29 Mei 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-41 kini berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Sumber foto: PBAKL

Pada ketika ini, pandangan peminat dan penggiat dalam industri perbukuan pastinya tertumpu ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur kerana di situlah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung. Pesta yang diadakan secara tahunan ini memasuki edisi yang ke-41 sejak mula dianjurkan secara rasmi buat kali pertama pada tahun 1981.

Pada masa yang sama, pesta buku ini menjadi acara tahunan terbesar dalam negara yang mencetuskan ilham kepada beberapa acara pesta buku peringkat negeri agar acara itu juga diadakan secara tahunan di lokasi terpilih.

Pesta buku berskala besar dipercayai diadakan buat kali pertama di kota Frankfurt yang terletak di Jerman sekitar tahun 1478. Kota tersebut terpilih menjadi pusat kepada industri perbukuan berkemungkinan besar atas beberapa faktor.

Yang pertama, selama berabad-abad kota itu menjadi pusat kepada industri perbankan dan perdagangan di Eropah. Kedua, sejak dari tahun 1150 kota itu telah menjadi rujukan kepada kota-kota lain dalam memajukan bidang perdagangan. Ketiga, kedudukan kota itu yang terletak berhampiran dengan Mainz, sebuah lagi kota yang menjadi terkenal kerana industri mesin cetak menyebabkan industri perbukuan berkembang dengan pesat di Frankfurt.

Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1478.

Industri mesin cetak berkembang setelah Johannes Gutenberg membangunkan mesin cetak dan memperkenalkannya kepada umum pada tahun 1440. Apabila Johann Fust dan Peter Schöffer yang pernah menjadi perantis kepada Gutenberg membuka pusat percetakan di Frankfurt pada tahun 1462, industri perbukuan di kota menjadi semakin maju.

Dalam buku bertajuk The History of the Frankfurt Book Fair yang ditulis oleh Peter Weidhaas yang pernah menjadi pengarah pameran dari tahun 1975 hingga 2000, menyatakan bahawa Raja England, iaitu Henry VIII pernah menghantar wakil ke Pesta Buku Frankfurt untuk membeli buku bagi kegunaan perpustakaan baharu di Universiti Oxford.

Industri perbukan di Frankfurt bagaimanapun terbantut apabila dihalang oleh gerakan keagamaan Katolik kerana menurut mereka terdapat kandungan buku yang tidak sesuai dibaca untuk kegunaan awam. Akibatnya menjelang pertengahan abad ketujuh belas, keunggulan kota Frankfurt sebagai sebagai pusat perdagangan dan penerbitan buku memudar apabila kota Leipzig yang didominasi oleh gerakan keagamaan Protestan berkembang menjadi pusat industri buku.

Frankfurt memperbaharui sejarah pesta bukunya yang terkenal apabila 205 peserta pameran Jerman mengadakan pesta buku selepas Perang Dunia II yang pertama dalam September 1949. Sejak itu, Pesta Buku Frankfurt berkembang menjadi acara penting tahunan dalam industri perbukuan yang terbesar di dunia sehinggalah ke hari ini.

Acara yang diadakan dalam bulan Oktober setiap tahun itu berlangsung di Frankfurter Messe, sebuah kompleks bangunan dengan keluasan hampir empat juta kaki persegi ruang pameran dalaman. Namun begitu, bukanlah keluasan bangunan itu yang menjadi ukuran kepada pengiktirafan acara itu sebagai yang terbesar di dunia, sebaliknya ditentukan berdasarkan kepada bilangan peserta yang menyertai pameran dalam acara itu.

Dapat dikatakan saban tahun lebih dari 7300 peserta pameran yang rata-rata terdiri dari penerbit yang datang dari 100 buah negara dari Albania hinggalah ke Zimbabwe. Tidak seperti pesta buku terbesar di Amerika Syarikat, Book Expo America (BEA), Pesta Buku Frankfurt membuka pintunya kepada orang ramai pada dua hari terakhir pameran itu.

Dalam acara yang berlangsung selama lima hari itu, tiga hari terawal dikhususkan untuk pameran perdagangan yang menjadi tempat pertemuan penggiat profesional yang terdiri dalam kalangan penerbit, editor, pustakawan, pengurus hak cipta, wakil jualan penerbit antarabangsa, penjual buku, ejen, pengusaha filem, stesen penyiaran televisyen, pengeluar permainan video, pakar teknologi penerbitan, pengarang dan mereka yang terlibat secara langsung dalam penciptaan dan penjualan buku serta pelesenan kandungan buku dalam semua medium yang merangkumi fizikal dan digital.

Dalam industri perbukuan Islamik, Cairo International Book Fair, atau ringkasnya CIBF, yang diselenggarakan di ibu kota Mesir, Kaherah dianggap sebagai acara pameran buku terbesar dan tertua di dunia Arab dan Islam. Pesta ini menarik ratusan penjual buku dari penerbit-penerbit ternama dan setidak-tidaknya dua juta pengunjung dari seluruh dunia datang berkunjung setiap kali acara ini diadakan.

Pesta Buku Antarabangsa Kaherah merupakan pesta buku tertua di dunia Arab.

CIBF dianjurkan buat kali pertama oleh General Egyptian Book Organisation pada tahun 1969 di Cairo International Fair Grounds, Madinat Nasr, yang terletak tidak jauh dari Unversiti Al-Azhar. Barangkali disebabkan oleh kedudukannya yang berada hampir dengan Universiti Al-Azhar, maka penerbit terbaik dari dalam dan luar negara diundang untuk menghadirkan buku dan kitab Islam dengan kualiti yang terbaik. Pada tahun 2006, CIBF dinobatkan sebagai pameran buku kedua terbesar di dunia selepas Pesta Buku Frankfurt.

Penganjuran pesta buku yang diselenggarakan oleh General Egyptian Book Organisation buat kali pertama di Kaherah pada tahun 1969 itu sebenarnya dilakukan untuk memperingati 10 abad (1000 tahun) berdirinya kota Kaherah yang digelar sebagai Ummu Al-Dunya (Ibu Dunia) kerana peradabannya yang sangat tua.

Selain itu, tujuan asal diadakan CIBF adalah untuk memperkenalkan dan mengiklankan buku dan membuka pasaran baru bagi penerbit-penerbit Mesir. Namun, tanpa disangka, khazanah peradaban Mesir menarik dan memikat perhatian masyarakat antarabangsa hingga menjadi acara tahunan yang selalu ditunggu-tunggu kehadirannya.

Mirip kepada Pesta Buku Frankfurt, CIBF juga melibatkan kawasan pameran yang sangat luas. Pada edisi ke-53 yang diadakan pada tahun 2022 misalnya, lokasi CIBF memiliki empat gedung besar. Gedung pertama dan kedua didominasi oleh penerbit-penerbit Mesir, manakala gedung ketiga dan keempat diisi oleh penerbit negara lain seperti Arab Saudi, Syria, Lebanon, Iraq, Sepanyol, Rusia, Prancis, dan Jepun.

Bagi menambah kemeriahan acara, maskot, kebudayaan dan muzik diperkenalkan. Begitu juga dengan tema yang turut memainkan peranan penting dalam menghalakan objektif bagi setiap acara yang diadakan. Dalam edisi ke-53, tema acara adalah Fil Qiraati Hayatun yang bermaksud dalam membaca ada kehidupan.

Pesta Buku Kolkata Antarabangsa yang dahulunya dikenali dengan nama Pesta Buku Calcutta pula dinobatkan sebagai pesta buku bukan perdagangan terbesar di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana penganjurannya adalah untuk memenuhi keperluan dan kehendak orang awam bukannya kepada pengedar atau jualan borong.

Pesta ini juga dianggap sebagai pesta musim sejuk di Kolkata selain diiktiraf sebagai pesta buku terbesar di Asia dan pesta buku yang paling ramai dihadiri pengunjung iaitu melebihi dua juta orang. Dari segi kapasiti penganjuran, pesta buku ini adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas Pesta Buku Frankfurt dan Pesta Buku London.

Pesta buku itu dimulakan secara kecil-kecilan pada tahun 1976 oleh Persatuan Penerbit dan Penjual Buku Kolkata. Objektif asal penganjurannya adalah untuk memenuhi permintaan orang ramai terhadap buku. Sejak tahun 2009, acara tersebut diadakan di Milan Mela berhampiran dengan Science City di Eastern Metropolitan Bypass. Sebelum itu ia diadakan di Maidan, taman bandar yang terbesar di Asia.

Acara itu diadakan di sebuah kawasan yang berdekatan dengan kemudahan akses pengangkutan yang baik seperti rangkaian jalan raya dan kereta api. Namun begitu, disebabkan oleh timbulnya masalah pemuliharaan akibat pencemaran udara yang terlalu tinggi kesan daripada penganjuran acara di kawasan terbuka seperti taman bandar di Maidan, maka acara tersebut telah dipindahkan ke Milan Mela.

Disebabkan oleh keunikan pesta buku ini, maka masyarakat setempat menganggap bahawa pesta buku ini adalah sebahagian daripada cerminan budaya mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pesta buku tersebut tidak hanya menghidangkan pameran buku tetapi juga pengalaman dan suasana mengikut tema sesebuah negara yang dipilih dan diraikan sehingga kemeriahan itu dirasakan dalam bentuk yang menyeluruh dalam setiap segmen acara merangkumi teater, kesusasteraan, lagu dan sajak lucu.

Sebagai contoh pada tahun 1997, tema negara yang dipilih ialah Perancis. Bagi menghidupkan suasana berasaskan tema tersebut maka penganjur telah mewujudkan satu bahagian khas untuk artis, pengarang, penyair dan pelukis yang dipanggil sebagai Montmartre bersempena dengan suasana dan persekitaran Montmartre di Paris. Bahagian ini biasanya mempunyai deklamasi puisi dan khidmat lakaran muka secara langsung yang ditawarkan oleh artis kepada pengunjung.

Festival Buku Antarabangsa Edinburgh turut menjadi pusat perdebatan budaya dan politik.

Festival Buku Antarabangsa Edinburgh, atau ringkasnya EIBF, ialah festival buku yang berlangsung dalam tiga minggu terakhir bulan Ogos setiap tahun di Dataran Charlotte di tengah-tengah ibu kota Scotland, Edinburgh. Acara ini dianggap unik kerana bukan sahaja menawarkan program untuk kanak-kanak, tetapi juga turut menyediakan ruang untuk ceramah dan perdebatan budaya dan politik yang tertumpu kepada sesuatu isu.

Di samping itu, diskusi dalam pelbagai genre bacaan atau bidang ilmu misalnya, muzik, sejarah dan falsafah turut diadakan di sini. Faktor ini menjadikan acara ini diangkat sebagai pesta buku yang terbesar dalam dunianya yang tersendiri yang mungkin tidak didapati dalam mana-mana pesta buku di tempat lain.

Kesan daripada faktor tersebut, Edinburgh dipilih sebagai Kota Kesusasteraan UNESCO yang pertama di dunia pada tahun 2004. Acara ini telah diadakan buat kali pertama pada tahun 1983 dalam sebuah khemah.

PBAKL menjadi acara tahunan bagi industri perbukuan negara.

Kembali kepada PBAKL, jumlah pengunjung paling ramai dicatatkan ialah pada tahun 2014, iaitu lebih dua juta orang hadir berkunjung ke acara tersebut sehingga meletakkan kedudukan PBAKL sebagai satu daripada acara tahunan perbukuan yang terbesar di Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.