26 November 2023, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarah prolifik tanah air yang disegani, U-Wei Haji Saari menerima Anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pada hari ini.

U-Wei atau nama sebenarnya Huzir Haji Saari berkata beliau menghargai penghormatan yang diberikan oleh institusi seni yang secara keseluruhannya mengangkat seni dan kreativiti.

Ketika ditemui media selepas Istiadat Konvokesyen kali ke-18 ASWARA di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, U-Wei sempat berkongsi perasaannya terhadap penganugerahan tersebut.

Saya berbesar hati sekaligus berasa rendah diri kerana saya sedar apabila saya melihat portfolio saya, saya seharusnya lebih banyak berkarya.

Dalam pada itu, U-Wei berasa ,secara tidak langsung, penganugerahan ini dapat merangsang beliau terus berkarya dengan lebih banyak lagi.

U-Wei yang dilahirkan pada 1954 dan memulakan karier pertamanya sebagai pengarah drama televisyen pada 1993, mula melonjak naik setelah kemunculan filem Perempuan, Isteri dan … . Melalui filem itu juga, beliau turut dinobatkan sebagai Pengarah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-11.

Antara karya awal beliau ialah Black Widow: Wajah Ayu (1995), Jogho (1999), Kaki Bakar (2001), Buai Laju-laju (2004) dan Hanyut (2016).

Filem Kaki Bakar menjadi filem tempatan pertama yang berjaya ditayangkan di Festival Filem Cannes ke-48 pada tahun 1995.

Sementara itu, Rektor ASWARA, Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim dalam satu ucapannya berkata bahawa, Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-18 pada kali ini turut menyaksikan dua orang penerima Anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif dan penerima Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif; serta sembilan orang penerima Anugerah Adiguru.

Kongsinya,

Anugerah ini diberikan berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan mereka terhadap industri serta akademik dalam bidang seni budaya dan warisan.

Selain itu, istiadat tersebut turut menyaksikan tiga orang penerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, tiga orang penerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif, 137 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, 125 orang penerima diploma dan 67 orang penerima Sijil Asasi Seni Kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.