chen; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, YB Sim Chon Siang; dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, YB Leong Yu Man.

Persembahan tarian tradisional oleh para pelajar SK (P) Methodist, Kuantan.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkesempatan mencanting batik di reruai pameran kebudayaan sambil disaksikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YBhg. Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin (kiri).
Persembahan Medley Puisi oleh Cikgu Ruhisham dan adik Muhammad Khalish Zafran Nasimussobah.

Majlis itu juga diserikan dengan persembahan tarian zapin dan tarian tradisional oleh para pelajar SK (P) dan SMK (P) Methodist, persembahan deklamasi puisi dan reruai pameran kebudayaan.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan tetamu undangan semasa melawat reruai pameran.
Persembahan gamelan oleh para pelajar bagi menghiburkan tetamu yang hadir sebagai penutup majlis yang diadakan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.