Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTawau – Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali ke-2 yang diadakan pada 28 Februari 2024 hingga 3 Mac 2024 di Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Merotai, Kampung Jagung Merotai, Tawau berlangsung dengan jayanya.
Karnival tersebut dianjurkan oleh Majlis Adat Tidung Sabah (MATS), Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Merotai dan Persatuan Penduduk Kampung Merotai (PR Merotai).
Menurut Ketua Adat Majlis Adat Tidung Sabah (MATS), Dato Seri Haji Sahran Untai, karnival tersebut bertujuan untuk mengetengahkan tiga program penting yang membawa kepada kemajuan adat masyarakat Tidung di Sabah, iaitu Karnival Pendidikan Adat Budaya Tidung, Perasmian Majlis Adat Tidung Sabah dan Perasmian Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (Etnik Tidung) Merotai, Kampung Merotai Besar, Tawau.
Pelbagai aktiviti sampingan turut dilaksanakan seperti pertandingan memanah, pertandingan bola sepak (penalti), pertandingan kraf tangan, menganyam atap nipah, pertandingan mengupas kelapa terbaik, ujian bahasa Tidung kanak-kanak dan Ratu Cilik Tidung. Karnival tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional suku kaum Tidung.
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) diundang untuk bersama-sama melaksanakan beberapa program sepanjang karnival tersebut berlangsung. Antara program penting yang dilaksanakan ialah taklimat pembinaan kamus bahasa Tidung oleh Puan Julianah Kuli, Timbalan Pengarah II, DBPCS, khusus kepada Ketua-ketua Adat Suku Tidung serta wakil-wakil penyelidik bahasa Tidung.
DBPCS turut mengadakan aktiviti seperti jualan buku DBP, teka harga buku, teka berat buku serta program bersahabat dengan kamus (roda kata dan teka silang kata) yang menarik minat para pengunjung.
Acara kemuncak karnival, iaitu majlis Perasmian Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali ke-2 telah dilaksanakan pada 3 Mac 2024 dan disempurnakan oleh Ketua Adat Majlis Adat Tidung (MATS), Dato Seri Haji Sahran Untai.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar dan wakil serta rombongan dari 14 buah Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS).
Puan Aminah Awang Basar telah menyampaikan wakaf buku kepada Pengetua Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Merotai, Encik Baharun Abdullah Sani dan disusuli dengan penyampaian hadiah kepada pemenang acara teka berat buku dan teka harga buku.