31 Mei 2024, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali tibanya bulan Mei saban tahun, tumpuan masyarakat Malaysia pastinya terarah kepada negeri yang terletak di Kepulauan Borneo, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Masakan tidak, sambutan Pesta Kaamatan yang cukup meriah dengan tarikan utamanya, Unduk Ngadau acapkali mencuri perhatian umum.

Jika dahulu, sambutan ini hanya melibatkan kaum atau etnik Kadazan Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) sahaja tetapi kini sambutannya turut diraikan oleh etnik-etnik lain di Sabah. Bahkan, Pesta Kaamatan turut diperkenalkan kepada penduduk Semenanjung Malaysia melalui cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) yang terdapat di sana. “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” merupakan tema sambutan yang dipilih pada tahun ini menggambarkan perayaan tersebut mencakupi makna yang cukup luas.

Pesta Kaamatan disebut sebagai Tadau Kaamatan dalam bahasa Kadazan Dusun. Perkataan tadau bermaksud hari atau pesta, sementara perkataan kaamatan pula berasal daripada kata dasar tomot yang membawa maksud tuai. Selain itu, pesta ini juga dikenali sebagai Pesta Menuai kerana upacara ini merupakan suatu bentuk kesyukuran bagi etnik Kadazan Dusun selepas musim menuai.

Perayaan ini mula disambut secara rasmi pada tahun 1960 apabila Majlis Undangan Kerajaan Koloni meluluskannya sebagai cuti umum di Sabah dan sambutannya telah diadakan di Sekolah St. Michael, Penampang.  Pesta ini juga turut disarankan menjadi satu perayaan yang disambut oleh semua penduduk Sabah tanpa mengira etnik yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian.

Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stepehens, menyarankan agar semua penduduk asal Sabah yang menggunakan bumi Sabah untuk menanam makanan mereka perlu merayakan pesta itu sama seperti kemeriahan etnik Kadazan Dusun menyambutnya. Bertitik tolak daripada saranan tersebutlah, sambutan Pesta Kaamatan disambut meriah oleh semua penduduk di Sabah hingga kini.

Sambutan Pesta Kaamatan 2024 dilancarkan pada 1 Mei lalu di Ranau, Sabah dan kemuncak acaranya pula berlangsung pada 30 dan 31 Mei di Penampang, Sabah. Dalam majlis pelancaran tersebut, diadakan gimik penyerahan Seeds Spirit Revival oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Robert Stidi, dan gimik penyerahan bakul makanan PETRONAS oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Paglima Hj. Hajiji Hj. Noor.

Pemilihan Ranau sebagai tuan rumah majlis pelancaran juga disebabkan oleh lokasinya yang strategik, terkenal dengan aktiviti pertanian di Sabah serta merupakan pusat pelancongan pilihan pelancong dalam dan luar negara dilihat mampu menterjemahkan tema sambutan tahun ini.

Tema sambutan yang dipilih pada tahun ini sebenarnya bertepatan dengan nilai yang dibawa oleh sambutan Pesta Kaamatan. Walaupun secara dasarnya sambutan ini adalah untuk melahirkan kesyukuran atas hasil tuaian yang diperoleh, tetapi bukan hanya memfokuskan kepada penghasilan makanan semata-mata. Pesta ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pesta Kaamatan memberikan peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat bagi meningkatkan keberhasilan, dan seterusnya memelihara keterjaminan sumber makanan di Sabah selaras dengan objektif dan semangat sebenar perayaan tersebut.

Pesta Kaamatan sebenarnya juga merupakan perayaan yang menjadi wahana pelestarian budaya kepelbagaian etnik yang ada di Sabah. Menurut mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman, perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah merupakan aset penting yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa.

Pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau dalam Pesta Kaamatan mewajibkan para peserta memakai pakaian tradisi daerah masing-masing kerana pemakaian baju juga mempengaruhi markah yang diberikan oleh juri. Para peserta memperagakan pakaian etnik masing-masing yang mempamerkan corak daripada seni Linangkit dan seni manik Pinangkol.

Pertandingan Akhir Unduk Ngadau tahun 2024.

Peragaan busana tradisional tersebut membolehkan masyarakat umum dapat melihat dan mempelajari tentang pakaian tradisional etnik Sabah, seterusnya memastikan kelangsungan busana tersebut. Unduk Ngadau merupakan pencarian duta etnik kerana mereka perlu memiliki pengetahuan sosiobudaya yang baik.

Para peserta perlu menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sama ada bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus ketika sesi memperkenalkan diri dan menjawab soalan daripada juri. Selain memastikan pelestarian budaya etnik di Sabah, Pesta Kaamatan juga melestarikan penggunaan bahasa etnik di Sabah daripada pupus.

Selain sebagai wahana pelestarian budaya kepelbagaian etnik, Pesta Kaamatan juga mampu menjadi platform menjana ekonomi buat para peniaga terutamanya kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Penganjuran Pesta Kaamatan baik peringkat daerah atau pun negeri menyediakan gerai jualan buat para usahawan IKS untuk memasarkan hasil kraf tangan, seperti perhiasan manik, pakaian tradisional, anyaman dan lain-lain.

Para usahawan tersebut mampu meningkatkan keuntungan pada Pesta Kaamatan kerana saban kali dibanjiri oleh ramai pengunjung termasuk pelancong tempatan dan luar negara. Tambahan pula, Pesta Kaamatan tahun ini berlangsung ketika musim cuti sekolah. Pengusaha makanan termasuklah makanan tradisional etnik juga merebut peluang menjanakan pendapatan dan keuntungan mereka di gerai jualan sempena sambutan pesta tersebut.

Di samping itu, Pesta Kaamatan juga mampu menjadi sebuah produk pelancongan budaya. Pelancongan budaya merupakan antara trend pelancongan yang semakin meningkat naik kerana perbezaan budaya dan warisan antara suatu kawasan dengan kawasan yang lain mampu menarik perhatian pengunjung untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Pesta Kaamatan menjadi daya tarikan kedatangan pelancong luar ke Sabah.

Sebagaimana sambutan perayaan lain di negara kita, sambutan Pesta Kamaatan juga mampu mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan merapatkan silaturahim antara ahli keluarga. Cuti umum yang diberikan oleh kerajaan sempena perayaan ini membolehkan masyarakat Sabah yang berada di luar Sabah pulang ke kampung halaman masing-masing.

Komuniti setempat pula bekerjasama memastikan segala aktiviti yang direncanakan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan berjalan lancar seterusnya mampu mengeratkan lagi perpaduan sesama mereka. Pengunjung Pesta Kaamatan yang hadir dari pelbagai etnik juga dilihat mengangkat pesta ini sebagai platform yang mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pesta Kaamatan bukan sahaja sekadar untuk menyatakan kesyukuran atas hasil tuaian tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Sambutannya yang berlangsung selama sebulan saban tahun bukan sahaja mampu mengeratkan perpaduan pelbagai etnik, tetapi juga sebagai wahana pelestarian kepelbagaian budaya etnik di Sabah.

Kebanjiran pengunjung ke pesta tersebut juga menjadikannya sebagai platform menjana ekonomi buat para peniaga tempatan. Kepelbagaian budaya baik dari segi bahasa, pakaian, makanan, kraf tangan dan lain-lain lagi menjadikan pesta ini sebagai sebuah produk pelancongan budaya yang berpotensi besar di negara kita. Benarlah sebagaimana pemilihan tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, iaitu “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.