3 Februari 2024, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan program bual bicara dalam talian, iaitu Podcast Salasilah Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Pertubuhan Suara Sunnah yang diadakan di studio pertubuhan berkenaan, di Arau.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan berkenaan, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bahrin Jamalullail.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Podcast Salasilah Perlis di studio Pertubuhan Suara Sunnah.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan dana Tabung Baraatuz Zimmah (T-Baz) MAIPs berjumlah RM50,200.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan dana Tabung Baraatuz Zimmah (T-Baz) MAIPs berjumlah RM50,200.

DYTM Tuanku Raja Muda kemudiannya berkenan menyaksikan rakaman khas Podcast Salasilah Perlis yang menampilkan panel khas, Dr. Haji Hazman Hassan, Timbalan Yang DiPertua MAIPs dan pemudah cara, Syed Mohd Hilmi Syed Nazree.

Podcast Salasilah Perlis merupakan satu daripada inisiatif di bawah Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis MAIPs yang bermatlamat untuk mempertingkat kesedaran masyarakat Perlis berkaitan dengan sejarah dan kefahamannya dengan menggunakan pendekatan lebih segar melalui medium media sosial.

Pada kesempatan yang sama, baginda bertitah agar usaha untuk menyebarluaskan kefahaman terhadap sejarah dan jati diri bangsa hendaklah sentiasa diperkukuh demi menguatkan kecintaan terhadap negeri dan juga negara.

Titah DYTM Tuanku Raja Muda, “Pendekatan segar melalui pelbagai medium sama ada cetak ataupun elektronik boleh dilaksanakan bagi menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda untuk menghayati pengajaran daripada sejarah dan jati diri bangsa.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.