Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Keghairahan mengejar pembangunan, tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengalami “kegersangan budaya”.
Demikian penegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap menyempurnakan perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada pagi tadi.
“Tiada erti pembangunan, jika kita terus melebarkan kesenjangan antara golongan kaya dengan golongan miskin, aspek nilai tidak diterapkan, perihal peluang dan kesempatan orang bawahan tidak diberi penekanan dan aspek seni dan budaya tidak ditekankan,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa pembangunan MADANI harus menitiberatkan aspek seni budaya, nilai, akhlak, penguasaan bahasa yang baik serta budi pekerti untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang.
Dalam ucapannya juga, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bekerjasama dengan kementerian lain yang berkaitan dalam memperkasakan sektor pelancongan yang kini merupakan antara sektor utama dalam memacu ekonomi negara.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa antara langkah untuk mempromosikan produk kraf tempatan ialah beliau telah menyarankan agar semua cenderahati kepada perwakilan-perwakilan asing mestilah dalam bentuk produk kraf tempatan yang berkualiti. Hal ini secara tidak langsung menurutnya, akan dapat memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar yang terlibat dalam industri tersebut.