5 Mei 2024, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuih bakul atau lebih dikenali sebagai “Nian Gao” ialah sejenis kuih yang seakan-akan dodol. Kuih ini merupakan makanan tradisi masyarakat Tionghua yang biasanya dihidangkan ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Baru-baru ini penulis berkesempatan bertemu dengan seorang pembuat kuih bakul, iaitu Puan Lim di Kampung Tengah Yan Kechil, Yan, Kedah. Kuih bakul hasil buatan Puan Lim dikatakan pernah tular dan menerima permintaan yang tinggi saban tahun.

Menurut Puan Lim, banyak pembuat kuih bakul sudah beralih menggunakan tepung kerana lebih cepat dan jimat. Namun, beliau masih mengekalkan kaedah menggunakan beras pulut bagi mendapatkan tekstur dan rasa yang sedap biarpun mengambil masa yang agak lama. Bagi beliau kualiti produk yang dihasilkan harus menjadi keutamaan.

Pada kebiasaannya, pembuatan kuih bakul bermula sejak awal pagi dengan proses membasuh beras pulut beberapa kali sehingga bersih. Kemudian beras pulut tersebut direndam semalaman. Aspek kebersihan sangat dititikberatkan ketika proses pembuatan kuih bakul ini.

Penulis bergambar bersama-sama pengusaha kuih bulan, Puan Lim.

Penulis berasa bangga dapat melihat sendiri kawasan dapur yang dikhaskan untuk membuat kuih bakul ini. Puan Lim turut berkongsi cara-cara pembuatan kuih yang dikatakan masih menggunakan kaedah tradisinal untuk mengekalkan tekstur yang cantik.

Proses membuat kuih bakul memakan masa yang lama, iaitu sehingga 12 jam. Justeru, proses tersebut memerlukan kesabaran dan komitmen yang sangat tinggi. Puan Lim menjelaskan bahawa beliau masih mengekalkan cara memasak mengikut pantang larang terdahulu bagi mengekalkan ketulenan kuih bakul.

Antara pantang larang tersebut termasuklah melarang wanita yang datang bulan membuat kuih berkenaan kerana bimbang kuih bakul tidak akan menjadi dan rosak. Beliau juga percaya, penentu hati yang baik juga diambil kira bagi menghasilkan kuih bakul yang bermutu. Tambahnya lagi, jika seseorang tidak berniat baik maka kualiti kuih bakul yang dihasilkan mungkin kurang memuaskan.

Kuih bakul menjadi makanan tradisi masyarakat Tionghua.

Penghasilan kuih bakul ini melambangkan kesepakatan masyarakat setempat yang turut melibatkan beberapa orang jiran Melayu sebagai pekerja. Selain membantu penduduk setempat memperoleh wang tambahan menjelang perayaan, pelibatan pekerja Melayu juga secara tidak langsung dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan tentang status halal kuih bakul yang dihasilkan.

Pada kebiasaannya kuih bakul dihasilkan berdasarkan tempahan oleh pelanggan sejak awal. Terdapat dua saiz kuih bakul yang dihasilkan, iaitu bersaiz sederhana dan besar serta dijual dengan harga yang berpatutan. “Bagi memastikan semua pelanggan tetap mendapat kuih sebelum tahun baharu, kami terpaksa menyiapkan tempahan dahulu dan hanya mengambil pesanan pelanggan yang sudah menempah awal. Ini bagi memastikan kuih bakul yang dibuat menepati kualiti seperti sebelum ini”.

Kuih bakul yang dibungkus menggunakan daun pisang boleh disimpan selama berbulan-bulan tanpa menghilangkan keasliannya. Puan Lim berkata, memang tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa kuih bakul yang kini turut menjadi kegemaran masyarakat Melayu. Rata-rata pelanggan kuih bakul adalah dari kawasan sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Pelbagai cara memakan kuih bakul juga dipraktikkan oleh penggemar kuih ini termasuklah menggoreng kuih tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.