Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMata Ayer – Pelancong yang datang ke Perlis boleh menerokai pelbagai keistimewaan yang terdapat di Kampung Ngulang selama empat hingga lima jam ketika berada di negeri ini.
Batik Inderawasih merupakan perusahaan yang dimiliki oleh Zarina Salleh dalam mengetengahkan identiti seni moden. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada para pengunjung. Tetamu berpeluang melihat proses pembuatan batik yang telah disediakan selain terdapat juga kit penyediaan batik untuk dibeli untuk cuba melukis batik di rumah masing-masing.
Riverview Homestay bersebelahan dengan sungai yang terletak di kampung ini menawarkan penginapan yang selesa dengan pemandangan serta persekitaran pinggir desa yang nyaman. Tetamu juga boleh bermandi-manda serta berkayak di sungai tersebut selain menyewa ATV, basikal atau motosikal untuk bersiar-siar dalam kawasan kampung.
Ngulang Kopitiam merupakan sebuah restoran bertemakan klasik 1940-an yang menawarkan sajian istimewa seperti nasi rendang, ketupat sotong, pek nga gulai ikan, pulut hitam ikan masin, lontong, nasi dagang, laksa nyonya dan bermacam lagi.
Rumah tradisional milik Mohd Amri Kapli ialah sebuah kediaman peribadi yang mengumpul pelbagai barang antik seperti keris, alat muzik tradisional, basikal lama, motosikal dan alatan bertani tradisional. Rumah yang berasaskan kayu dan seni bina yang klasik ini juga boleh dikunjungi.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melawat keempat-empat lokasi pelancongan menarik tersebut bersempena dengan program Kayuhan Amal MAIPs Peduli kali ke-7 pada tahun ini pada petang semalam.
Program kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tersebut turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan MAIPs kepada asnaf-asnaf terpilih di rumah masing-masing.
Setiap penerima mendapat bantuan wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli, beras fidyah serta sebuah kipas yang disumbangkan oleh Pengarah Urusan SHT Engineering Sdn. Bhd., Muhammad Aiman Loh.
Sementara itu, AMMK Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad yang turut mengiringi baginda dalam program penuh bermanfaat itu menjunjung setinggi kasih kepada DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang sentiasa berkenan mempromosikan pelancongan untuk negeri ini termasuklah Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Untuk rekod, berhampiran kampung yang mempunyai beberapa orang pengusaha inap desa ini juga terdapat Bukit Ngulang yang merupakan sebuah gua batu kapur menarik yang boleh diterokai dengan khidmat pemandu jalan tempatan. Gua ini terkenal dengan pembentukan stalaktit dan stalagmit yang berbentuk candelier dan kepala buaya.