19 Oktober 2023, 00:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peristiwa pengeboman monumen ikonik Tugu Negara oleh pengganas komunis pada 26 Ogos 1976 merupakan detik hitam dalam sejarah negara dan kekal sebagai parut yang tidak mungkin dapat dilupakan. Akibat daripada pengeboman itu, monumen ikonik tersebut mengalami kerosakan teruk dan memerlukan proses baik pulih dengan segera.

Pihak kerajaan pada waktu itu telah melantik pensyarah Institut Teknologi MARA (ITM) (kini Universiti Teknologi MARA), Christopher Bartley Carney bersama tiga pelajar lepasan Fakulti Seni Kreatif ITM, iaitu Abdul Mansoor Ibrahim, Abdul Mukti Jantan dan Zolkeply Maulana untuk membaik pulih Tugu Negara.

Selepas 46 tahun, Mansoor (paling kiri), Carney, Mukti dan Zolkeply bertemu semula berkongsi pengalaman terlibat dalam proses baik pulih Tugu Negara yang rosak dibom oleh pengganas komunis.

Kini selepas 46 tahun, empat pengarca tersebut bertemu semula dan mengimbau kembali kenangan serta pengalaman terlibat dalam proses baik pulih yang mengambil masa selama satu tahun dan satu minggu untuk disiapkan.

“Proses baik pulih semula Tugu Negara ini sangat penting kerana hal ini adalah sebahagian daripada sejarah negara. Inilah yang menyebabkan hubungan saya dengan Tugu Negara menjadi istimewa dan inilah tugas yang paling penting yang saya pernah terlibat,”jelas Carney.

Mengingati kembali pengalaman mereka, bagi Mukti yang tidak dapat dilupakan adalah ketika memanjat patung yang paling tinggi bersama-sama Zolkeply untuk membuat kimpalan pada topi patung tersebut. Beliau mengambil peluang menekapkan nama-nama mereka di situ.

“Ketika itulah saya sedar yang kami telah menyelesaikan tugas-tugas ini dengan penuh rasa bangga dan bermaruah.”

Tugu Negara merupakan monumen ikonik cetusan idea Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bagi memperingati semua perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta tempoh Darurat.

Sementara itu, Mansoor yang pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Rendah Sains Mara menyatakan bahawa pada waktu itu mereka membaik pulih Tugu Negara tanpa menggunakan peralatan keselamatan yang sepatutnya dan hal tersebut merupakan risiko yang tinggi terhadap keselamatan mereka.

Menurut Zolkeply pula, beliau berasa bangga dan begitu bersemangat ketika terlibat sama kerana ayahnya merupakan seorang anggota pasukan VAT 69 yang berjuang menentang pengganas komunis dan beliau pula terlibat secara langsung membaik pulih Tugu Negara yang dibom oleh pengganas komunis.

Zolkeply (paling kiri), Carney, Mukti dan Mansoor ketika sesi bersama media di Royal Lake Club, Kuala Lumpur.

Zolkeply turut menyatakan bahawa generasi pada hari ini terutamanya orang muda perlu berterima kasih serta mengenang jasa para pejuang terdahulu yang berkorban demi keamanan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.