2 Februari 2024, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek hadir menyempurnakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyerahan cek cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua pada pagi tadi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika berucap dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina di SMJK Yu Hua, Kajang.

Menerusi ucapannya, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan itu adalah sambutan yang menyerlahkan semangat perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Penganjuran majlis ini mencerminkan ikatan perpaduan yang terjalin antara kita rakyat Malaysia yang berlandaskan satu matlamat tanpa mengira bangsa dan agama, iaitu untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang harmoni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ucap YB Fadhlina Sidek.

YB Fadhlina Sidek dalam acara menggaul yee sang bersama-sama tetamu kehormat yang lain.

YB Fadhlina Sidek turut menyatakan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini yang juga merupakan tahun naga dalam kalender lunar Cina, sangat istimewa kerana masyarakat Cina menganggap bahawa naga melambangkan simbol kekuatan, kesihatan keharmonian, tuah selain kekayaan dan kemakmuran.

“Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan ini juga sangat istimewa kerana turut diraikan oleh semua dalam rukun MADANI khususnya, yang melihat kepada kepelbagaian yang akan memastikan bahawa setiap perayaan ini diraikan dengan penuh harmoni, kemeriahan dan juga semangat perpaduan yang tinggi,” tambah YB Fadhlina Sidek.

Dalam majlis yang sama, YB Fadhlina Sidek turut menyampaikan cek cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan 10 Pejabat Pendidikan Daerah.

YB Fadhlina Sidek menyampaikan cek cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ini adalah komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan dalam konteks kebajikan yang dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak. Bagi Negeri Selangor, RM120311,600 diperuntukkan kepada semua murid warganegara dalam negeri ini. Inisiatif ini memberikan manfaat kepada 848744 murid di 933 buah sekolah,” ujar YB Fadhlina Sidek.

Beliau turut menegaskan bahawa bantuan Rm150 yang diberikan tidak boleh dikurangkan dan mesti diberikan kepada ibu bapa.

Persembahan tarian naga oleh pelajar SMJK Yu Hua ketika menyambut ketibaan YB Fadhlina Sidek.

Sebelum majlis berakhir, YB Fadhlina Sidek sempat meluangkan masa dalam acara penulisan kaligrafi dan acara menggaul yee sang bersama-sama tetamu kehormat yang lain.

Persembahan gendang 24 penuh bertenaga oleh pelajar SMJK Yu Hua.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Bangi; YB Syahredzan Johan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang; YB Cheong Kian Young, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua; YB Datuk Wira Johan Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengurusan SMJK Yu Hua; Tan Sri Dato’ Alex Chen Kooi Chew, Pengetua SMJK Yu Hua; Encik Lean Kee Fong dan YDP SMJK Yu Hua, Encik Ee Chai Swee.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.